Memulihkan ekonomi dengan sukan!

Ketika berucap di Kuala Terengganu pada 8 Oktober sempena majlis pelancaran countdown FEI-World Endurance Championship 2008 yang akan berlangsung dari 6 hingga 9 November ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata,
kerajaan akan terus memberi sokongan terhadap pembangunan industri sukan pelancongan kerana ia berupaya meningkatkan ekonomi negara ketika berhadapan dengan kemelut ekonomi dunia. Walaupun ekonomi Malaysia tidak terjejas teruk dan masih mampu bertahan namun usaha perlu dilakukan untuk membangunkan sektor-sektor yang boleh terus menjamin keutuhan ekonomi negara, katanya.

Adalah menjadi perkara biasa bagi seseorang Menteri di Malaysia untuk ‘menafikan’ apa jua masalah yang wujud di bawah kementerian jagaannya. Najib selaku Menteri Kewangan yang baru dilantik, cuba untuk menafikan bahawa ekonomi Malaysia masih ‘tidak terjejas teruk’ dan masih mampu bertahan.

Secara logiknya, jika ekonomi Malaysia tidak terjejas teruk, masakan sukan pelancongan yang secara jelas tidak memberikan kesan besar kepada pendapatan negara perlu digiatkan, malah dikatakan mampu menjamin keutuhan ekonomi? Sebenarnya, dengan kata lain, Malaysia bakal terjejas teruk akibat krisis ekonomi yang melanda AS kerana ekonomi Malaysia masih terperuk di bawah jajahan ekonomi kuasa besar dunia tersebut. Krisis ekonomi negara penjajah Uncle Sam ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara-negara dunia, bahkan ia turut ‘menjejaskan’ pemikiran para pemimpin umat Islam yang ada.

Akibat terjejasnya ekonomi Malaysia, yang menggelikan hati, sektor sukan pelancongan pula yang sangat kecil sumbangannya kepada pendapatan negara, dilihat sebagai salah satu ‘penyelamat’ bagi mengutuhkan ekonomi negara. Kita semua tahu bahawa kos yang ditelan untuk menyediakan segala trek dan kemudahan bagi sukan-sukan besar di Malaysia adalah berjuta-juta ringgit jumlahnya, dan jumlah kos ini biasanya disembunyikan dari rakyat. Manakala yang dihebah dan dibesar-besarkan kepada rakyat adalah ‘pulangan/pendapatan’ yang diperolehi dari penganjuran sukan-sukan tersebut. Ini dilakukan agar rakyat hanya ‘dinampakkan’ dengan jumlah pulangan hasil dari sukan yang tak berfaedah ini. Pulangan ini pula seolah-olah telah banyak menyumbang kepada pendapatan negara dan dapat menyelamatkan ekonomi Malaysia.

Walhal apa yang pasti ialah, jika ada pihak yang mendapat pulangan sekalipun dari penganjuran sukan-sukan besar tersebut, maka mereka adalah golongan kerajaan itu sendiri dan kroni-kroni mereka yang Kapitalis, manakala rakyat tetap dalam keadaan tertindas dan tak mendpat apa-apa faedah pun. Jutaan ringgit yang telah dikaut oleh 2-3 kerat kroni sebagai keuntungan, lalu jumlah ini dimasukkan sebagai sebahagian dari KDNK, maka sudah tentulah jumlah pendapatan negara akan bertambah. Namun hakikatnya adalah, kekayaan tersebut hanya dinikmati oleh 2-3 kerat kroni itu sahaja, manakala jutaan lagi rakyat langsung tidak mendapat satu sen pun dari pulangan tersebut. Namun bagi Kapitalis, ini tidak mengapa kerana ‘pendapatan negara’ telah meningkat, walaupun ‘pendapatan rakyat’ langsung tidak mengalami perubahan. Yang penting adalah ‘pendapatan negara’.

Inilah antara hasil dari kejayaan penjajah di mana sektor ekonomi yang ada langsung tidak terlepas dari dominasi golongan Kapitalis dan pemerintah yang ada langsung tidak boleh berfikir untuk menggantikannya dengan ekonomi Islam. Kepala otak mereka sudah penuh tersumbat dengan pemikiran Kapitalis dan sudah tidak dapat keluar dari situ. Justeru, walaupun negara kita telah dilanda krisis ekonomi dari masa ke semasa dan hingga ke tahap serius sekalipun, golongan pemerintah yang berideologi Kapitalis ini tetap dengan kekapitalisan mereka, seolah-olah Islam tidak mempunyai penyelesaian terhadap krisis yang melanda. 

Islam sebagai sebuah agama yang sempurna telah lama menggariskan pelbagai sumber masukan yang berupa pendapatan negara yang tetap. Di dalam Islam, di samping usaha pemerintah menjana pendapatan negara dari sumber-sumber yang telah ditetapkan syarak, pemerintah juga mengutamakan pelayanan atau perkhidmatan kepada rakyat agar rakyat terus hidup makmur dan menikmati kekayaan negara dengan adil. Bagi negara Islam (Daulah Khilafah), pendapatan negara diperolehi dari sumber yang besar seperti ghanimah, anfal, fai’, kharaj, ‘usyur, jizyah dan lain-lain. Sumber pendapatan seperti sukan pelancongan atau sumber cukai hasil keringat rakyat langsung tidak masuk dalam agenda perekonomian negara. Ini adalah kerana Khilafah tidak melakukan eksploitasi atau manipulasi dari keperluan atau kehendak rakyat seperti yang dilakukan oleh negara Kapitalisme. Khilafah juga tidak akan melakukan perkara-perkara yang haram untuk memasukkan kekayaan negara ke poketnya, sebagaimana diamalkan oleh pemerintah Kapitalis sekarang.

Jelas bagi kita, bahawa penjajahan Barat atas pemikiran dan negara masih belum berakhir. Para pemimpin yang ada sekarang hanyalah penyambung kepada kesinambungan penjajahan Barat ke atas kita. Lihat sahaja idea dan pemikiran mereka dalam mengatasi kemelut yang melanda, mereka adalah terdiri dari orang yang hilang pedoman, tercari-cari penyelesaian seperti orang tak cukup akal, padahal Islam telah menggariskan segala penyelesaian tentang masalah kehidupan, sama ada individu, bermasyarakat mahupun bernegara. Terlalu lamanya para pemerintah ini telah menjauhi Al-Quran, kerana itulah sekarang kita melihat betapa dangkalnya pemikiran mereka di dalam menyelesaikan masalah kehidupan. Allah swt mengingatkan kita,

“Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).” [TMQ Yaasin (36):9]