Wanita Umno kena berubah – Kearah Mana?

Ahli perlu ikut perubahan elak parti terus lumpuh : Shahrizat

KUALA LUMPUR: Ahli Umno perlu berubah dan ia perlu bermula dengan Wanita Umno bagi mengelakkan parti daripada terus lumpuh, kata Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, malam tadi, beliau berkata, ahli Umno tiada pilihan sama ada perlu berubah atau mereka yang akan diubah.

Beliau berkata demikian sebagai menyokong saranan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, bahawa perubahan mesti dilakukan dalam Umno supaya segala persepsi negatif (terhadap parti) dapat dikikis.

Najib berkata demikian pada program Dialog@1 bertajuk Umno: Berubah atau Diubah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, malam tadi yang turut disiarkan secara langsung oleh RTM melalui saluran TV1.

Sehubungan itu, Shahrizat yang juga Penasihat Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial Kepada Perdana Menteri, menggariskan dua langkah ke arah perubahan.  Pertama, katanya, ahli Wanita UMNO yang seramai 1.3 juta adalah tulang belakang parti dan tentera yang akan keluar ke medan perang untuk memenangi pilihan raya mesti kuat dan berupaya.

“Hari ini kita lemah dan kepemimpinan Wanita Umno mesti membela nasib Wanita Umno dengan lebih agresif dan terancang bermula di peringkat cawangan dan bahagian.

“Semangat mereka mesti dipulihkan, pembangunan ekonomi mereka terlalu lama diabaikan, hak dan peluang mereka dalam parti dan kerajaan perlu diperjuangkan dengan serius dan ikhlas.

“Program berilmu mesti dipertingkatkan dan suara Wanita Umno pada peringkat akar umbi mesti diberi penghormatan,” katanya. Perkara kedua, katanya, sepatutnya Wanita Umno mesti menjadi suara lantang membela nasib wanita Malaysia.

“Tetapi hari ini persepsinya ialah Wanita Umno gagal untuk memperjuangkan aspek politik yang paling kritikal untuk Umno iaitu isu wanita, keluarga dan syariah,” katanya.

Sumber : Berita Harian, 23 Mac 09

Wanita Umno Kena Berubah. Kearah Mana?

Ya! Itulah persoalan yang sepatutnya kita lontarkan bagi menyahut saranan calon ketua wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Saranan Shahrizat tidak sepatutnya terhenti di situ sahaja. Hakikatnya, wanita memang perlu berubah tetapi ke arah mana? Yang pasti dipersoalkan oleh umat hari ini adalah shakhsiyyah wanita Umno itu sendiri yang nampaknya masih tidak berubah ke arah Islam. Tidak perlulah kita pergi terlalu jauh…Bagaimana dengan aurat yang wajib ditutupi?  Apakah hukum aurat yang diperintah Allah SWT itu hanya wujud ketika melakukan sholat ataupun ketika mengerjakan haji di mana ketika itu barulah aurat ditutup? Bukankah tindakan seperti ini merupakan bentuk bangkangan atas perintah Allah SWT?

Sekiranya wanita UMNO benar-benar ingin berubah, maka jadikanlah aqidah Islam sebagai agen kepada perubahan hakiki itu. Hayatilah bagaimana kentalnya aqidah yang dipegang oleh Sumaiyyah yang syahid kerana mempertahankan aqidah Islam yang dimilikinya. Contohilah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Siti Khadijah yang sanggup berkorban apa sahaja untuk membantu perjuangan dakwah yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW. Selidikilah figur-figur Muslimah mulia yang konsisten dengan aqidah mereka serta bentuk-bentuk perubahan yang berjaya mereka lakukan.  Yang pastinya, perubahan yang hakiki adalah perubahan kepada Islam, bukan yang lain.