Jenayah Juvana : HAM vs Syariat

Muqaddimah

Letusan fenomena peningkatan kadar jenayah dalam kalangan anak muda Malaysia menggugat ketenangan dan menimbulkan kegusaran di hati rakyat. Namakan apa sahaja jenayahnya, penyalahgunaan dadah, mencuri, meragut, mencabul, merogol, berzina, membuli, mencetuskan kebakaran tidak terkecuali jenayah pembunuhan. Keadaan ini amat serius dan diakui sendiri oleh pakar. Kecenderungan anak-anak muda beralih kepada keganasan dalam menyelesaikan konflik dan perbezaan begitu membimbangkan.

Trend Penjenayah Muda

Pakar kriminologi Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr P. Sundramoorthy berkata, nampaknya terdapat corak tingkah laku yang agresif dalam kalangan golongan belia di Malaysia (http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/09/24/juvana/#h0aDQ5ivv6AWO547.99). Kenyataan ini disokong dengan laporan Statistik Kanak-kanak Malaysia 2016 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat yang mana, bilangan pesalah juvana pada tahun 2014 ialah sebanyak 5,096 dan pada tahun 2015 pula dilaporkan sebanyak 4,569 kes. Antara kesalahannya ialah membabitkan harta benda, dadah dan senjata atau bahan api. (https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=UCtXbzBXUDU1N1BFSW9qUmUxS3dNUT09)

Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Ittifaqiyyah pada 14 September 2017 yang lalu membuatkan kita tersentak apabila hasil siasatan mendedahkan kejadian tersebut didalangi oleh tujuh orang anak muda berusia antara 11 hingga 18 tahun. Natijahnya, 23 nyawa menjadi korban. Pendedahan tersebut telah mengundang pelbagai reaksi daripada banyak pihak. Ada yang mahu mereka dikenakan hukuman setimpal (dibunuh juga), ada yang menyarankan kesemua suspek perlu menjadi huffaz sebagai ganti yang telah pergi, ada yang merasakan sesuatu yang tidak sempurna dalam sistem pendidikan negara dan tidak kurang juga yang memaafkan tetapi tidak akan melupakan. Sungguhpun semua pihak maklum bahawa kes ini masih di peringkat perbicaraan di mahkamah dan kesemua suspek belum didapati bersalah sehinggalah terbukti mereka bersalah, namun terlalu ramai yang telah menjadi “hakim” dan telah menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tidak boleh dijatuhkan hukuman mati sekiranya mereka disabitkan bersalah dalam kes itu. Ini kerana Seksyen 97(1) Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. Bagaimanapun katanya, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Yang Dipertua Negeri.

HAM :18 Tahun Masih Kanak-kanak

Perlu diketahui bahawa pada tahun 1995, negara telah menandatangani Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (Convention on the Rights of the Child, CRC). Sebagai sebuah negara yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia telah menerima pakai Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (Universal Declaration of Human Rights, UDHR) sebagai satu nilai yang dapat dijadikan ukuran bersama secara universal. Bertitik tolak daripada itu, Malaysia telah memberi perhatian terhadap perjanjian yang telah dibuat atas fahaman hak asasi manusia (HAM) ini dan telah menjadi negara ahli kepada beberapa perjanjian tersebut dan salah satunya adalah Konvensyen Hak-Hak Kanak-kanak (CRC) yang merupakan perjanjian antarabangsa untuk mengenalpasti hak-hak kemanusiaan asas bagi semua kanak-kanak. Dari segi jenayah, CRC memperuntukkan perlindungan pada kanak-kanak apabila melakukan jenayah.

Berpandukan CRC, maka wujudlah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang mula berkuatkuasa pada tarikh 1 Ogos 2002, walaupun ia telah diluluskan pada tahun 2001. Akta 611 telah memansuhkan tiga status yang lain, iaitu Akta Mahkamah Juvana 1947, Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991 dan Akta Perlindungan Wanita dan Gadis 1973 dan telah menggabungkan undang-undang berkenaan pemeliharaan, perlindungan dan pemulihan kanak-kanak.

Akta 611 telah mendefinisikan kanak-kanak dalam seksyen 2 sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun dan berhubung dengan prosiding jenayah, seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam seksyen 82 Kanun Keseksaan. Oleh itu Akta 611 terpakai kepada semua kanak-kanak yang berumur di bawah 18 tahun, selain daripada dalam sesuatu prosiding jenayah. Ini adalah selaras dengan Akta Umur Dewasa 1971 yang menetapkan umur dewasa sebagai 18 tahun.

Kenali Mukallaf

Islam telah lebih awal membicarakan hal ini dengan mengangkat apa jua taklif (bebanan) hukum selagi kanak-kanak itu belum mencapai umur baligh. Ini bermakna mereka belum mukallaf (orang yang menanggung beban). Namun, itu tidak bermaksud Islam membiarkan kanak-kanak melakukan jenayah atau kesalahan. Di sinilah rincinya hukum Islam ke atas kanak-kanak apabila adanya proses ta’dib (mendidik) oleh ibu bapa sebelum kanak-kanak mencapai baligh lagi.

