Jangan Campur Urusan Umat Islam Wahai Pemusnah Bangsa Bangsa (PBB)!
NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebentar tadi sebulat suara memerintahkan sekatan perjalanan dan pembekuan aset terhadap regim Muammar Gaddafi, selain tuduhan terhadapnya kerana jenayah kemanusiaan. Undi sebulat suara 15 negara Majlis Keselamatan yang dibuat pada mesyuarat yang berlarutan lewat tengah malam itu juga memerintahkan sekatan senjata dikenakan terhadap Libya apabila PBB memaklumlam lebih 1,000 orang sudah terkorban dalam serangan yang diarahkan Presiden Libya itu.
Majlis Keselamatan itu juga membuat tuntutan agar serangan pihak berkuasa Libya terhadap orang awam dihentikan serta merta. Larangan perjalanan dan pembekuan aset mengikut Resolusi 1970 itu hanya membabitkan Presiden berusia 68 tahun itu, tujuh anak lelaki dan anak perempuannya Aisha, anggota keluarga dan pegawai tertinggi perisikan dan pertahanan yang dituduh memainkan peranan menyerang balas orang awam. Terdapat 16 nama dalam senarai sekatan awal selepas disenaraipendekkan daripada 22 nama ketika awal persidangan majlis itu, awal hari ini. Tuduhan jenayah kekejaman itu akan dirujuk kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa apabila majlis mendapati wujudnya serangan yang sistematik dan besar-besaran terhadap orang awam di Libya yang bertentangan dengan hak asasi. Mengikut resolusi itu, semua urus niaga atau penjualan membabitkan senjata ke Libya mesti dihentikan serta merta. Resolusi itu juga mengarahkan Libya menerima kemasukan bantuan kemanusiaan dan pemantauan badan hak asasi bagi melindungi orang asing di negara itu. – AFP
Sumber : Berita Harian Online, 27/02/2011
Jangan Campur Urusan Umat Islam Wahai Pemusnah Bangsa Bangsa (PBB)!
Kesan domino daripada apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir terus berlaku di Libya. Laporan daripada beberapa wartawan menganggarkan bahawa lebih 1000 orang rakyat Libya telah terkorban di tangan si gila Muammar Gaddafi. Namun begitu, jumlah korban yang semakin meningkat dari hari ke hari tidak menggentarkan semangat kaum Muslimin di Libya untuk menuntut agar diktator Gaddafi turun dari singgahsana kuasanya. Semoga darah kaum Muslimin yang mengalir di Libya adalah darah suci yang akan dibalas dengan syurga oleh Allah kerana ingin melakukan muhasabah terhadap pemimpin mereka yang zalim!
Sejak krisis Libya semakin memuncak, layanan kuasa- kuasa besar dunia khususnya Amerika terhadap Libya adalah berlainan jika dibandingkan dengan layanan terhadap Tunisia dan Mesir. Semasa krisis Tunisia dan Mesir, Amerika telah menyatakan dengan jelas mengenai perlunya agen mereka iaitu Ben Ali dan Mubarak agar berundur dan melakukan pemindahan kuasa secara lancar (smooth transition). Namun apa yang berlaku di Libya tidak seperti itu. Ini adalah kerana, Amerika memang jelas tiada pegangan yang kukuh terhadap pemerintah Libya sebagaimana pegangan mereka terhadap pentadbiran Ben Ali dan Mubarak. Resolusi 1970 oleh Majlis Keselamtan PBB ini merupakan indikasi kepada beberapa perkara :
1. Amerika dan kuasa- kuasa besar lain tiada pegangan yang kuat terhadap Libya. Muammar Gaddafi adalah umpama anjing gila yang tiada tuan. Namun kewujudannya selama ini dibiarkan oleh kuasa-kuasa besar kerana Gaddafi bukanlah seorang yang akan memperjuangkan Islam di Libya. Malah, dia memang terkenal dengan sikap bencinya terhadap syiar- syiar Islam serta para ulama.
2. Semakin kuatnya tentangan daripada kaum Muslimin yang mahukan Gaddafi berundur. Malah semakin ramai para tentera Libya yang berpaling tadah daripada mengikuti arahan Gaddafi yang nyata sekali bertentangan dengan hukum syarak dan tidak berperikemanusiaan. Mereka telah menguasai beberapa bandar di Libya dan tidak mustahil mereka akan menguasa Tripoli dalam waktu terdekat. Ini pastinya amat membimbangkan Barat, kerana kemenangan kaum Muslimin yang cintakan Islam di Libya pastinya akan mempersulitkan urusan mereka.
3. Adanya cubaan kuasa- kuasa besar, terutamanya Amerika untuk masuk ke Libya secara ketenteraan. Ini bagi memastikan, umat Islam yang bangkit di Libya tidak menguasai Libya dan menerapkan Islam di bumi Libya. Kes yang sama pernah berlaku semasa krisis di Bosnia dahulu di mana setalah tentera Bosnia menguasai banyak kawasan daripada puak Serbia, PBB mula campur tangan dan masuk ke Bosnia secara langsung dengan alasan krisis kemanusiaan.
Libya merupakan pengeluar minyak yang terbesar di benua Afrika dan memiliki rizab minyak yang ke-3 terbesar di dunia. Oleh itu, penguasaan ke atas Libya merupakan suatu yang tidak akan dilepaskan oleh negara-negara kapitalis Barat untuk meraih sumber tenaga yang sangat penting bagi mereka. Malah, kesan daripada terpecah belahnya umat Islam telah menjadikan umat Islam sebagai hidangan yang sungguh lazat untuk dinikmati oleh kaum kuffar.
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam telah bersabda: “Akan terjadi masa di mana umat-umat di luar Islam berkumpul di samping kalian wahai umat Islam, sebagaimana berkumpulnya orang-orang yang memakan hidangan. Lalu seorang Sahabat bertanya: ‘Apakah kami pada saat itu sedikit wahai Rasulullah? “, beliau menjawab, “Tidak. Bahkan ketika itu jumlah kalian banyak. Akan tetapi kalian ketika itu bagaikan buih di lautan. Ketika itu Allah hilangkan dari musuh-musuh kalian rasa segan dan takut terhadap kalian dan kalian tertimpa penyakit wahn. Sahabat tadi bertanya lagi : “Wahai Rasulullah apa yang dimaksudkan dengan wahn itu? “ , Rasulullah menjawab,
“Cinta dunia dan takut mati.” [HR Abu Dawud].
Kita harapkan kebangkitan yang berlaku di Libya merupakan kebangkitan Islam dan kita sama- sama berdoa semoga Allah memelihara keselamatan kaum Muslimin di Libya dan seluruh dunia ammnya serta merentap kekuasaan para pemimpin yang khianat dengan rentapan yang hina. Semoga kebangkitan ini akan menyuburkan agama Allah, dan sebagai persediaan berdirinya Khilafah yang ke-dua kalinya nanti. Wallahu a’lam.