Kebusukan Idea Kebebasan Sistem Sekular kapitalisme Semakin Ketara
KUALA LUMPUR – Orang ramai khasnya kaum wanita di negara ini dinasihati agar menyedari cara dan trend HIV menjangkiti mereka, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kie. Beliau berkata, kini lebih ramai wanita dan remaja perempuan di negara dijangkiti HIV menerusi hubungan seks berbanding sebelum ini melalui suntikan dadah (IDU). Katanya, lebih membimbangkan, kebanyakan wanita dan budak perempuan di Asia kini dijangkiti virus itu menerusi hubungan seks dengan suami atau teman lelaki mereka yang menghidapi HIV. Malah kata beliau, menurut laporan Suruhanjaya mengenai AIDS di Asia 2008, lelaki yang telah dijangkiti HIV menerusi IDU dan mengadakan hubungan seks rambang akan meningkatkan lagi jumlah wanita dijangkiti penyakit itu pada masa akan datang. “Kini trend baru pesakit HIV baru di negara ini dijangkiti menerusi hubungan seks berbanding sebelum ini jangkitan HIV di kalangan penagih dadah melalui suntikan. Keadaan ini agak membimbangkan,” katanya.
Sumber: Kosmo Online 25/11/2010
Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk. [TMQ al-Israa’ (17): 32].
Kebebasan merupakan prinsip asas fahaman sekular kapitalis. Ideologi Kapitalisme yang sedang dianuti dan diterapkan oleh para pemimpin umat Islam saat ini tanpa disedari, telah mencorakkan kehidupan umat Islam agar membiarkan kemaksiatan bermaharajalela dan mengajar rakyatnya untuk mengamalkan kehidupan yang bersifat individualistik. Masyarakat di bina untuk menjadi “aku-aku”, “engkau-engkau” “kubur masing-masing”, “jangan jaga tepi kain orang” dan ini akan mengakibatkan tiada lagi perasaan dan keinginan untuk mencegah perbuatan keji yang dilakukan oleh individu lain (nahi mungkar) selagi mana perbuatan yang dilakukan oleh individu itu tidak menganggu kehidupan mereka secara langsung.
Para pemimpin pula lebih senang membiarkan rakyat dibawah jagaan mereka bertingkahlaku sesuka hati tanpa berlandaskan halal dan haram menurut syariat Allah asalkan si pembuat maksiat itu mengamalkan langkah-langkah “keselamatan” seperti berzina dengan memakai kondom ataupun tidak berkongsi jarum suntikan untuk mengelakkan para penagih dadah dari mendapat jangkitan HIV.
Berdasarkan sistem sekular kapitalis ini, seseorang individu bebas menjalani kehidupan peribadi mereka mengikut kehendak masing-masing, asalkan ianya tidak melanggar hak orang lain dan selagi mana ianya tunduk kepada undang-undang sekular yanag diterima pakai oleh negara.
Undang-undang yang digunapakai oleh golongan ini bukanlah berasaskan kepada konsep halal dan haram. Malahan, akidah dan agama tidak mempunyai sebarang peranan dan pengaruh di dalam sistem kehidupan ciptaan kuffar Barat yang telah meracuni umat Islam ini.. Kehidupan dan tingkahlaku seharian setiap individu yang menganuti akidah sekular ini dengan secara jelas memisahkan agama dari kehidupan mereka.Natijah dari idea kebebasan fahaman sekular yang mendarah daging di dalam diri pemimpin dan sebahagian umat Islam ini, menyebabkan masalah sosial dan keruntuhan akhlak semakin menjadi-jadi dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan jangkitan HIV. Para lelaki dan wanita hidup bersama tanpa ikatan perkahwinan yang sah, bahkan pasangan yang telah bernikah secara sah juga turut mengadakan hubungan zina dengan lelaki atau wanita lain tanpa rasa berdosa di atas kemaksiatan mereka. Nauzubillah Min Zalik!
Wahai para pemimpin yang bersyahadah dengan kalimah suci La illaha illallah, Muhammad Rasulullullah!!!
Lupakah kalian akan sabda Nabi Muhammad SAW: “Bila riba dan zina telah berkembang merata di suatu negeri, maka (bererti mereka, penduduk negeri itu) telah menghalalkan untuk diri mereka azab Allah” [Riwayat Hakim]
Hakikatnya, masalah sebenar bukanlah virus HIV, tetapi sikap manusia yang bertuhankan nafsu syaitan yang disemarakkan oleh agenda kebebasan. Maka timbullah banyak aktiviti hedonistik yang tidak berpenghujung seperti pelacuran, dadah dan seks rambang . Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
“Terangkanlah kepadaku tentang orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya. Apakah kamu dapat menjadi pemelihara keatasnya? Ataukah kamu mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami. Mereka itu tidak lain hanyalah seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat jalannya” [TMQ al-Furqan (25) : 43 – 44]
Di dalam Islam, tidak wujud idea kebebasan sepertimana yang dianuti oleh Barat. Ajaran Islam dengan jelas mengharamkan kebebasan bertingkah laku dan mewajibkan semua aktiviti manusia terikat dengan hukum syara’, kerana hukum asal perbuatan manusia adalah terkait dengan hukum syara’. Islam memberikan aturan yang lengkap kepada manusia dalam bertingkah laku bukanlah sebagai suatu kekangan. Islam memberikan seluas-luasnya peluang berinteraksi, berekreasi dan berinovasi, tetapi ianya mestilah berada didalam batas-batas yang digariskan oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT:
“ Dan orang-orang yang kafir, perbuatan mereka seperti fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi apabila didatangi, tidak ada pun. Dan didapatinya ketetapan Allah baginya. Lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan(amal-amal) dengan sempurna, dan Allah sangat cepat perhitunganNya.” [TMQ An Nur(24) : 39]
Sememangnya Islam memandang bahawa menghidap AIDS bukanlah suatu dosa, tetapi perbuatan yang melanggar hukum syara’ dan boleh menghantarkan kepada jangkitan HIV, itulah yang membawa kepada maksiat dan dosa.
Sesungguhnya penyakit AIDS yang semakin menular ini hanya akan berkubur sekiranya punca kepada penyakit ini dihapuskan. Sudah pasti pula punca kepada masalah ini hanya akan dapat dihapuskan sekiranya hukum syara’ yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai panduan kehidupan seluruh umat manusia ini dilaksanakan secara kaffah (menyeluruh), bersungguh-sungguh dan ikhlas
Wahai para Muslimah!! Bersegeralah dalam usahamu untuk menegakkan Islam melalui Khilafah Islamiyyah yang mulia agar kemuliaan kalian terjaga, hak-hak kalian dan umat manusia itu dilindungi dan terpelihara dan semoga kalian sentiasa berada di dalam keredhaanNya.
“Sesungguhnya Allah tidak akan menyiksa masyarakat umum kerana perbuatan orang-orang tertentu hingga masyarakat umum melihat kemungkaran di hadapan mereka, sedangkan mereka mampu mengingkarinya, tetapi mereka tidak mengingkarinya. Jika mereka berbuat demikian, Allah pasti akan menyiksa masyarakat umum dan orang-orang tertentu itu”. [Riwayat Ahmad dan at-Tabarani]
Wallahu ‘alam