Kebebasan Melampau, Kerosakan Sekularisma

Pelampau Indonesia protes depan kedutaan AS pula

JAKARTA 27 Ogos – Kira-kira 100 anggota pertubuhan Hizbut Tahrir di Indonesia menunjuk perasaan di luar kedutaan Amerika Syarikat (AS) di sini hari ini dengan mengancam untuk melancarkan jihad jika sebuah pertubuhan Kristian AS meneruskan rancangan untuk membakar al-Quran.

Dove World Outreach Center merancang untuk mengadakan acara membakar al-Quran secara terbuka pada hari ulang tahun kesembilan serangan 11 September, 2001.

”Jika rancangan itu diteruskan, kemarahan umat Islam di seluruh dunia tidak akan dapat dibendung,” kata seorang jurucakap pertubuhan itu, Roni Ruslan.

“Tidak ada sesiapa yang akan dapat mengawal reaksi itu.

“Kami menggesa kerajaan AS dan para pemimpin Kristian menghalang rancangan gila oleh pertubuhan gereja kecil ini kerana ia menghina Islam dan 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia,” kata Roni.

Penunjuk perasaan melaungkan takbir sambil memegang sepanduk dengan slogan ‘Bakar pembakar al-Quran’ dan ‘Balas pembakaran al-Quran dengan Jihad’.

Dove World yang berpangkalan di Florida mengendalikan laman Facebook yang memaparkan moto bermaksud ‘Islam adalah Daripada Iblis’ dan mempunyai lebih 6,000 peminat. – AFP

Sumber : UM Online, 28/8/10

Kebebasan Melampau, Kerosakan Sekularisma

Dunia demokrasi membuka ruang yang luas kepada manusia untuk berbicara baik melalui lisan mahupun tulisan. Wartawan pula bebas melabel mana-mana pihak dengan tulisan serta panggilan dengan jenama yang mereka inginkan biarpun isi laporannya tidak sesuai dengan tajuk berita. Ini semua tidak menghairankan kerana dunia penyiaran serta para wartawan jahat sebegini sentiasa cari makan biarpun menggunakan cara-cara haram seperti provokasi, fitnah, pembohongan dan seumpamanya.

Berita Dove World Outreach Center di AS yang cuba menganjurkan acara membakar kitab suci Al-Quran secara terbuka bersempena sambutan peringatan peristiwa ganas 11 September 2001 tidak dilihat sebagai aksi melampau, namun sebaliknya para pendemonstrasi yang memprotes aksi tersebut pula dilabel sebagai pelampau. Jika demikian halnya, bagaimana pula dengan PM Dato’ Najib dan sekutu nasionalisnya yang  memprotes puak Bendera di Indonesia yang telah membakar dan memijak jalur gemilang sebagai simbol penghinaan terhadap Malaysia? Dalam konteks ini PM Najib adalah seorang pelampau!! Dunia ini dah betul-betul terbalik! Apakah mungkin ada ganjaran besar sebesar banjaran Himalaya atau seluas lautan Atlantik bagi pihak yang menyiarkan laporan ini?  Apapun, penyiar berita sebegini jelas sekali tidak sensitif terhadap situasi sebenar. Penghinaan terhadap Islam dianggap biasa, sedangkan yang berjuang menghalang penghinaan ini dianggap pelampau!? Inilah kebebasan melampau dalam dunia yang kononnya manusia berhak untuk meluahkan dan melakukan apa sahaja!! Sesungguhnya di akhirat kelak, setiap manusia akan dipertanggungjawabkan atas apa yang mereka katakan dan lakukan!