Permainan Politik US-Israel Semakin Ketara

altObama sokong biaya RM697 juta sistem pertahanan roket Israel

WASHINGTON 14 Mei – Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama meminta Kongres meluluskan peruntukan AS$205 juta (RM697 juta) untuk membantu Israel mempercepatkan penempatan sistem pertahanan roket di kawasan sempadannya. Sistem ‘Kubah Besi’ Israel bertujuan untuk meminta roket yang dilancarkan dari Genting Gaza dan Lebanon. Walaupun sistem pertahanan peluru berpandu dan roket itu akan mengambil masa beberapa tahun sebelum beroperasi sepenuhnya di sepanjang dua sempadan tersebut, ia dijangka ditempatkan di beberapa lokasi awal pada tahun ini.

Pentadbiran Obama memutuskan untuk membantu membiayai sistem pertahanan Israel itu selepas kagum dengan keberkesanannya dan mendapati bantuan dana daripada Washington sekarang akan membolehkannya ditempatkan lebih cepat, kata seorang pegawai kanan pentadbiran. Permintaan White House itu akan dihantar secara rasmi kepada Kongres dalam beberapa hari lagi, sebagai tambahan kepada permohonan bajet pentadbiran bagi tahun fiskal 2011 yang bermula pada Oktober ini. Israel belum mempunyai sistem pertahanan untuk menangkis serangan beribu-ribu roket yang dilancarkan ke kawasan sempadannya di selatan dan utara oleh pejuang Palestin di Genting Gaza dan gerila Hizbullah di Lebanon.   Tentera Israel mempercepatkan permintaannya bagi mendapatkan sistem pertahanan berikutan perang negara itu dengan Hizbullah pada 2006 apabila utara Israel dihujani 4,000 roket jarak dekat Katyusha.  Sistem Kubah Besi itu menggunakan kamera dan radar untuk menjejaki roket dan menembaknya jatuh dalam masa beberapa saat selepas ia dilancarkan.  “AS dan sekutu kami, Israel menghadapi banyak cabaran keselamatan yang sama, termasuk memerangi keganasan dan menangani ancaman daripada program nuklear Iran.  “Presiden mengakui ancaman yang dihadapi oleh rakyat Israel daripada peluru berpandu dan roket yang dilancarkan oleh Hamas dan Hizbullah,” kata jurucakap White House, Tommy Vietor. – AP

Sumber: Utusan Malaysia 15/05/10

Obama Bantu Israel RM 697juta. Kenapa Sikit Sangat?

Obama sebagai pemimpin negara musuh nombor 1 umat Islam, yang begitu dibanggakan oleh Najib kerana dapat bertemu dengannya tempoh hari, telah menunjukkan wajah hodohnya yang sebenar. Lihatlah bagaimana sayangnya Obama kepada Israel apabila beliau meminta pihak Kongres AS meluluskan peruntukan AS$205 juta (RM697 juta) bagi membantu Israel mempercepatkan penempatan sistem pertahanan roket di kawasan sempadannya dengan Genting Gaza dan Lebanon. Apa yang dilakukan oleh Obama itu menunjukkan kepada kita bagaimana eratnya hubungan Amerika dan Israel – seperti sekeping duit syiling yang satu. Jika sakit Israel, maka sakitlah Amerika dan begitulah sebaliknya. Perlu diketahui bahawa kewujudan Israel di tengah-tengah dunia Arab adalah sesuatu yang diinginkan oleh Amerika bagi meneruskan hegemoninya di rantau tersebut. Maka bagi kita sebagai umat Islam, tindakan yang dilakukan oleh Obama itu bukanlah suatu yang menghairankan. Benarlah firman Allah SWT: “Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pelindung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (hai para muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, niscaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerusakan yang besar”.

[TMQ al-Anfal (8) : 73]. “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan senang kepadamu hingga kamu mengikuti agama mereka”. [TMQ al-Baqarah (2) : 120]. Cuma apa yang menyedihkan kita ialah apabila para pemimpin sekular umat Islam hari ini seperti Mubarak, Raja Abdullah, SBY, Najib dan lain-lainnya masih terus melutut dan tunduk bagaikan hamba yang setia kepada syaitan besar itu.

Lihat [Ruangan Analisis:  Permainan Politik Amerika Dan Israel].