Kebangkitan rakyat dan kegagalan demokrasi di Indonesia dan Malaysia
Perkembangan terkini di Indonesia menyaksikan kebangkitan rakyat yang luar biasa, yang tidak pernah terjadi sebelumnya. Isu yang melanda bukanlah sekadar fenomena politik biasa, tetapi sebuah letupan jiwa untuk menuntut keadilan, yang berpunca daripada ketidakadilan sistem yang telah lama membelenggu rakyat.
Elit politik telah melampau dalam banyak hal menyebabkan kesakitan hati dan kemarahan rakyat tidak lagi terbendung. Rakyat bangkit menyatakan protes. Insiden tragis menimpa seorang pemuda 21 tahun, Affan Kurniawan, pemandu ojek dalam talian yang maut dilanggar trak Brimob. terus menjadi petrol yang membakar kebangkitan rakyat.
Protes besar-besaran terjadi di banyak kota secara serentak, yang bukan sahaja merupakan simbol kemarahan, tetapi simbol penderitaan rakyat dan kegagalan sistem yang sepatutnya memberikan kesejahteraan dan melindungi rakyat. Pasukan polis dikerahkan habis-habisan oleh pemerintah untuk menghalang protes, namun api kemarahan rakyat sudah membakar umpama tiupan angin kencang yang sudah tidak terkawal. Rakyat sudah lama memendam rasa dan bersabar dengan segala kejahatan elit pemerintahan selama ini, yang akhirnya meletus umpama gunung berapi yang sudah tiba masanya.
Rakyat Indonesia sudah lama tertekan dengan kos sara hidup yang sentiasa meningkat, diiringi pula dengan keangkuhan elit politik yang menikmati pelbagai elaun dan kemewahan di saat rakyat terhimpit kemiskinan. Video wakil rakyat yang berhibur dan menayangkan kekayaan masing-masing tanpa rasa bersalah, tersebar luas di media sosial. Manakala di sisi lain, rakyat bawahan sedang bergelut dengan penderitaan ekonomi. Demokrasi yang selama ini diagung-agungkan sebagai sebuah sistem dari rakyat, oleh rakyat, untuk rakyat, dan dikatakan simbol keadilan dan kedaulatan rakyat, ternyata dan terbukti hanyalah sebuah ilusi. Hakikatnya, ia merupakan sebuah sistem dari kapitalis, oleh kapitalis, untuk kapitalis, dan menjadi simbol penderitaan rakyat.
Setelah rusuhan merebak, beberapa wakil rakyat tampil memohon maaf, termasuk Presiden Indonesia sendiri, Prabowo Subianto, yang tampil mengumumkan beberapa langkah segera yang cuba dilakukan dalam rangka meredakan amarah rakyat. Namun, nasi sudah menjadi bubur, semua orang tidak peduli kerana mereka tahu bahawa ia hanyalah kata-kata manis ahli politik dan langkah sementara, yang cuba memadamkan api kemarahan rakyat.
Realitinya, apa yang cuba dilakukan oleh elit politik ialah memberikan panadol kepada rakyat setiap kali rakyat mengadu kesakitan, tanpa mereka mengubati kesakitan sebenar yang sudah lama dideritai rakyat. Sistem yang rosak tidak pernah diperbaiki, malah tidak mahu diperbaiki pun, apatah lagi untuk ditukar. Namun, dalam masa yang sama, elit politik ini cuba meyakinkan rakyat bahawa penderitaan rakyat bukanlah disebabkan oleh sistem yang rosak, tetapi kerana dua-tiga kerat penjaga sistem yang tidak amanah. Rakyat ditipu dan diperbodohkan.
Atas dasar itu, sistem demokrasi yang rosak tetap dipertahankan, kerana ia memberikan banyak keuntungan kepada elit politik. Apa yang ditukar ialah wajah-wajah penjaga sistem ini sahaja, sedangkan sistemnya dikekalkan. Inilah ajaran penjajah yang ditanamkan ke dalam benak setiap rakyat, lalu dijadikan undang-undang – bahawa sistem yang mereka berikan ini baik-baik sahaja dan mesti dikekalkan, malah sama sekali tidak dibenarkan untuk diganti. Apa yang perlu dan dibenarkan untuk diganti selama lima tahun sekali hanyalah wajah-wajah penjaga sistem ini sahaja.
Sistem Sebagai Punca Malapetaka
Apa yang berlaku di Indonesia ini seharusnya membuka mata umat Islam. Masalah yang dihadapi Indonesia bukan sekadar soal “siapakah” yang berkuasa, tetapi soal “sistem apakah” yang berkuasa. Elaun wakil rakyat boleh dinaikkan dengan mudah dan sebanyak mana pun, apabila diluluskan oleh Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), begitu juga dengan segala bentuk cukai dan perampasan harta rakyat, boleh dilakukan dengan mudah melalui jalan undang-undang apabila diluluskan oleh DPR. Dengan kata lain, segala kezaliman boleh dilakukan ke atas rakyat secara sah, apabila DPR meluluskannya. Inilah yang sedang terjadi di Indonesia dan inilah hakikat sistem demokrasi.
Demokrasi hanyalah mekanisme untuk menggilirkan elit politik di kerusi kekuasaan, bukannya alat membawa kesejahteraan dan keadilan sebenar untuk rakyat. Sejak kejatuhan Suharto lagi, rakyat Indonesia telah dijanjikan dengan “reformasi”, tetapi apa yang berubah? Rasuah tetap berleluasa, jurang sosial dan ekonomi antara elit politik dan rakyat semakin melebar. Penindasan ke atas rakyat tidak pernah berhenti dengan pelbagai bentuk cukai, kenaikan harga perkhidmatan dan barangan, semuanya dikenakan ke atas rakyat melalui penguatkuasaan undang-undang yang diizinkan oleh demokrasi.
