Jangan Laksanakan “SOP” Dalam Kaifiyat Ibadat
Sejak Covid-19 melanda negara, kerajaan telah mempopularkan istilah “new normal” (kebiasaan baru) dalam rangka mendidik masyarakat agar mematuhi cara hidup baru bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang sehingga kini masih belum dapat diputuskan sepenuhnya. “Normal baru” yang dimaksudkan antaranya merangkumi penjarakan sosial, tidak lagi bersalaman, selalu mencuci tangan, memakai pelitup muka ketika di luar rumah, bekerja dari rumah, tidak berhimpun secara beramai-ramai dan sebagainya. Pokoknya, apa sahaja yang boleh memutuskan rantaian Covid-19 yang digariskan oleh kerajaan, semuanya akan menjadi normal baru kepada masyarakat, dan masyarakat diminta mematuhinya. Malah, mungkin akan berhadapan dengan tindakan undang-undang jika ada pelanggaran dalam kes-kes tertentu.
Di antara normal baru itu, malangnya ada yang bercanggah dengan Islam yang dipaksakan oleh pemerintah ke atas umat Islam. Antarnya ialah apabila pemerintah menutup masjid, dan tidak membenarkan umat Islam menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah. Bahkan buat pertama kali dalam sejarah apabila kaum Muslimin tidak dibenarkan solat tarawih dan solat Eid di masjid pada tahun ini, kerana masjid terus ditutup dalam bulan Ramdhan dan Syawal. Jadi, dalam konteks ini, sesungguhnya normal baru sudah menjadi suatu yang tidak normal bagi kaum Muslimin.
Setelah masjid mula dibuka sejak beberapa minggu lepas, normal baru sekali lagi menjadi tidak normal jika dinilai berdasarkan Islam, apabila hanya segelintir orang sahaja yang dibenarkan solat di masjid. Malah, di sesetengah kawasan, umat Islam terpaksa memohon untuk menunaikan solat Jumaat dan sebahagian besarnya tidak lulus, kerana jumlah jemaah yang dibenarkan sangat terhad. Sungguh ini merupakan suatu fenomena yang tidak pernah terlintas dalam kepala kita selama ini. La haula wa la quwwata illa billah. Bertambah tidak normal apabila kerajaan menetapkan yang hanya warganegara sahaja yang dibenarkan untuk solat Jumaat, suatu pelanggaran yang nyata terhadap hukum Allah (swt), apabila solat Jumaat telah dijadikan “hak eksklusif” orang-orang tertentu sahaja.
Walaupun kini sudah semakin banyak masjid yang dibuka, dan sudah semakin ramai umat Islam yang boleh menunaikan kewajipan fardhu ain tersebut, namun malang masih tetap menimpa umat ini apabila Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan telah melangkaui sehingga ke dalam bab ibadat.
Tidak dinafikan bahawa kita memerlukan SOP dan kerajaan wajib mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19. Namun, SOP yang dikenakan sama sekali tidak boleh melangkau sampai ke wilayah ibadah. Wilayah ibadah adalah wilayah Allah (swt) semata-mata dan tidak ada seorang manusia pun yang boleh menetapkan “SOP” dalam wilayah ibadah. Ia adalah hak mutlak Allah (swt) dan manusia sama sekali tidak boleh mencampuri urusan ini, kecuali mematuhinya sahaja.
«وَمَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ» [البخاري ومسلم]
“Siapa saja yang melakukan perbuatan yang tidak ada ketentuan kami atasnya maka ia adalah tertolak” [HR al-Bukhari dan Muslim, dan ini adalah lafaz al-Bukhari].
Ada pun untuk SOP yang ditetapkan sebelum atau selepas solat, maka hal ini tidak menjadi masalah selama mana tidak bercanggah dengan syarak. SOP seperti membawa sejadah sendiri, beratur dalam jarak satu meter antara satu sama lain, memakai pelitup muka, menggunakan hand sanitizer, pengambilan suhu, pendaftaran nama, tidak bersalaman, tiada doa selepas solat dan seumpamanya yang tidak melanggar nas, maka hal ini semua tidak menjadi masalah. Namun, apabila SOP ditetapkan sampai kepada kaifiyat (tatacara) ibadah, maka hal ini telah menyalahi nas, dan lebih daripada itu, ia termasuk dalam kategori bidaah.
