Kahwin mayat manifestasi amalan Jahiliyyah

jahiliyahPenduduk Shanxi, China yang kematian ahli keluarga perempuan dilanda kekhuatiran terhadap kegiatan mencuri mayat wanita di wilayah itu untuk dijadikan pasangan pengantin kepada mayat lelaki bujang.

Memetik laporan portal mirror.co.uk berdasarkan kenyataan Timbalan Pengarah Polis Daerah Hongtong, Lin Xu yang berkata, perkahwinan mayat itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 36 mayat wanita hilang dari kubur sejak tiga tahun lalu.

Situasi pelik ini berlaku kerana terdapat segelintir rakyat di negara itu yang mempercayai lelaki akan bernasib malang sekiranya mati tanpa berkahwin. Justeru, bagi mengelak nasib buruk, keluarga si mati sedaya upaya akan mencari pasangan kepada mayat ahli keluarga lelaki yang mati sebelum berkahwin. Mayat wanita yang dicuri akan diikat dengan wayar logam sebelum dipakaikan dengan set persalinan sebelum dikebumikan di sebelah mayat lelaki.

Siapa sangka di sebalik kemajuan dan kemodenan dunia hari ini, masih ada kepercayaan yang bukan sahaja karut, malah di luar batas kewarasan akal. Inilah manifestasi daripada kerosakan cara berfikir apabila manusia tidak menggunakan akal dalam menuju keimanan kepada Sang Pencipta atau dalam memahami hal-hal yang ghaib. Kedudukan ini sebenarnya sama seperti manusia yang menyembah batu atau pohon atau matahari dan sama juga seperti manusia yang mempercayai perkara-perkara tertentu boleh mendatangkan nasib malang/sial atau nasib baik.

Ironi, amalan yang karut marut seperti ini bukan sahaja melibatkan masyarakat non-Muslim, malah ada juga Muslim yang turut terpalit dengannya.

Amalan seperti memuja kubur, puja pantai atau puja sungai kerana percaya adanya ‘penunggu’ atau bagi mendapat hasil tangkapan yang lumayan; percaya kepada bomoh, tangkal, azimat dan lain-lain sebagai boleh menyelamatkan atau memberi nasib yang baik, semua ini masih boleh dijumpai dalam sebilangan umat Islam di negara ini. Amalan syirik ini terhasil dari bisikan syaitan ke atas manusia agar manusia tidak meletakkan kepercayaan seratus peratus kepada Allah, sebaliknya mempercayai ada benda lain yang boleh mendatangkan rezeki, ajal maut atau memberi keselamatan dan sebagainya kepada manusia.

Justeru, walaupun kehidupan yang dapat diindera ini berjalan dalam keadaan serba moden, namun dalam persoalan ‘pemikiran’, ternyata masih ramai manusia yang cara berfikirnya tidak ubah seperti zaman Jahiliyyah.

Sikap ini bukan sahaja bertentangan dengan akidah Islam, malah menunjukkan kebodohan melampau orang yang mengamalkannya dan memalitkan umat Islam secara keseluruhan. Tatkala Yahudi dan Amerika Syarikat menyerang dan membunuh umat Islam dengan persenjataan modennya, kita terdengar ada pihak yang cuba menghantar keris terbang untuk mengalahkan Yahudi dan Amerika; tatkala hilangnya MH370 dan segala peralatan moden gagal mengesannya, kita melihat bagaimana buah kelapa digunakan untuk mengesan pesawat malang itu dan pendek kata banyak lagi kekarutan dan amalan Jahiliyyah yang boleh disaksikan pada hari ini.

Itulah natijah daripada pemikiran yang tidak digunakan dengan waras dalam mencapai keimanan kepada Allah atau kepada hal-hal yang ghaib. Dalam masa yang sama, kita sering mendengar berapa ramai daripada orang-orang kafir yang memeluk Islam setelah mereka ‘berfikir’ (menggunakan akal dengan waras) bahawa batu-batu dan berhala yang mereka cipta itu sesungguhnya tidak dapat memberikan kebaikan mahupun kemudaratan kepada mereka sedikit pun. Malah, mereka berfikir betapa tidak masuk akalnya menyembah berhala yang mereka sendiri cipta, kerana sepatutnya mereka menyembah Zat Yang Mencipta mereka, bukannya benda yang mereka cipta!

Kerana itulah, apabila manusia menggunakan akal mereka dengan cara yang betul, maka mereka pasti akan beriman kepada Allah dengan sebenar-benar keimanan. Bukan setakat itu sahaja, malah mereka akan menjadi manusia yang bangkit, yang menakluk dunia dan membawa kesejahteraan kepada dunia, sebagaimana yang telah berlaku kepada bangsa Arab Jahiliyyah setelah kedatangan Rasulullah SAW yang mengajar mereka cara berfikir dan beriman yang benar.

Wallahu a’lam.