Sejak kecil, anak-anak telah dididik untuk mengerjakan kebaikan dan kewajipan, mengenal halal dan haram juga memahami konsep balasan syurga dan neraka. Maka, anak-anak menjadi seseorang yang dapat menimbang dengan akalnya sesuatu yang baik dan buruk sehingga ke peringkat umur mumayyiz. Malah syariat membenarkan apabila mencapai umur 10 tahun, boleh (bukan wajib) dipukul, termasuk di rotan jika tidak mengerjakan solat. Sabda Rasulullah SAW,

“Perintahkanlah anak-anakmu untuk melaksanakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun. Pukullah mereka jika sampai berusia sepuluh tahun mereka tetap enggan mengerjakannya”. [HR Abu Daud & al-Hakim]

Selanjutnya, anak-anak memasuki fasa baru dalam kehidupannya sebagai seorang mukallaf apabila sudah baligh. Baligh adalah isim fa’il dari bulugh yang makna bahasanya “sampai”. Menurut istilah pula habisnya masa kecil dan sampainya seseorang pada batas yang mana dia dikenakan taklif. Maknanya, dia telah terkena beban untuk menjalankan perintah dan menjauhi larangan Allah dan RasulNya. Rasulullah SAW bersabda,

“Pena diangkat daripada tiga golongan; orang tidur hingga bangun, anak-anak hingga baligh dan orang gila hingga sedar/waras”. [HR Abu Daud]

Maksud frasa ‘diangkatnya pena daripada ketiga golongan’ tersebut adalah tidak diminta pertanggungjawaban kerana meninggalkan perintah atau melakukan larangan Allah. Tanda-tanda baligh menurut madzhab Syafii ada tiga. Pertama, sempurna umur lima belas tahun (lelaki dan perempuan) sebagai umur maksimum tanpa melihat tanda-tanda yang lain. Kedua, Ihtilam bagi lelaki yang bererti mimpi keluar mani, sekalipun tanpa keluar mani. Ketiga, haid iaitu apabila keluarnya darah dari rahim perempuan ketika dia dalam keadaan sihat. Berdasarkan penelitian dan istidlal para fuqoha’, ihtilam dan haid boleh terjadi tatkala si anak menginjak usia sembilan tahun lagi.

Kesimpulannya, usia minimum baligh seorang anak ialah sembilan tahun dengan tanda ihtilam atau haid. Sedangkan usia maksimum baligh adalah lima belas tahun. Jika seorang anak telah mengalami salah satu tanda tersebut di atas maka ketika itulah ia disebut baligh. Kemudian dia turut memenuhi syarat sempurna akal dan tidak gila maka seluruh hukum syariat terkena ke atasnya. Bukan hanya kewajipan solat dan puasa, tetapi kesemua termasuklah dikenakan uqubat (hukuman) apabila didapati bersalah oleh pihak pengadilan.

Uqubat yang diterapkan oleh pihak pemerintah/pihak berkuasa kepada pelanggar hukum yang menyedari segala kekhilafan dan kesalahannya itu, akan menjadi “jawabir” (penebus) atas dosa dan siksaannya di akhirat kelak dan sebagai “zawajir” (pencegah) agar manusia lain tidak dengan mudah melakukan kesalahan jenayah/pelanggaran syariat. Terdapat satu dalil yang bersumberkan Ijma’ (kesepakatan) Sahabat dalam kes melibatkan seorang kanak-kanak;

Diriwayatkan daripada Uthman bin Affan r.a bahawa pernah dihadapkan kepadanya seorang anak yang telah melakukan kesalahan mencuri. Dia berkata, “Periksalah kain penutup tubuhnya”. Orang-orang mendapati anak itu belum tumbuh rambut (pada kemaluan). Maka Uthman tidak memotong tangannya. [HR al-Baihaqi]

Apa yang dilakukan Uthman ini dilihat dan didengar oleh para sahabat dan tidak seorang pun antara mereka yang mengingkarinya. [Nota: Tumbuhnya rambut pada kemaluan adalah tanda baligh.]

Khatimah

Sesungguhnya CRC, seperti mana undang-undang antarabangsa lainnya yang diluluskan oleh PBB, tidak lain adalah usaha Barat dalam bentuk penjajahan baru (neo-colonialism) mereka bagi meneruskan cengkamannya ke atas umat dan negeri Islam. Ia juga tak lepas daripada dakyah kebebasan dan hak asasi manusia di bawah demokrasi yang ingin mereka jadikan sebagai ‘agama’ baru ke atas kaum Muslimin sehingga menjadikan miqyas (tolok ukur) kaum Muslimin bukan lagi bersandarkan kepada halal dan haram dalam Islam, tetapi kepada kebebasan dan hak asasi manusia di bawah demokrasi.

Sedangkan, Allah Maha Pengasih dan Penyayang telah siapkan semuanya dengan lengkap, untuk digunapakai sehingga tibanya Hari Pembalasan. Lalu, apakah hak makhluk untuk mencampakkan semua aturanNya? Ingatlah bahawa ancaman Allah kepada sesiapa yang berpaling daripada syariatNya akan diberi kesempitan dalam kehidupannya. Justeru, kita tidak punya pilihan lain selain kembalikan syariat dalam segenap sistem kehidupan.

Wallahu a’lam

Rujukan

Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2016 di pautan

https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=UCtXbzBXUDU1N1BFSW9qUmUxS3dNUT09
http://tafaqquh.com/kajian-kitab/kajian-safinah-6-tanda-tanda-baligh/

https://mykhilafah.com/sn414-rotan-kenapa-crc-bukan-sunnah-yang-dijadikan-pegangan/

http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/09/24/juvana/#h0aDQ5ivv6AWO547.99

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2017/09/328468/tahfiz-suspek-tak-boleh-dijatuhi-hukuman-mati

 

Oleh : Ustazah Amani Mohamed (Ketua MHTM Cawangan Muar)