Jika TPM Merasa Tol Adalah Beban, Bagaimana Pula Rakyat?
KUALA LUMPUR 17 Sept. — Syarikat konsesi lebuh raya perlu mengikuti langkah Kumpulan MTD untuk memberi tol percuma kepada pengguna lebuh raya kerana ini akan membantu mengurangkan beban pengguna dan melancarkan perjalanan, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. “Terserah kepada syarikat konsesi, mereka boleh ikut langkah MTD…belum terlewat lagi. Saya tidak tahu mungkin mereka sedang bincang agaknya. “Kalau lain-lain syarikat konsesi yang ada di negara kita mengambil langkah yang sama, tentu bukan sahaja dapat kurangkan belanja tetapi kita semua akan dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan tidak terperangkap dalam kesesakan yang biasanya mengambil masa yang lama,” katanya. – Bernama
Sumber: Utusan Malaysia, 170909
Wahai umat Islam! Nilai dan fahamilah sendiri kenyataan TPM di atas. Beliau sendiri mengakui bahawa tol adalah satu bebanan kepada pengguna. Bayangkan bebanan ke atas rakyat biasa yang tidak begitu berkemampuan! Inilah kejayaan konsep pengswastaan yang merupakan sebahagian dari tiang rapuh kapitalisme yang penuh dengan anai-anai kezaliman. Rakyat diperdaya kononnya konsep pengswastaan ini akan memberikan banyak kebaikan kepada rakyat sebagai pengguna dengan meningkatnya perkhidmatan yang bermutu. Namun apa yang dilihat adalah perampasan hak rakyat oleh syarikat konglomerat dengan ‘endorsement’ dari kerajaan Kapitalisme yang ada pada hari ini.
Hak rakyat kini menjadi bahan yang diniagakan dan dijual beli. Bukankah ini satu pengkhianatan yang hina? Soal perkhidmatan hakikatnya adalah tanggungjawab kerajaan untuk menyediakannya dengan baik. Apakah benar perkhidmatan syarikat-syarikat yang mendapat hak pengswastaan ini dijamin yang terbaik kepada rakyat? Apa yang jelas, rakyat terpaksa dan dipaksa untuk membayar setiap perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyatnya sendiri! Bukankah ini satu bentuk kezaliman yang nyata? Kerajaan Kapitalisme yang ada pada hari ini dengan bangganya berniaga dengan rakyat. Elektrik, air, minyak, jalanraya dan yang seumpamanya sepatutnya merupakan milik rakyat tetapi telah dirampas oleh pemerintah sekular atas nama pengswastaan. Kerajaan sekular yang ada hari ini secara berterusan membuat keuntungan dengan harta yang sememangnya menjadi hak milik rakyat. Apakah ini yang dinamakan pembangunan? Apakah ini yang dibangga-banggakan oleh kerajaan sekular yang ada pada hari ini?
Wahai umat Islam! Apalah erti pembangunan jika kalian terus dipaksa untuk membayar apa yang sepatutnya menjadi hak milik kalian. Untuk itu wahai seluruh umat Islam! Sudah sewajarnya kalian keluar dari sistem kehidupan jahiliyyah ini. Wahai umat Islam! Kalian akan terus ditipu selama mana kalian hidup dalam dunia Kapitalis ini. Sampai bila kalian mahu terus ditipu dalam sistem yang hina ini?