Kecantikan Yang Menipu Dalam Dunia Kapitalis
[email protected]
THAM (kiri) menceritakan kejadian yang menimpanya kepada Michael di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.
________________________________
KUALA LUMPUR - Tindakan seorang kerani yang membuat pembedahan plastik untuk membesarkan payudara semata-mata kerana hendak menggembirakan teman lelakinya mengundang padah apabila dia bukan sahaja terpaksa menanggung derita, malah turut dikecewakan lelaki tersebut.
Wanita yang dikenali sebagai Tham, 30, itu kini menderita apabila terpaksa menanggung kesakitan berikutan payudaranya kini bertukar kehitam-hitaman selain berasa gatal dan bernanah.
Lebih membuatkan dia kecewa apabila teman lelakinya telah meninggalkannya gara-gara kejadian tersebut. Tham telah lima tahun menjalin hubungan dengan jurujual itu.
Difahamkan, Tham dari Triang, Pahang, menggunakan wang simpanannya sebanyak RM13,100 untuk membuat pembedahan di sebuah pusat kecantikan dekat sebuah pusat beli-belah di sini.
Ketika itu payudara mangsa bersaiz 32B dan hendak dibesarkan ke 34B. Berat badannya pula kira-kira 55 kilogram.
Mengimbau semula kejadian itu, Tham memberitahu, dia bertekad melakukan pembedahan tersebut selepas teman lelakinya sering mengadu yang dia malu mempunyai teman wanita berbadan berisi tetapi mempunyai payudara kecil.
Katanya, selepas dicadangkan oleh seorang rakan, dia pergi ke sebuah pusat kecantikan untuk melakukan pembedahan tersebut pada 11 Mac 2010 tanpa mengetahui doktor di situ tidak mempunyai tauliah.
Tidak dapat dinafikan kebanyakkan manusia menyukai kecantikan dan keindahan. Kerana ianya adalah merupakan salah satu fitrah, kecenderungan yang dimiliki oleh setiap manusia termasuklah wanita. Perasaan ingin cantik ini adalah nikmat dari Allah Taala.
Namun wanita kini kian terikut-ikut dengan ukuran kecantikan yang dibawa oleh Barat dengan menumpukan kecantikan hanyalah kepada aspek fizikal atau lahiriah semata-mata. Inilah kesannya jika pemikiran kapitalis dijadikan ukuran, yang mana ianya meletakkan seseorang itu cantik jika lahiriahnya sempurna dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Sebagai muslimah kita seharusnya mengambil ikhtibar dari paparan di atas. Iaitu kejadian perihal seorang wanita yang ingin kelihatan cantik dan menarik pada pandangan teman lelakinya hingga sanggup berbuat apa sahaja.
Sebagai muslimah yang taat pada Allah, apapun yang ingin dilakukan di dunia ini wajiblah bertujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah dan bukannya manusia. Justeru hukum syaraklah yang selayaknya menjadi pengukur dalam setiap perbuatan kita dan bukannya hukum kapitalis acuan Barat.
Malangnya, persepsi cantik mengikut acuan kapitalis Barat telah menjadi komoditi komersial yang disebarluaskan melalui iklan dimedia elektronik mahupun cetak yang antara lain menonjolkan bahawa ciri-ciri wanita yang cantik itu adalah wanita yang memiliki kulit yang putih gebu, tubuh yang tinggi dan badan yang langsing. Itulah kononnya lambang kecantikan sejati sehingga lahirlah cara pandang yang keliru tentang makna kecantikan itu sendiri.
Malah salah satu program televisyen yang pernah diterbitkan di Barat berjudul Extreme Makeover juga secara tidak langsung membentuk persepsi bahawa penampilan luaran yang diubah bukan sahaja memberikan keyakinan kepada seseorang tetapi juga membahagiakan orang-orang disekeliling mereka. Seolah-olah memberi satu mesej bahawa orang yang tidak cantik dan hebat penampilannya akan merasa hina,tersisih dan menderita serta membuatkan orang disekeliling mereka tidak gembira dan bahagia. Sungguh satu persepsi yang jelas keliru dan dangkal.
Justeru itu tidak menghairankan dengan modal persepsi yang salah ini jugalah, maka semakin banyak pertandingan ratu cantik, ratu kebaya dan sebagainya diadakan dimana kecantikan fizikal dan lahiriahlah yang dijadikan ukuran dan agenda utama. Begitulah gencarnya usaha kapitalis Barat sehinggakan ramai dikalangan para wanita tidak ketinggalan juga para muslimah yang keliru dan taksub untuk kelihatan cantik sehingga sanggup berhabis wang ringgit bagi mengenakan susuk, suntikan botox, pembedahan plastik, sedut lemak dan sebagainya. Semuanya adalah semata-mata mahu dilihat cantik tanpa mempedulikan batasan syarak, alasan yang syarie, halal ataupun haram.
Wahai para muslimah yang dirahmati Allah, sedarilah bahawa tidak salah untuk kita menjadi cantik selagi ianya tidak melanggar batasan syarak tetapi adalah salah jika kita tidak berusaha untuk memiliki syakhsiah Islamiah.
Bukanlah rupa paras cantik yang menjadi ukuran untuk meraih redha Allah tetapi dengan memiliki keperibadian mulia atau bersyakhsiah Islamlah jawapannya. Untuk memiliki syakhsiah Islam tidak ada jalan lain kecuali bercermin kepada Islam, iaitu dengan mengisi pemikiran kita dengan pola fikir Islam dan melakukan perbuatan sesuai dengan hukum-hukum Islam. Inilah antara ciri-ciri orang yang bertaqwa seperti yang difirmankan oleh Allah melalui al-Quran: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu adalah orang yang paling bertaqwa di antara kamu” [TMQ al Hujurat (49):13]
Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah tidak memandang rupa paras dan harta kamu, melainkan Allah memandang hati dan amalan kamu” [HR Imam Muslim]. Wallahua’alam bissawab.