Ubah cara Politik UMNO. Nak Ubah Apa?

PUTRAJAYA, 9 April – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua peringkat pemimpin UMNO bahawa mereka mesti berani membuat perubahan dengan mengubah cara metodologi politik bagi memastikan parti itu terus relevan dan dikasihi rakyat.

Berucap pada majlis kesyukuran di Sri Satria malam ini, Presiden UMNO itu menegaskan, sekiranya ahli UMNO masih alpa dan tidak mengambil kira persekitaran baru sekarang, risikonya parti itu akan tewas di tangan lawannya sekali gus lenyap dan dilupakan begitu sahaja.

‘‘Semasa zaman muda saya, waktu itu letak songkok dan pokok pisang pun, kita pasti menang tapi keadaan sekarang berbeza. Kalau kita lihat pilihan raya kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang, parti lawan menggunakan metodologi baru tapi UMNO dan BN masih guna yang lama.

‘‘Oleh itu salah satu penugasan yang perlu dilakukan adalah untuk kita tanya apakah yang patut kita lakukan agar metodologi kita bertepatan dengan zaman yang kita lalui sekarang. Saya anggap ini satu agenda penting bagi UMNO yang kita hasratkan akan dibincangkan metodologi ini dalam mesyuarat pertama Majlis Tertinggi UMNO nanti,” kata beliau.

Sumber : Utusan Malaysia, 10/04/09

Apa Yang Perlu Diubah?

Ya sudah semestinya  UMNO perlu  mengubah cara berpolitiknya – dari cara berpolitik yang berasaskan politik sekular kepada politik Islam. UMNO perlu memahami apakah yang sepatutnya perlu diubah. Tidak ada perubahan yang paling baik melainkan perjuangan UMNO itu sendiri diubah kepada Islam. UMNO perlu membuang jauh-jauh perjuangan ashobiyyahnya dan merangkul perjuangan Islam. Renungilah firman Allah SWT:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”. [TMQ a-li-‘Imran(3):104].

Ayat di atas menjelaskan bahawa hanya Islamlah asas yang selayaknya menjadi dasar bagi mana-mana parti politik. Ahli-ahli UMNO adalah orang-orang Islam tetapi malangnya perjuangan parti UMNO itu berasaskan fahaman sekular. Sudah lebih 50 tahun UMNO berkuasa namun selama itu jugalah UMNO telah gagal untuk meletakkan Islam sebagai asas dan dasar kepada negara ini. Sampai bilakah UMNO akan berubah?  Firman Allah SWT:

“ Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka”. [TMQ al-Hadiid(57):16].

Masih belum terlambat bagi UMNO untuk  berubah kepada perjuangan yang  berasaskan Islam.