Propaganda Tol Tak Dinaikkan Oleh Kerajaan

tolTol 4 lebuh raya tidak dinaikkan
 
KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd. (PLUS) tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta bagi meringankan beban pengguna.   Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2011 berkata, langkah itu diambil kerana kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat.  Sementara itu, UEM Group Bhd. (UEM Group) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mewujudkan sebuah syarikat khas (SPV) untuk tawaran mengambil alih keseluruhan aset dan liabiliti PLUS pada harga berjumlah RM23 bilion.  Tawaran yang akan dibayar secara tunai itu adalah bersamaan dengan RM4.60 untuk setiap saham, demikian menurut kenyataan bersama KWSP dan UEM Group.  UEM Group akan menguasai sebanyak 51 peratus pegangan di dalam syarikat khas tersebut manakala 49 peratus lagi akan dimiliki KWSP.  Tawaran ini bergantung kepada kejayaan penstrukturan semula Perjanjian Konsesi dengan terma-terma yang boleh dipersetujui oleh semua pihak.

Sumber: Kosmo 16/10/10

Tol Wajib Dihapuskan Dan Bukannya Tidak Dinaikkan Kerana Ianya Adalah Haram Di sisi Islam

Sekali lagi kerajaan sekular kapitalisme pimpinan Najib terus menggunakan pembentangan bajet untuk menggula-gulakan rakyat. Konon dengan alasan tidak ingin membebankan rakyat dan yang lebih “sedapnya” mengatakan kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat maka dalam pembentangan Bajet 2011 kali ini pihak kerajaan mengumumkan bahawa kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd. (PLUS) tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta. Sedap bunyi pengumuman tersebut. Namum apakah keputusan ini hanyalah gula-gula beracun menjelang PRU-13 yang akan datang? Persoalan yang paling mendasar di sini ialah sewajibnya Najib melihat isu tol ini mengikut pandangan Islam dan bukannya mengikut acuan kapitalisme. Tetapi malangnya kita melihat Najib terus menjadi ketua dan kepala bagi meneruskan sistem kufur peninggalan penjajah untuk diterapkan di tengah-tengah kehidupan rakyat umumnya dan umat Islam khasnya. Malang sungguh umat Islam kerana mepunyai pemimpin sekular seperti Najib. 

Wahai Najib! Jalanraya itu adalah milik rakyat dan adalah menjadi kewajiban kepada kamu sebagai pemerintah di saat ini untuk menyediakannya secara percuma kepada rakyat. Sabda Rasulullah SAW: “Imam (pemimpin) itu adalah pemelihara, dan dia akan dipertanggungjawabkan dari apa yang dipeliharanya (rakyatnya)” [HR Bukhari].

Wahai Najib! Ketahuilah bahawa tol itu adalah adalah salah satu bentuk cukai. Dan berdasarkan kepada nas-nas syara’, yang pastinya  tol itu adalah satu bentuk cukai yang diharamkan di sisi Islam. Sabda Rasulullah SAW:   “Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memungut cukai (mukus)”  [HR Ahmad, Abu Daud & Hakim].

Malangnya kita melihat Najib masih terus melakukan keharaman yang akan menyebabkan penyesalan bagi beliau di hari akhirat kelak jika beliau masih terus memilih untuk melangsungkan kezaliman tersebut.

Wahai Najib! Di saat ini kamu masih mempunyai peluang untuk beubah dan bertaubat. Semuanya terpulang kepada kamu sebenarnya.

Lihat SN151 – TOL : SAMPAI BILA PEMERINTAH MAHU MENANGGUNG DOSA?