“Jumpa di mahkamah Allah” – satu kredit untuk Mejar Zaidi
Mejar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Zaidi Ahmad telah didapati bersalah di Mahkamah Tentera atas dua dakwaan melanggar protokol semasa mendedahkan masalah dakwat kekal yang digunakan dalam pilihan raya umum Mei 2013. Zaidi didapati bersalah kerana melanggar dua perintah tetap iaitu tidak bercakap dengan pihak media sebelum mendapat kebenaran Menteri Pertahanan dan kerana berkongsi maklumat sulit tentang perintah tetap dengan media tanpa kebenaran Majlis Angkatan Tentera di bawah Seksyen 50 Akta Angkatan Tentera 1972.
Selepas mengumumkan Zaidi bersalah, panel yang diketuai pegawai pengerusi Leftenan Kolonel Saadon Hassan, membenarkan beliau menampilkan saksi untuk menyokong rayuan bagi hukuman lebih ringan dan memberi beliau masa untuk bercakap dengan panel tentera. Zaidi mendakwa panel tersebut mempunyai agenda politik dan berkata mereka lebih bimbangkan “perut sendiri” daripada menggunakan otak.
Media melaporkan yang ketika diminta mahkamah untuk merayu hukuman lebih ringan, pegawai TUDM berusia 45 tahun itu berkata, “Saya tiada apa lagi untuk dikatakan. Jumpa nanti di mahkamah Allah,”
Tahniah wajar diberikan kepada Mejar TUDM itu di atas ucapannya. Ya, Zaidi mungkin bersalah kerana melanggar protokol tentera, tetapi mengungkapkan kebenaran dalam rangka membongkar kezaliman penguasa, bukanlah suatu kesalahan dalam Islam, malah menjadi kewajipan. Sabda Rasulullah SAW,
“Sampaikanlah kebenaran itu walaupun pahit” [HR Bukhari].
Malah, Islam meletakkan penyampai kebenaran ke darjat yang tinggi. Sabda Rasulullah SAW,
“Jihad yang paling afdhal adalah menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim” [HR an-Nasa’i].
Bahkan jika dibunuh oleh penguasa tatkala kita menyampaikan kebenaran, maka statusnya sama dengan penghulu syuhada’. Sabda Rasulullah SAW,
“Penghulu para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthallib dan orang yang berhadapan dengan pemerintah yang zalim, lalu dia mengingatkan penguasa tersebut (kepada kemakrufan) dan melarangnya (dari kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya” [HR al-Hakim].
Membongkar kejahatan penguasa adalah sebahagian daripada tugas politik yang termasuk dalam amar makruf nahi mungkar. Cuma tugas ini hendaklah dilakukan semata-mata kerana Allah, bukan kerana ingin menegakkan demokrasi atau memulihkan demokrasi atau memperjuangkan demokrasi atau apa sahaja atas nama demokrasi. Ia hendaklah dilakukan semata-mata kerana Islam. Itulah tuntutan dari proses amar makruf nahi mungkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran) di mana kebaikan dan kemungkaran itu hendaklah dinilai dari kaca mata Islam semata-mata, bukannya kaca mata demokrasi.
Mejar Zaidi telah mengalami sendiri, manakala seluruh umat Islam di Malaysia menyaksikan, bagaimana mahkamah dalam sistem demokrasi, walau Mahkamah Tentera sekalipun,berhukum semata-mata dengan undang-undang buatan manusia, bukannya dengan undang-undang Allah. Kerana itulah, keadilan sama sekali tidak akan tercapai.
Maka tepatlah apabila Mejar Zaidi dengan beraninya mengatakan “Jumpa di Mahkamah Allah nanti” sebagai satu-satunya mahkamah yang akan mengadili semua manusia dengan seadil-adilnya menurut undang-undangNya. Satu kredit untuk Mejar Zaidi. Semoga Allah terus memberikan keberanian dan kekuatan kepada beliau dan Allah mempermudahkan urusan beliau dalam mencari pekerjaan baru yang lebih baik.
Semoga beliau menjadi pejuang yang akan terus menegakkan agama Allah dan bukan pejuang demokrasi, sebuah sistem yang telah menzalimi beliau dan menzalimi kita semua, selama ini.