Jelajah forum ‘Bahaya Pornografi Dan Seks Bebas, Di mana Silapnya?
Para Muslimah yang hadir terdiri daripada kalangan ibu, pelajar dan tidak ketinggalan remaja dan guru daripada Asrama Akhlak (P) Jitra yang menjadi tetamu undangan khas untuk forum ini. Upacara dimulai dengan bacaan ayat suci Surah An-Nur (24) ayat 1-10 yang menceritakan hukum-hukum Allah yang keras terhadap kesalahan zina.
Forum muslimah ini dipengerusikan oleh Puan Jannah dan Cik Nadhirah sebagai moderator. Ustazah Zulaikha dan Ustazah Husnah ditampilkan sebagai panel jemputan. Majlis dibahagikan kepada dua pusingan – mengupas realiti dan seterusnya membincangkan penyelesaian tuntasnya. Sesi soal jawab serta pameran menjadi pengakhiran kepada majlis.
Sesi pertama dimulai oleh Zulaikha dengan penjelasan tentang realiti gejala sosial berkaitan seks di Malaysia. Ia merangkumi kes-kes cabul, perzinaan, kelahiran anak luar nikah, rogol, sumbang mahram dan sebagainya. Faktanya memang sudah jelas dan diperakui oleh pelbagai pihak termasuk pihak berkuasa dan kementerian. Antara punca meningkatnya gejala negatif ini adalah disebabkan sangat mudahnya mengakses laman web porno untuk mendapatkan bahan visual atau bahan bacaan yang mampu merangsangkan nafsu. Kemudahan sebeginilah yang menyumbang kepada peningkatan kelahiran anak luar nikah oleh kaum Melayu saban tahun. Malahan, statistik juga menunjukkan setiap 17 minit 7 saat, seorang bayi lahir hasil daripada hubungan zina.
Punca berlakunya seks bebas dan pornografi disentuh oleh Husnah sebagai ahli panel kedua. Kebiasaannya, apabila terjadinya kes seks bebas dan pornografi, beberapa pihak akan di’kambing hitam’kan oleh masyarakat. Antaranya ialah guru, ibu bapa, rakan sebaya, media dan undang-undang yang diterapkan juga dikenalpasti tidak berkesan membendung masalah. Punca sebenar yang dibongkar oleh Husnah adalah berpunca dari kian terhakis sifat ketakwaan pada diri individu yang terjebak. Ianya berpunca dari pincangnya sistem yang mengatur kehidupan masyarakat kita. Menurut beliau dengan meletakkan demokrasi sebagai sistem yang mengatur hidup bernegara membuka ruang seluas-luasnya kepada setiap gejala negatif yang merosakkan tatanan hidup umat Islam. Ini adalah kerana demokrasi itu sendiri menaja idea-idea kebebasan yang rosak seperti kebebasan bertingkahlaku.
Sesi kedua diteruskan oleh Zulaikha yang menjelaskan undang-undang yang rapuh berkaitan akses dan penyebaran bahan-bahan pornografi. Beberapa akta berkaitan telah disentuh bagi menjelaskan fakta ini. Seterusnya, Husnah mengakhiri pembentangannya dengan menjelaskan penyelesaian hakiki dari perspektif Islam. Islam merupakan ideologi yang berdiri di atas asas aqidah Islam. Dari asas aqidah terpancar peraturan (syariah) Islam yang mengatur setiap aspek kehidupan manusia dari segi politik, pemerintahan, ekonomi, pergaulan dan sebagainya.
Tiga paksi yang perlu dititikberatkan untuk melahirkan generasi Islam yang beriman ialah ketakwaan individu, kawalan masyarakat serta penerapan hukum syara’ oleh negara. Apabila ketiga-tiga paksi utama ini berjaya memainkan peranan masing-masing, maka permasalahan umat akan dapat diselesaikan dengan tuntas dan menyeluruh.
Forum diakhiri dengan bacaan doa yang dibacakan oleh Puan Jannah memohon agar sistem Islam kembali tertegak begitu menyentuh hati para hadirin. Seterusnya hadirin menghabiskan masa di sudut pameran bagi menyaksikan paparan isu-isu yang berkaitan forum dan penyelesaian oleh Islam.