Allah (swt), melalui Rasul-Nya (saw) telah menetapkan kaifiyat ibadat, dan setiap Muslim wajib terikat dan mematuhinya tanpa boleh diubah sedikit pun. Justeru, tindakan pemerintah menetapkan SOP penjarakan dalam solat untuk para jemaah sejauh satu meter atau dua meter, jelas merupakan suatu perkara baru (bidaah) dalam hal ibadat (solat), yang tidak pernah ada dalam Islam, tidak pernah diajar oleh Rasulullah (saw), malah dicegah oleh baginda (saw). Pemerintah, dan manusia mana pun langsung tidak ada hak, dan berdosa apabila menetapkan “SOP” dalam perkara-perkara yang termasuk dalam kaifiyat ibadat, atas alasan apa sekalipun.
Dalam Islam, ibadat wajib diambil dan dilakukan secara tauqifiyyah (seadanya), tanpa boleh diubah, ditambah atau dikurangi. Siapa sahaja yang merubah, menambah atau mengurangi kaifiyat ibadat, maka dia telah melakukan bidaah.
Apa pun alasan yang diberikan oleh pemerintah, termasuklah khuatir akan penularan wabak, alasan ini sama sekali tidak memberi hak kepada mereka untuk merubah apa yang Allah (swt) telah tetapkan dalam hal ibadat. Contohnya, pemerintah tidak boleh memendekkan solat Jumaat kepada 1 rakaat, atau memendekkan solat isyak kepada dua rakaat atas alasan khuatir penularan. Begitu juga pemerintah tidak boleh menetapkan untuk melontar jamrah hanya sekali lontaran sahaja bagi mengelakkan penularan, atau menetapkan tawaf hanya satu pusingan sahaja bagi mengelak penularan.
Samalah kedudukannya di mana pemerintah tidak boleh menetapkan saf para jemaah sejauh satu atau dua meter atas alasan mengelakkan penularan wabak. Ini kerana, Rasulullah (saw) telah menetapkan kaifiyat bahawa saf para jemaah hendaklah lurus dan rapat, dan haram untuk direnggangkan atau dibengkokkan. Sesungguhnya banyak hadis yang menjelaskan akan kewajipan meluruskan dan merapatkan saf dalam solat, antaranya:
Imam al-Bukhari telah mengeluarkan dalam Sahihnya dari Anas bin Malik (ra), ia berkata: “Dibacakan Iqamah, kemudian Rasulullah (saw) menghadap kepada kami lalu bersabda:
«أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ، وَتَرَاصُّوا، فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي»
“Luruskan saf kalian dan rapatkanlah, kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari belakangku”
Imam Muslim juga telah mengeluarkan dalam Sahihnya dari Jabir bin Samrah, ia berkata: “Rasulullah (saw) bersabda,
«أَلَا تَصُفُّونَ كَمَا تَصُفُّ الْمَلَائِكَةُ عِنْدَ رَبِّهَا؟» فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ تَصُفُّ الْمَلَائِكَةُ عِنْدَ رَبِّهَا؟ قَالَ: «يُتِمُّونَ الصُّفُوفَ الْأُوَلَ وَيَتَرَاصُّونَ فِي الصَّفِّ»
“Mengapa kalian tidak berbaris sebagaimana para malaikat berbaris di hadapan Tuhan mereka?” Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimana para malaikat berbaris di hadapan Tuhan mereka?” Baginda menjawab, “Mereka melengkapi saf pertama dan rapat dalam saf”
Imam Ahmad telah mengeluarkan dari Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah (saw) bersabda,
«أَقِيمُوا الصُّفُوفَ فَإِنَّمَا تَصُفُّونَ بِصُفُوفِ الْمَلَائِكَةِ وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ وَسُدُّوا الْخَلَلَ وَلِينُوا فِي أَيْدِي إِخْوَانِكُمْ وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفّاً وَصَلَهُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى وَمَنْ قَطَعَ صَفّاً قَطَعَهُ اللَّهُ»
“Luruskanlah saf, tidak lain kalian (hendaklah) berbaris dengan safnya para malaikat, luruskan antara bahu-bahu, tutuplah celah yang kosong, lenturkan pada tangan saudara kalian dan jangan biarkan ada celah untuk syaitan. Siapa yang menyambungkan saf, maka Allah akan menyambungnya dan siapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutusnya”
Inilah pandangan yang paling rajih (kuat) dalam hal ini yakni saf para jemaah dalam solat wajib lurus dan wajib rapat, berdasarkan nas-nas yang sorih (jelas).
