Kapitalis dan sukan

RM1 juta insentif atlet negara menang emas di Olimpik

KUALA LUMPUR 24 Jun – Atlet negara yang memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik di Beijing, Ogos ini dan pada temasya serupa pada masa akan datang akan menerima insentif RM1 juta berbanding hanya RM160,000 sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun hadiah itu dianggap besar, ia wajar memandangkan standard Sukan Olimpik semakin meningkat.

“Untuk memenangi pingat emas ini juga bukan satu perkara mudah kerana pertandingan pada Olimpik semakin sukar. Daripada satu Olimpik kepada Olimpik yang satu lagi kita lihat standard semakin meningkat.

“Oleh itu, kita harus meletakkan sasaran yang lebih besar, lebih menarik lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pembangunan Sukan di bangunan Parlimen hari ini.

Najib berkata, negara-negara jiran seperti Singapura juga menawarkan insentif S$1 juta untuk atlet mereka yang meraih emas Olimpik.

Beliau berkata, ganjaran RM1 juta adalah wajar dan berpatutan memandangkan temasya sukan Olimpik itu ‘begitu gah’ dan diadakan empat tahun sekali.

Najib berkata, mesyuarat juga bersetuju memberi RM300,000 kepada pemenang pingat perak dan RM100,000 untuk gangsa.

Bagi pasukan yang memenangi emas, kadar minimum yang ditentukan ialah RM150,000 untuk setiap pemain.

Selain itu, pencen bulanan yang diterima oleh pemenang pingat Olimpik juga dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM5,000 bagi pemenang emas, RM3,000 perak (sebelum ini RM1,500) dan RM2,000 gangsa (sebelum ini RM1,000). Ia berkuat kuasa bulan depan.

Buat masa ini hanya lima atlet negara pernah memenangi pingat Olimpik iaitu pasangan beregu lelaki badminton negara, Razif dan Jailani Sidek (gangsa Olimpik Barcelona 1992), beregu lelaki, Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (perak Olimpik Atlanta 1996) dan pemain perseorangan Rashid Sidek (gangsa Olimpik Atlanta).

Jawatankuasa itu juga bersetuju memberi insentif kepada atlet paralimpik negara iaitu RM300,000 (emas), RM200,000 (perak) dan RM100,000 (gangsa).

– Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 25/06/08

Ulasan:

Ketika rakyat Malaysia sedang ‘nazak’ dibelasah harga minyak, krisis makanan dunia dan pelbagai sindrom sosial yang kronik, tetapi dicelah-celah hela nafas yang lelah menahan keperitan hidup, kita disajikan pula dengan berita ‘gempak’ dari TPM berkaitan anugerah besar negara ke atas atlet Olimpik negara yang meraih pingat sama ada emas, perak mahupun gangsa. Nilainya amat menggemparkan! RM1 juta bagi pemenang pingat emas, RM300,000 untuk perak dan RM100,000 untuk gangsa.

Bandingkan pula dengan pendapatan seorang petani, nelayan, pekerja kilang, buruh kasar atau penjaja goreng pisang yang saban hari sebak dada mengira duit belanja untuk hidup. Dalam keadaan harga barangan yang semakin ‘mengganas’ dan harga minyak yang melambung tinggi yang dinaikkan oleh PM awal Jun lalu, kerajaan pula masih ada jutaan ringgit untuk diberikan secara percuma kepada pemenang pingat emas. Jika dibandingkan antara ahli sukan dan nelayan atau petani, siapakah yang lebih berguna kepada negara? Jika tiada nelayan atau petani, sudah pasti susah hidup ini, namun jika tiada ahli sukan, sebesar zarah pun tidak ada orang yang rugi!!! Namun, dengan adanya pemimpin kapitalis sekular seperti ini, aktiviti “mengharumkan” nama negara lebih penting dari aktiviti “memberi makan” kepada negara. Itulah sebabnya atlet sukan dijulang dan diberi anugerah sejuta ringgit, namun petani dan nelayan dibiarkan terhimpit di celah kehidupan. Ini kerana, petani dan nelayan tidak akan dapat “mengharumkan” nama Malaysia, sebagaimana yang ahli sukan selalu lakukan.

Apakah kenikmatan kepada rakyat Malaysia yang sedang nazak ini sekiranya atlet Malaysia merangkul ratusan pingat emas dari sukan Olimpik anjuran kufur itu? Bolehkah ia menyelesaikan kemelut ekonomi yang merundung nasib kita sekarang? Inilah persoalan yang perlu difikirkan dan diatasi sekarang. Realiti masa kini tidak menghendaki sebarang usaha untuk menaikkan atau mengharumkan nama negara di  persada sukan kerana sukan tidak memberikan kesan positif kepada permasalahan yang melanda sekarang.

Olimpik bukan sahaja sukan tetapi ia menunjukkan ketundukan negara umat Islam kepada kufur Barat dengan menyahut seruan perpecahan mereka dalam agenda sukan. Olimpik juga mendukung pelbagai bencana sosial ke atas kehidupan manusia. Salah satunya, kos hidup. China menelan belanja yang sangat tinggi untuk mengelola acara sukan tersebut. Jumlahnya mampu menampung kemusnahan dan memperbaiki kerosakan yang berlaku di Sinchuan dan beberapa tempat yang dilanda gempa di sana baru-baru ini. Dalam pada China masih menyeru agar dunia bersimpati dan mengutip derma untuk mangsa bencana, pada masa yang sama China masih meneruskan juga acara sukan tersebut? Apakah yang lebih utama? Sukan atau kemaslahatan rakyat?

Begitu juga di Malaysia, nampaknya ia telah benar-benar mengikuti jejak langkah negara-negara kufur yang mengabaikan tanggungjawab yang sepatutnya dijalankan ke atas rakyat. Sukan hanyalah hiburan. Itulah yang dikejar oleh para pemimpin negara sekarang. Rakyat yang menderita tidak diendahkan. Hiburan pula yang dicari. Orang bersukan dapat pencen beribu-ribu kerana jasa “mengharumkan nama negara”, manakala rakyat yang tidak pandai menjulang nama negara menjadi mangsa kehausan pemimpin penghisap darah…