Ke mana ahli UMNO selepas ini?

umno-1Perhimpunan Agung UMNO (PAU) baru sahaja berakhir dan kali ini ada sedikit kepanasan setelah lemau sejak sekian lama. Kali terakhir perhimpunan parti assabiyyah Melayu terbesar itu disirami api ialah pada tahun 1998 di mana Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dr Mahathir Mohamed berada di kemuncak perseteruannya dengan Anwar Ibrahim yang juga Timbalannya yang dibela sejak sekian lama, yang kemudian dipecat dengan penuh keaiban dan akhirnya meringkuk dalam penjara.

Sejak itu, perhimpunan agung UMNO hanya menjadi gelanggang presiden UMNO untuk bersilat seorang diri dengan diperhatikan oleh ribuan pengampu yang sentiasa setia menjadi tukang sorak. Perjuangan Melayu yang sengaja dibesarkan pada setiap kali perhimpunan sentiasa diapi-apikan sebagai belum mencapai matlamat, walaupun hakikatnya parti Melayu itu sudah ditubuh sebelum merdeka lagi. Sifirnya mudah sahaja, jika perjuangan Melayu sudah mencapai matlamat, maka UMNO sudah tidak lagi releven. Jadi, kisah perjuangan Melayu yang belum selesai itu mesti sentiasa diungkit-ungkit bagi memastikan talian hayat UMNO yang semakin berkurang oksigennya itu dapat diteruskan.

Cuma PAU kali ini menyaksikan tema perdamaian dan “jiwa besar” diangkat dengan mendabik dada oleh sang presiden. Apa pun temanya, ia hanya bagi memastikan kerusi angkuh presiden terus dapat dipertahankan. Ini kerana jauh sebelum itu, sudah terdapat usaha-usaha, khususnya daripada para penyokong Muhyiddin dan Dr. Mahathir, untuk bukan sahaja mengkritik sang presiden, malah menggesa Presiden parti assabiyyah Melayu itu untuk meletak jawatan.

Namun, Najib bukanlah orang yang mudah menyerah kalah, malah amat terkenal sebagai pemimpin yang sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan jawatan dan kuasanya. Kerana itulah, Muhyiddin yang diagaknya akan menggegarkan gelanggang, sejak dari awal sudah dirantai kaki, tangan dan mulutnya oleh Najib. Tidak cukup dengan itu, Muhyiddin terus dileteri, diperli dan diugut di sepanjang PAU tanpa diberi ruang untuk membela diri.

Najib sudah tentu tidak mahu gelombang 1998 menerpanya dan dia telah belajar dari kesilapan Mahathir, yang menyebabkan perpecahan terbesar melanda UMNO ketika itu. Kerana itu, musuh dalam selimutnya telah diikat terlebih dahulu. Sembilan orang ketua cawangan UMNO yang cuba menekan Najib meletakkan jawatan, telah terlebih dahulu digantung oleh Presiden UMNO yang sungguh berkuasa itu. Inilah ‘signal’ Najib kepada semua perwakilan, bahawa jangan cuba bermain api, kelak akan membakar diri.

Sebenarnya bukan sahaja Najib, presiden-presiden UMNO sebelum ini pun tiada bezanya. Siapa sahaja yang cuba menjadi Hang Jebat, maka terimalah padahnya. Cuma, di bawah kepimpinan anak Tun Razak ini, cengkamannya jauh lebih kuat dari anak Badawi dan anak Mohamed. Inilah sejarah pemerintahan demokrasi ala UMNO yang mana hanya Hang Tuah sahaja yang dibenarkan hidup di bawah pemerintahannya.

Namun demikian, apa yang amat menyedihkan ialah, walau pun sudah melihat sang pemimpin yang beraja di mata dan bersultan di hati, majoriti ahli UMNO masih tetap memilih menjadi Hang Tuah. Ahli-ahli UMNO gelap mata dengan jawatan dan projek yang menjadi hala tuju perjuangan sejak hari pertama mereka menjadi ahli. Menjadi Hang Jebat adalah suatu perkara yang amat bodoh dalam UMNO, malah siapa yang berjiwa Hang Jebat sebenarnya tidak akan masuk UMNO dari awal.

Sungguh, dunia ini telah mengelabui jutaan ahli UMNO. Walaupun mereka tahu kerosakan pemimpin, parti dan perjuangan mereka, namun mereka masih setia melekat dengannya, kerana mengharapkan sedikit habuan dunia. Jawatan dan projek menjadi intipati perjuangan ahli-ahli UMNO sejak dulu hinggi kini tetapi Insya Allah tidak mungkin untuk selamanya.

Bagi ahli UMNO yang hatinya sudah hitam dan dipenuhi dengan dunia, ya mereka tetap memilih untuk ke kubur bersama dengan jawatan dan projek tersebut. Tetapi bagi ahli UMNO yang sudah semakin sedar dan ingat bahawa dunia ini bukan segala-galanya serta mereka ingat akan hari pembalasan dan perjumpaan dengan Allah, maka Insya Allah mereka akan memilih jalan yang betul lagi benar. Semoga PAU kali ini membuka mata ahli-ahli UMNO dan Insya Allah kita doakan agar mereka diberi hidayah oleh Allah SWT, lalu mereka akan menukar perjuangan assabiyyah dan dunia mereka, kepada perjuangan atas dasar Islam semata-mata.