Kaji Khidmat Negara Singapura, PLKN Jadi Huru-hara
KUALA LUMPUR 8 Julai – Kerajaan bercadang untuk mempelajari beberapa modul dan aspek yang diguna pakai oleh pihak Khidmat Negara Singapura (SNS) bagi memperkuatkan model Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, JLKN akan melawat Singapura pada 21 Julai ini bagi mengadakan perbincangan mengenai perkara itu termasuk melawat ke beberapa kem SNS. “Kerjasama itu bukan berhasrat untuk mengikuti modul yang diguna pakai SNS tetapi ia adalah untuk menimba modul dan juga aspek yang boleh diserapkan bagi memperkuatkan modul JLKN. “Matlamat utama program khidmat negara di Singapura adalah jelas berbeza dengan kita di mana modul yang disediakan JLKN adalah untuk membentuk, membina sahsiah dan keperibadian pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN),” katanya. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Pemilihan Pelatih-Pelatih PLKN Siri 9/2012 di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Sumber : Utusan Malaysia: 09/07/11
Untuk tujuan itu, sewajibnya pihak yang berkenaan menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh dan tauladan bagi tujuan untuk melahirkan individu-indidvidu yang bersahsiah dan bukannya dengan mengikuti kaedah dan pendekatan yang diguna pakai oleh orang-orang kafir. Rasulullah SAW telah pun membuktikan kepada kita bahawa baginda SAW telah berjaya melahirkan tokoh-tokoh generasi muda yang bersahsiah hebat seperti generasi para sahabat. Siapa yang tidak mengenali kehebatan sahabat seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Mus’ab, Bilal, Salman dan lain-lain. Kesemuanya lahir daripada proses pengkaderan dan pembinaan yang dilakukan oleh baginda SAW. Apakah Zaid dan yang lain tidak terfikir akan hal ini? Mengapakah akal dan hati mereka tidak berfungsi untuk memahami bagaimana ideologi Islam telah berjaya mencetak dan melahirkan individu-individu yang hebat di sepanjang sejarah Islam? Apakah Zaid mengetahui bahawa untuk menjadikan seseorang individu itu bersahsiah Islam, maka fikrahnya (pola pemikiran) dan nafsiahnya (pola perilakunya) mestilah Islam. Mana mungkin generasi muda ini akan dapat dibentuk menjadi golongan yang bersahsiah Islam jika kita terus mengambil dan mengikuti modul pembinaan kufur untuk diterapkan. Tidak keterlaluan untuk kita mengatakan bahawa agenda PLKN adalah suatu program yang bermimpi di siang hari jika ianya tidak menjadikan Islam sebagai asas dan dasarnya.