Jet peribadi atau jet kerajaan, apa bezanya?

Gambar UL 170315 3Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli membuat pendedahan yang Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah membeli sebuah jet peribadi melalui satu surat perjanjian yang bertarikh 1 Disember 2014. Perolehan jet peribadi baharu untuk Najib itu dianugerahkan secara rundingan terus kepada Jet Premier One (Malaysia) Sdn Bhd yang turut mengendalikan jet peribadi sedia ada iaitu ACJ319. “Penggunaan jet peribadi ACJ319 sahaja sudah melibatkan kos sebanyak RM28.8 juta setahun dalam bentuk sewaan dan RM5.5 juta setahun dalam bentuk kos penyelenggaraan”, jelas Rafizi yang juga Naib Presiden PKR. Kos sewabeli jet terbaru ini pula dikatakan sebanyak RM465.4 juta.

Sebuah kenyataan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengatakan bahawa itu bukan jet peribadi tetapi jet kerajaan. Sumber itu juga berkata, perolehan pesawat ACJ320 (yang baru) dalam fleet pesawat Eksekutif Kerajaan dapat mengurangkan kos operasi, pengurusan dan penyelenggaraan. Kata JPM, perbincangan untuk menggantikan jet lama mula dibuat dua tahun lepas memandangkan kos penyelenggaraan bagi kapal terbang tersebut semakin meningkat berikutan faktor usia dan risiko keselamatan.

Najib bagaimanapun belum tampil menjawab pendedahan terbaru Rafizi ini. Jika benar itu adalah jet peribadi, maka persoalan ramai ialah dari manakah duit yang digunakan untuk membeli jet tersebut? Jika ia dibeli daripada duit simpanan Najib sejak kecil, maka memanglah tidak menjadi masalah kerana Najib berhak melakukan apa sahaja dengan duitnya asalkan halal. Namun, jika terbukti ia dibeli dengan menggunakan duit rakyat yang dirampas melalui pelbagai bentuk terutamanya cukai, maka Najib bukan sahaja kena menanggung kemarahan dan kutukan dari rakyat, tetapi juga dari Allah SWT. Na’uzubillah min zalik.

Jika benar bahawa jet tersebut bukan jet peribadi tetapi merupakan jet kerajaan, apakah bezanya sebenarnya? Ya mungkin ia berbeza dari segi hakmilik, tetapi dari segi sumber pendapatan untuk membeli jet semahal itu, dari mana datangnya jika bukan dari wang rakyat yang dirampas dalam pelbagai bentuk?

Apa yang lebih penting untuk dilihat ialah dari segi hukumnya, apakah syarak membenarkan sesebuah kerajaan memiliki jet seperti itu untuk kegunaan Perdana Menteri? Jika ia dibeli dari wang cukai, wang hasil minyak, gas dan lain-lain yang merupakan hakmilik umum, maka sudah tentu kerajaan menanggung dosa besar kerana membeli harta menggunakan wang rampasan dari rakyat.

Sekiranya dibeli dari sumber pendapatan yang halal, maka persoalannya di sini ialah dari segi keperluan, apakah Perdana Menteri memerlukan jet semahal itu untuk kegunaannya? Dalam keadaan perbendaharaan negara mencukupi dan kesemua keperluan rakyat telah terpenuhi, maka tidak menjadi masalah untuk seorang Ketua Negara membeli harta untuk kegunaan rasmi negara.

Tetapi dalam keadaan di mana negara sedang menanggung hutang luar sebanyak RM740 bilion, keperluan rakyat banyak terabai, rakyat masih dipaksa membayar yuran sekolah dan yuran pendidikan, kesihatan, pembangunan yang masih tidak seimbang di banyak kawasan dan banyak lagi hak rakyat yang tidak ditunaikan, maka sudah tentu pembelian jet tersebut menyalahi hukum aulawiyat (keutamaan) dan jatuh ke dalam dosa apabila perkara-perkara wajib lainnya terabai.

Ini belum masuk lagi persoalan pelaksanaan hukum Islam, di mana wajib bagi pemerintah untuk menggunakan segala dana yang ada bagi menerapkan hukum Allah secara kaffah dalam negara dan wajib memperlengkapkan tentera untuk keperluan jihad di luar negara bagi membebaskan umat Islam dan negeri-negeri Islam yang terjajah. Ini semua lebih aula (utama), malah wajib dilaksanakan oleh Najib daripada membeli jet untuk memenuhi hawanya.

Umum sudah mengetahui tentang pelbagai bentuk salah tadbir dan urus yang dilakukan oleh pemerintah sekarang. Walaupun sudah banyak skandal didedahkan dan muhasabah telah diberi, namun tetap sahaja tidak ada perubahan, malah semakin buruk dari masa ke semasa. Maka apa yang wajib dilakukan oleh setiap Muslim adalah untuk menolak pemerintah seperti ini dan berusaha menegakkan Khilafah dan melantik seorang Khalifah yang akan memerintah dengan Kitabullah dan Sunnah RasulNya yang akan memberikan kesenangan serta kesejahteraan kepada umat. Hanya dengan cara inilah seseorang Muslim itu akan terhindar dari dosa. Sabda Rasulullah SAW,

“Akan datang para penguasa, lalu kalian akan mengetahui kemakrufan dan kemungkarannya. Siapa saja yang membenci (kemungkaran yang dilakukan)nya akan bebas (dari dosa). Siapa saja yang mengingkari (kemungkaran tersebut) akan selamat (dari dosa). Siapa saja yang rela dan mengikutinya (akan celaka)…”[HR Muslim].

Sumber: keadilandaily.com, astroawani.com