Adapun untuk mengelak penularan, ia bukan dengan cara merubah nas, atau merubah kaifiyat solat, tetapi apa yang seharusnya dilakukan ialah, orang yang sakit tidak perlu pergi solat. Selain diberi rukhsah (keringanan) untuk orang sakit tidak perlu ke masjid, Islam juga tidak membenarkan orang yang sakit untuk dicampurkan dengan yang sihat. Orang yang sakit, apatah lagi jika telah terbukti positif Covid-19, maka ia perlu dirawat dan diasingkan, dan dijaga dengan sungguh-sungguh oleh negara.
Manakala bagi orang yang sihat dan orang yang tidak mempunyai gejala, maka ia wajib pergi ke masjid untuk solat Jumaat. Inilah hukum untuknya. “Kekhuatiran” bahawa ia mungkin pembawa virus, hal ini langsung tidak mengecualikan kewajipan solat Jumaat ke atasnya. “Kekhuatiran” ini juga langsung tidak memberikan hak kepada penguasa untuk merubah kaifiyat solat dengan menjarakkan saf antara sesama Makmum. Perlu diingat bahawa, setelah kita mematuhi segala perintah Allah (swt), kemudian ternyata masih terjadi penularan, maka ini bukan lagi termasuk dalam wilayah manusia, tetapi ini adalah wilayah Allah (swt), yakni qadha’. Sebagai Muslim, kita terima dan kita beriman dengan qadha’ Allah (swt), dan dalam masa yang sama kita melakukan hukum sababiyyah (sebab-akibat) dalam wilayah kita sebagai manusia, seperti berubat dan sebagainya.
Demikianlah, pemerintah tidak boleh menetapkan “SOP” dalam saf solat, samada satu atau dua atau tiga meter, atas alasan khuatir penularan. Alasan khuatir penularan bukanlah alasan syarie dan sama sekali tidak boleh dijadikan alasan untuk merubah kaifiyat solat. Hatta, alasan menjaga nyawa sekalipun tidak membolehkan pemerintah untuk melaksanakan SOP dalam ibadat, dan tidak membolehkan pemerintah untuk merubah kaifiyat ibadat. Tidak ada siapa pun yang dapat merubah kaifiyat dalam ibadat, atas alasan apa sekalipun, kerana ia adalah hak mutlak Allah (swt), dan merubahnya merupakan suatu bidaah.
Pemerintah seharusnya lebih takut kepada Allah (swt), berbanding takut kepada penularan wabak. Ingatlah bahawa penularan itu berlaku dengan izin Allah (swt) semata-mata, dan tidak akan berlaku penularan tanpa seizin-Nya. Ya benar kita perlu mengelak penularan, tetapi dengan cara yang diajar oleh Islam, contohnya orang yang berada dalam kawasan wabak tidak dibenarkan keluar, manakala yang berada di luar tidak dibenarkan masuk; perlu mengkuarantin orang yang telah tertular, mengasingkan orang yang sakit, memakai alat pelindung diri, pelitup muka, hand sanitizer dan sebagainya.
Namun demikian, tidak boleh sama sekali bagi pemerintah atas alasan untuk mengelak penularan, sehingga merubah hukum Allah (swt) atau merubah kaifiyat ibadat yang telah ditetapkan oleh Allah (swt). Wahai pemerintah! Takutlah kepada Allah (ittaqullah), janganlah sekali-kali menetapkan suatu bidaah dalam solat, dan kembalikanlah solat dengan tatacara yang Allah (swt) telah tetapkan. Ittaqullah…ittaqullah…ittaqullaha haqqa tuqatih.