Jenaka Dari Malaysia Berkenaan Isu Serangan Israel
KUALA LUMPUR 6 Jun – Malaysia akan mencadangkan kepada Turki yang sembilan rakyatnya dibunuh komando Israel semasa kapal bantuan kemanusiaan Mavi Marmara ke Gaza diserang Isnin lalu supaya mempertimbangkan untuk mengambil tindakan di bawah peruntukan Statut Rome, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). Gesaan ini terkandung di dalam usul khas yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen esok, seperti dipetik dari laman web Parlimen, www.parlimen.gov.my. Statut Rome ICC merujuk kepada tindakan untuk membicarakan dan menghukum individu yang telah melakukan pembunuhan kaum dan jenayah antarabangsa yang kejam.
Usul itu bagi mengutuk tindakan komando Israel menyerang kapal Mavi Marmara dan membunuh sembilan aktivis kemanusiaan dari Turki dengan berpuluh-puluh lagi cedera di samping menahan beratus-ratus anggota bantuan tersebut termasuk 12 orang dari Malaysia. Sembilan aktivis Turki yang terbunuh dalam serangan komando Israel ke atas kapal bantuan menghala ke Gaza telah ditembak sebanyak 30 kali dengan lima daripada mereka maut akibat tembakan di kepala. Keputusan bedah siasat menunjukkan kebanyakan mangsa dihujani peluru 9mm dengan sebahagian besarnya dari jarak dekat. Komando Israel menyerang flotila kapal bantuan yang mahu menghentikan sekatan laut ke atas Gaza pada Isnin lalu. Perdana Menteri dalam pembentangannya itu juga menggesa negara-negara lain untuk mengemukakan usul kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi merujuk situasi akibat serangan tentera rejim Zionis Israel ke ICC. Selain itu, melalui pembentangan usul tersebut esok, Najib juga akan menggesa negara-negara lain mengemukakan usul kepada Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bagi mendapatkan Advisory Opinion Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Sumber: Utusan Malaysia 07/06/10
Jenaka Dari Malaysia?
Amat malang apabila para pemimpin umat Islam yang ada pada hari ini tidak mengambil penyelesaian yang diberikan oleh Islam bagi menyelesaikan setiap isu yang berlaku. Apabila berhadapan dengan sesuatu perkara, para pemimpin umat Islam hari ini lebih rela merujuk masalah yang mereka hadapi kepada institusi kufur. Sedangkan dalam masa yang sama mereka mengaku beriman kepada Allah SWT dan RasulNya. Firman Allah SWT:
”Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh”. [TMQ An-Nisaa’ (4) : 60].
Apakah para pemimpin sekular ini menyedari bahawa merujuk sesuatu isu umat Islam kepada badan kufur seperti ICC adalah sebenarnya suatu perkara yang cukup hina dan suatu tindakan bunuh diri politik yang cukup memalukan. Apa yang nyata, para pemimpin sekular hari ini masih terus mengharapkan badan kufur taghut seperti ICC bagi menyesaikan masalah yang mereka hadapi sedangkan Islam sebagai suatu cara hidup yang telah dijamin kesempurnaannya telah menurunkan suatu cara hidup yang lengkap dan penjelasan bagi setiap perkara. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah yang paling besar semuanya telah diperjelaskan oleh Islam.
Telah terlampau banyak bukti yang boleh kita paparkan betapa Israel selama ini tidak pernah tunduk kepada desakan badan-badan dunia. Israel tidak akan pernah menghiraukan sebarang bentuk kecaman dan bantahan dari seluruh dunia. Apakah Najib tidak pernah peduli dengan kisah ketegasan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dalam membela nyawa dan darah umat Islam? Sabda Rasulullah SAW: ” Rasulullah SAW bersabda: “Bagi Allah, hancurnya bumi beserta isinya adalah lebih ringan dibanding terbunuhnya seorang Muslim”. Di dalam al-Quran, Allah SWT juga menegaskan bahawa tindakan membunuh seorang manusia tanpa ada alasan yang haq berarti seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Firman-Nya:
”Barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan karena orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan karena membuat kerusakan di muka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya.” [TMQ Al-Maidah (5) : 32].
Rasulullah SAW juga tidak sekadar melafazkan kata-kata semata-mata, tetapi membuktikannya dalam bentuk tindakan. Salah satu dari tindakan baginda dalam merealisasikan kata-katanya adalah ketika ada seorang Muslim yang syahid dibunuh oleh orang-orang Yahudi di pasar Bani Qainuqa’. Lelaki Muslim ini terbunuh kerana membela seorang wanita Muslimah yang diperleceh kehormatannya di pasar Yahudi itu. Rasulullah SAW bersikap tegas dalam menyelesaikan isu tersebut di mana seluruh penduduk Yahudi Bani Qainuqa’ diusir dari kota Madinah kerana telah melakukan pengkhianatan. Ini merupakan bentuk penghargaan Islam terhadap nyawa manusia dan perlindungan ketua negara terhadap rakyatnya.
Sudah terang lagi bersuluh. Tidak ada solusi lain lagi untuk menyelesaikan masalah kebiadaban Israel ini kecuali jihad fi sabilillah. Seharusnya, sebagai pemimpin umat Islam, Najib menyerukan jihad ini. Bukannya terus menerus ’berjenaka’ dengan cadangan kosong, berulang-ulang kali, setiap kali Israel mengganas.