Kdnk tidak layak menjadi ukuran kesejahteraan ekonomi masyarakat

Berita: Mydin: KDNK kukuh tetapi rakyat tiada wang

Malaysia mungkin menyaksikan pertumbuhan dalam negara yang kukuh tetapi pengguna tidak mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan runcit mereka, kata Datuk Wira Ameer Ali Mydin, pengarah urusan rantaian hypermarket popular Mydin.

Dalam temu bual dengan stesen radio BFM, Ameer berkata jualan hypermarket terus menyaksikan penguncupan. “Saya tidak kata, tidak ada pertumbuhan, sudah tentu, perangkaan menunjukkannya. Tetapi di negara, lazimnya, apa yang kita lihat adalah pertumbuhan itu (dijana oleh) perbelanjaan domestik.

Berita penuh: https://www.malaysiakini.com/news/411199

Komentar:

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK atau Gross Domestic Production, GDP) ialah kiraan kasar nilai pengeluaran (production) dalam negara bagi semua faktor pengeluaran yang wujud di dalam negara seperti perkhidmatan, pembuatan, pertanian, pembinaan dan galian. Dalam ekonomi kapitalisme, KDNK ialah sebahagian daripada ukuran makroekonomi yang diguna pakai bagi mengukur hasil pendapatan negara dengan membawa idea ‘semakin tinggi pertumbuhan KDNK, semakin baik (sejahtera) perkembangan ekonomi sesebuah negara’. Penggunaan KDNK sebagai ukuran pertumbuhan ekonomi negara merupakan satu kesalahan fatal dalam menilai kesejahteraan dan kemampuan masyarakat secara individualnya. Antara kesalahan-kesalahan KDNK boleh dinilai seperti berikut:

  • KDNK tidak memberi gambaran peredaran kekayaan yang sejahtera dalam masyarakat. Ia hanya mengambil kira hasil janaan faktor-faktor pengeluaran dengan beranggapan bahawa janaan ini terbit daripada permintaan, tetapi tidak melihat sendiri peratusan permintaan itu daripada masyarakat. Jurang miskin kaya bukanlah satu elemen yang perlu diambil kira;
  • KDNK memukul rata segala jenis pengeluaran termasuklah perkara-perkara yang buruk dalam masyarakat. Sebagai contoh, sekiranya berlaku bencana alam, pengeluaran yang melonjak naik untuk memperbaiki kerosakan yang berlaku itu dikira sebagai satu pertumbuhan baik yang menjana kenaikan KDNK negara;
  • KDNK tidak mengambil kira jumlah masa yang telah dihabiskan masyarakat yang berkerja dalam faktor-faktor pengeluaran. Ada yang berhempas pulas membuat dua-tiga kerja serentak lalu kehilangan masa rehat dan masa bersama keluarga yang menyumbang kepada gejala sosial.

Ini sebahagian sahaja daripada keburukan KDNK sebagai ukuran utama pertumbuhan dan kesejahteraan ekonomi negara. Ternyata, sistem kapitalisme tidak pernah memandang manusia dengan pandangan fitrah tetapi ‘melanyak’ masyarakat semaksimum mungkin demi menunjukkan ekonomi negara berada dalam keadaan yang baik. Oleh sebab itulah kita dapat melihat apabila Jabatan Statistik Negara mengumumkan KDNK negara mengalami pertumbuhan positif, sebahagian rakyat pula sedang bergelut dengan kesusahan hidup demi mencari sesuap nasi.

Dalam Islam, pertumbuhan ekonomi yang sejahtera diukur dengan kemampuan per individu. Syarak meletakkan pelbagai hukum dalam memastikan manusia hidup dalam keadaan fitrah dan keperluan hidupnya terjamin. Syarak juga mewajibkan peredaran kekayaan dalam masyarakat di samping negara wajib menguruskan harta-harta kekayaan bersama milik masyarakat. Apakah kita tidak mahu kembali kepada zaman kegemilangan Islam? Hanya dengan sistem pemerintahan Khilafah, manusia akan kembali sejahtera di bawah sistem ekonomi Islam.

Shah Sinan
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia