Pelaksanaan hudud: Teruslah beri alasan dan jangan berhenti!

hudud-alasanAlasan demi alasan terus diberikan oleh kerajaan untuk tidak menerapkan hudud. Kali ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pula tampil memberikan justifikasi terhadap keengganan kerajaan menerapkan hukum Allah itu, kononnya terdapat banyak kekangan yang wujud sehingga menyebabkan ia masih di peringkat kajian Jawatankuasa Teknikal.

Kita tidak perlu gopoh mahu kuatkuasakan hukum syarak ini jika belum bersedia sepenuhnya, untuk elak fitnah terhadap Islam atau berlaku konflik ketidakcapaian keadilan,” katanya. “Sebelum menjurus kepada pelaksanaan hudud, antara usaha yang perlu diperkasakan terlebih dahulu adalah peranan Mahkamah Syariah”, tegas beliau lagi.

Asyraf Wajdi seterusnya berkata, “Kita perlu mulakan secara berfasa. Buat masa ini, perlu dinaik taraf peranan Mahkamah Syariah dengan memperluaskan bidang kuasanya. Aspek ini perlu diperhalusi dahulu, kerana kita bukan bercakap tentang konteks hudud yang sempit tetapi kerangka yang lebih besar.”

Inilah antara alasan tak berkesudahan yang dihidangkan kepada umat Islam setiap kali kerajaan berbicara fasal hudud. Kononnya ingin memperkasakan Mahkamah Syariah terlebih dahulu, namun hakikatnya sampai sekarang tidak pernah diperkasakan. Sudah bertahun-tahun kita mendengar alasan basi seperti ini terus dikitar semula. Kononnya bidang kuasa Mahkamah Syariah perlu diperluaskan terlebih dahulu, realitinya kita tidak nampak ada satu usaha pun ke arah situ. Semua alasan ini terus bermain di bibir demi melunakkan hati pendengarnya.

Tindakan tidak mahu gopoh melaksanakan hukum syarak juga bukanlah sesuatu yang betul kerana sebagai Muslim, kita wajib ‘gopoh’ (bersegera) dalam melaksanakan setiap perintah Allah. Menangguh-nangguhkan perintah Allah tanpa alasan yang syarie sehingga ke tahap tidak melaksanakannya, hanya mengundang dosa dan kemurkaan Allah SWT.

Lebih jauh, Senator itu juga menjelaskan bahawa pelbagai aspek perlu diteliti terlebih dahulu termasuk struktur masyarakat, prasarana, keupayaan serta kefahaman masyarakat Islam.

Inilah antara ribuan alasan kitar semula yang dijaja di mana-mana yang sudah cukup memuakkan kita. Apabila berbicara tentang hukum Islam, semua perkara-perkara tersebut mesti diambil kira, walhal masyarakat tidak pernah pun diberi kefahaman tentang penerapan hukum kufur yang ada sekarang, tetapi tetap juga hukum kufur tersebut diterapkan dan dipaksakan ke atas kita semua.

Kerajaan adalah pihak yang ada kuasa untuk menerapkan hukum atau dengan kata lain kuasa penuh ada di tangan mereka. Soalnya sekarang ialah mahu atau tidak, bukannya mampu atau tidak. Jika kerajaan boleh sahaja menerapkan hukum-hukum kufur tanpa alasan sedikit pun, kenapa pula tidak boleh menerapkan hukum-hukum Allah dan pelbagai alasan diberikan?

Apa jua alasan yang diberikan untuk tidak menerapkan hukum Allah, sesungguhnya ini bermakna kerajaan akan terus mengekalkan dan mempertahankan hukum kufur yang sedia ada dan sekali gus juga bermakna kerajaan terus memaksiati Allah SWT! Na’uzubillah min zalik.

Justeru, berilah apa sahaja alasan semahu anda di dunia ini untuk tidak menerapkan hukum Allah, kerana anda memang amat berkuasa untuk memberikannya tanpa siapa pun boleh menghalangnya. Kami cuma mahu mengingatkan anda yang di akhirat nanti, anda sudah tidak punya kuasa sedikit pun untuk memberikan alasan, kerana segala kekuasaan di waktu itu hanya milik Allah. Jadi, sekarang berilah sebanyak mungkin alasan yang anda mahu!

Sumber: sinarharian.com