Demokrasi telah “membenarkan” segala penindasan dilakukan oleh pemerintah ke atas rakyat, dan demokrasi telah memberi ruang seluas-luasnya kepada pemilik kekuasaan untuk menjadi kaya raya. Melalui demokrasilah, dengan kuasa yang ada di tangan mereka, telah menjadikan mereka sebagai pemerintah kuku besi. Suara rakyat hanya digunakan sebagai alat legitimasi – kononnya mereka berkuasa atas kehendak rakyat dan mereka hanya menunaikan kehendak rakyat, serta apa yang mereka lakukan ialah untuk kepentingan rakyat.
Lebih buruk daripada semua itu, demokrasi merupakan sebuah pemerintahan yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia, dan demokrasilah yang menjadi penghalang kepada tegaknya syariat Allah (swt). Di bawah demokrasi, kuasa untuk membuat undang-undang (hukum) ada di tangan manusia, di mana hukum Allah (swt) tidak akan boleh diterapkan jika manusia tidak bersetuju. Inilah yang menjadi punca malapetaka buat umat Islam – apabila pemerintah mereka mengambil dan memaksakan sistem kufur yang berasal dari Barat ini ke atas mereka.
Pengajaran dan teladan
Apa yang berlaku di Indonesia seharusnya menjadi loceng amaran untuk Malaysia. Realiti dua negara ini sesungguhnya tidak jauh berbeza. Krisis kos sara hidup, perebutan kuasa yang berpanjangan, kenaikan elaun dan gaji pemimpin politik ketika rakyat dihimpit kesusahan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa, kezaliman ke atas rakyat atas nama cukai, jurang perbezaan ekonomi antara rakyat dan elit politik, serta isu-isu keadilan yang tidak terbela, semua ini menunjukkan bahawa kedua-dua negara berada di track yang sama.
Di Malaysia, kes Zara Qairina menjadi bukti nyata bagaimana kemarahan rakyat boleh meledak melampaui batas agama, kaum, dan negeri. Nyawa seorang remaja yang terkorban dengan penuh kontroversi, tidak segera mendapat pembelaan, sementara elit politik terus sibuk dengan retorik, perebutan kuasa, dan strategi pilihan raya. Fenomena ini adalah cerminan jelas daripada apa yang sedang melanda negara yang berada di bawah sistem demokrasi, sebuah sistem yang kononnya paling baik dan paling adil untuk rakyat.
Insiden Affan Kurniawan di Indonesia, sebuah insiden yang tidak seharusnya berlaku, menjadi bukti bahawa pasukan keselamatan hanya diperguna untuk kepentingan pemerintah, bukannya untuk menjaga rakyat.
Kita pernah menyaksikan fenomena yang sama semasa Arab Spring, yang berpunca daripada seorang rakyat yang hidup dalam kesusahan dan berusaha mencari sesuap makanan, tetapi ditindas oleh sistem yang mencengkam, lalu membakar diri sebagai tanda protes – yang dari sinilah terciptanya sebuah sejarah yang tidak akan dilupakan oleh umat manusia.
Semua ini seharusnya menjadi pengajaran kepada kita semua, khususnya pemerintah, bahawa kezaliman mereka tidak akan kekal lama dan akan tiba masa di mana rakyat akan bangkit menentang kezaliman tersebut.
Hanya saja, amat disayangkan apabila kebangkitan rakyat hanya tertumpu kepada jatuhnya rejim, bukannya jatuhnya sistem. Di sinilah umat Islam perlu mengambil pelajaran dan teladan yang sesungguhnya – iaitu jalan perubahan sebenar bukanlah dengan hanya menurunkan pemerintah yang zalim, tetapi juga sistem yang zalim.
Sekiranya kebangkitan hanya berdasarkan emosi untuk menjatuhkan pemerintah yang zalim, ya mungkin sahaja pemerintah tersebut jatuh, tetapi akan diganti dengan pemerintah lain yang juga sama zalim atau lebih zalim lagi berbanding yang sebelumnya. Dengan itu, nasib rakyat tetap sama, penderitaan rakyat akan terus berulang, ibarat dejayu. Perubahan wajah pemerintah semata-mata tanpa perubahan sistem, tidak akan menjadikan perubahan tersebut berpihak kepada rakyat, sebaliknya ia tetap akan berpihak kepada elit pemerintah, yang akan meneruskan kezaliman mereka ke atas rakyat.
Kesimpulan
Oleh yang demikian, satu-satunya solusi yang hakiki ialah dengan menukar pemerintah dan sistemnya secara sekali gus. Pemerintah dan sistem demokrasi yang korup ini wajib diganti dengan seorang Khalifah dengan sistem Khilafah, sebuah sistem yang diwariskan oleh Rasulullah (saw) ke atas umat Islam.
Negara Khilafah merupakan sebuah Negara Islam yang berhukum dengan hukum wahyu, yang sudah pasti menyediakan peraturan hidup yang terbaik untuk manusia. Kesejahteraan dan keadilan akan pasti terjamin di bawah Khilafah kerana kita diperintah dengan hukum yang datangnya daripada tujuh petala langit.
Inilah yang seharusnya menjadi perjuangan umat Islam iaitu penegakan Negara Khilafah yang berhukum dengan Al-Kitab dan As-Sunnah. Tanpa Khilafah, umat Islam akan terus terperangkap dalam lingkaran kegelapan yang sama – dipimpin oleh pemimpin dan sistem demokrasi yang terbukti gagal dan zalim.
Wallahu a’lam.