Kartel Daging Import: Apa Pengajaran Untuk Kita?
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import yang didakwa dikuasai kartel. Satu sumber menjelaskan, fokus siasatan yang akan dilakukan SPRM adalah mengenai isu pemalsuan borang Kastam 1, iaitu membabitkan pengisytiharan barangan import [Berita Harian].
Malaysia merupakan negara pengimport untuk daging beku haiwan ruminan seperti kerbau, lembu dan kambing. Secara praktisnya, daging import yang dibawa masuk ke Malaysia wajib memiliki pensijilan halal. Semua loji sembelihan telah pun mendapat pensijilan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM atau melalui sijil halal dari JAKIM sendiri. Malah loji tersebut turut diperiksa dan diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Namun, pendedahan mengenai kewujudan kartel yang memanipulasi proses pengimportan daging dari luar negara dengan persekongkolan penjawat awam yang didakwa terlibat dalam rasuah ini benar-benar mengejutkan umat Islam di negara ini. Perbuatan keji sebegini menyebabkan timbul keraguan terhadap status halal daging-daging import sehingga timbul saranan daripada segelintir pihak agar mengelakkan daripada memakan daging import buat sementara waktu.
Kebiasaannya penipuan ini bermula di gudang milik syarikat logistik (pengedar, pengeksport atau pengimport) yang tiada sijil halal. Ketiadaan sijil halal ini yang menyebabkan tiada kawalan jaminan halal pada syarikat logistik tersebut dan bermulanya proses percampuran daging halal dan haram atau diragui status sembelihannya.
Syarikat logistik yang menguruskan import eksport ini terdiri daripada luar dan dalam negara. Dengan itu, proses percampuran daging halal dan diragui status halalnya boleh berlaku bermula di luar negara sebelum import dijalankan atau di dalam negara selepas daging tiba di Malaysia (selepas pemeriksaan Kastam dan MAQIS).
Inilah antara natijah kerosakan yang timbul daripada amalan rasuah. Sistem demokrasi sememangnya menyuburkan segala bentuk kejahatan, kerana sistem ini memisahkan agama daripada kehidupan, dan kerosakan yang dibawanya sudah tidak terbendung. Kerana itulah ramai manusia yang tidak takut untuk melakukan kejahatan dalam sistem ini, kerana mereka sering sahaja terlepas dengan hukuman apatah lagi apabila melibatkan orang-orang besar dalam pemerintahan. Mereka ini lupa bahawa azab yang pedih menanti mereka di akhirat, sebagaimana dituturkan oleh Abdullah bin Amr (ra):
“Rasulullah (saw) melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah” [HR Abu Daud].
Dari sudut yang lain pula, timbul persoalan mengapa Malaysia masih perlu mengimport daging beku jika Malaysia sendiri mampu menjadi pengeluar utama daging lembu? Di mana rasionalnya Malaysia mengimport daging kerbau beku dari India dan daging lembu beku dari negara seperti Australia, New Zealand serta lain-lain negara sedangkan di Malaysia sendiri terdapat ternakan lembu hampir di seluruh negeri.
Apa yang jelas, isu harga memainkan peranan penting, di mana daging import lebih murah berbanding daging tempatan dan mendapat permintaan tinggi dari sektor industri seperti perhotelan dan kilang.
Senario harga daging import yang lebih murah ini merupakan suatu yang wajar dikaji, bagaimana suatu produk import yang perlu membayar cukai (duti import) dan menanggung kos logistik (kapal, kontena dan lori) yang jarak beribu kilometer boleh dijual lebih murah berbanding daging tempatan? Ada yang berhujah dengan “economy of scale” yang membolehkan pengeksport mengenakan harga lebih rendah.
Namun, terbongkarnya dakwaan kewujudan kartel yang mengaut untung besar dengan merasuah pegawai demi melepasi prosedur pensijilan halal ini sewajarnya membuka mata pemerintah agar mempertimbangkan semula dasar pengimportan daging beku.
Bahkan sewajarnya negara mengembangkan lagi industri penternakan yang lestari demi memastikan jaminan keselamatan makanan (food security). Teknologi ternakan terkini juga wajar diperluas, misalnya dengan membantu penternak meneroka kaedah ternakan fidlot berbanding penternakan secara tradisional.
Pembangunan industri tempatan bukan sahaja dapat membantu mengembangkan ekonomi negara, bahkan memudahkan pemantauan yang berkesan terhadap jaminan kualiti dan status halal. Semua ini wajib diperhatikan demi memenuhi kemaslahatan umat berhubung isu ini.
Sesungguhnya, negara wajib memenuhi keperluan pasaran dengan produk atau daging yang halal dan tidak membenarkan penjualan sebarang benda yang haram seperti daging babi dan arak dalam skala yang besar. Malangnya, di Malaysia yang mengaku sebagai negara Ahli Sunnah wal Jamaah, ternakan babi semakin subur sehingga mampu dieksport ke luar negara, tapi perkara sebaliknya yang berlaku untuk daging lembu dan kambing.
Dalam sebuah negeri Islam, apatah lagi majoriti penduduknya Muslim, hal seperti ini tidak seharusnya berlaku. Negara wajib memastikan kesemua produk di pasaran khususnya untuk kegunaan kaum Muslimin adalah 100% halal. Non-Muslim juga seharusnya turut melakukan jual beli makanan yang halal, sebagaimana perintah Allah (swt) kepada semua manusia tanpa mengira agama iaitu:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
“Wahai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaitan. Kerana sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang paling nyata” [Al-Baqarah (2):168].
Sungguhpun demikian, Islam tidak melarang penganut agama lain daripada mengambil produk haram seperti daging babi atau arak yang dibenarkan menurut ajaran agama mereka. Namun produk sedemikian tidak akan dikembangkan pada skala industri. Sebaliknya penghasilannya dibenarkan untuk kegunaan persendirian sahaja.
Dalam pada itu, kita memang tahu bahawa umat Islam di Malaysia ini sangat sensitif dengan segala makanan haram, walaupun kecil dan sedikit. Perkara ini memang sangat besar di sisi mereka, dan adalah wajar untuk kita semua sensitif. Apa yang menyedihkan ialah masih ramai yang tidak sensitif dengan sistem dan undang-undang yang haram yang diterapkan di negara ini, yang mana inilah sebenarnya antara punca utama kepada kewujudan segala keharaman lainnya di negara ini.
Wallahu a’lam.