Keegoan Bashar Bakal Memakan Diri

basyar-assadPresiden Syria nafi terlibat
 
WASHINGTON 7 Dis. – Presiden Syria, Bashar al-Assad menafikan beliau bertanggungjawab terhadap pembunuhan beribu-ribu penunjuk perasaan di negaranya, dengan mendakwa beliau tidak mempunyai kuasa ke atas pasukan bersenjata yang melakukan kekerasan.

Assad membuat penafian itu dalam wawancara dengan wartawan veteran ABC News, Barbara Walters, kelmarin, sebagai usaha mempertahankan diri daripada kutukan dunia yang makin meningkat berhubung kempen kekerasan oleh pasukan keselamatan Syria sejak sembilan bulan lalu yang dilaporkan telah meragut 4,000 nyawa.

ABC News merancang menyiarkan wawancara itu hari ini tetapi seorang wartawan stesen tersebut yang meminta reaksi pegawai Amerika Syarikat (AS) pada taklimat Jabatan Negara, semalam memetik kenyataan Assad.

“Saya Presiden dan saya tidak memiliki negara ini, kerana itu mereka bukan pasukan bersenjata saya.

“Terdapat perbezaan yang besar antara mengadakan dasar untuk melakukan kekerasan dengan beberapa kesilapan yang dilakukan oleh sesetengah pegawai,” kata Assad, menurut wartawan itu.

Mengulas petikan itu, jurucakap Jabatan Negara, Mark Toner membidas Assad dan menganggap beliau mempunyai banyak peluang untuk menghentikan keganasan.

“Saya mendapati tidak munasabah beliau cuba berselindung di sebalik helah sedemikian dan mendakwa beliau tidak memiliki kuasa di negaranya sendiri,” kata Toner.

Keluarga Assad memerintah Syria sejak empat dekad lalu dan adik lelakinya, Leftenan Kolonel Maher al-Assad mengetuai Divisyen Keempat tentera darat yang bertanggungjawab terhadap ibu negara, Damsyik serta pasukan elit, Pengawal Republikan.

Syria menghadapi tekanan makin hebat daripada AS, Kesatuan Eropah (EU), Liga Arab dan Turki untuk menghentikan keganasan.

Liga Arab mengancam untuk mengenakan sekatan baru kecuali Syria membenarkan kemasukan pemerhati.
Dalam sepucuk surat lewat Ahad lalu, rejim Assad berkata, pemerhati akan dibenarkan masuk tetapi dengan beberapa syarat tertentu. – AFP

Sumber : Utusan Malaysia 08/12/11

Keegoan Bashar Bakal Memakan Diri

Beginilah sikap seorang diktator di Syria, bumi para nabi dan ulama. Penafian Bashar al-Assad terhadap jenayah yang dilakukannya  itu benar-benar  satu ‘cubaan’ untuk memperbodohkan umat. Justeru, hal itu lebih menunjukkan keegoan, kebodohan dan ia pasti akan memakan dirinya sendiri tidak lama lagi. Adalah mustahil bagi seorang presiden tidak mengetahui tindakan dan pergerakan bala tenteranya sendiri tambahan lagi ia diketuai oleh kerabatnya sendiri. Kezaliman dan kekejaman Bashar dan kaum kerabatnya ke atas umat Islam di Syria  benar-benar sudah melampau dan tidak dapat dimaafkan apatah lagi sejarah keluarga beliau terpalit dengan tindakan-tindakan kejam terhadap umat Islam di Syria pada masa lampau. Penafian tersebut justeru lebih menguatkan pendirian umat Islam seluruh dunia bahawa penguasa bumi Syam ini adalah penguasa kuku besi yang lepas tangan serta wajib diturunkan. Umat Islam di Syria semakin lama semakin sedar akan kejahatan penguasa mereka, sehingga mereka bangkit untuk membantah dan memuhasabah penguasa tersebut walaupun nyawa menjadi galang gantinya. Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

“Penghulu para syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Muthallib dan orang yang berdiri di hadapan seorang penguasa yang zalim, lalu dia memerintahkannya (pada kemakrufan) dan melarangnya (terhadap kemungkaran), kemudian penguasa itu membunuhnya”. (HR Al-Hakim)

Perlu diketahui bahawa campur tangan kuasa barat terhadap masalah Syria adalah sebuah tipu-helah untuk mengalihkan arah kebangkitan umat untuk Islam kepada kebangkitan untuk menerapkan/mempertahankan sistem kufur demi kepentingan negara-negara imperialis yang sangat membenci Islam.Apa yang diperlukan oleh umat adalah fikrah yang jelas dengan thariqah yang benar, sebagai landasan kebangkitan yang ada pada hari ini. Apa yang diperlukan umat pada ketika ini  adalah sebuah Negara  dengan kekuasaan yang sebenar.  Negara inilah yang akan menjadikan Sistem Khilafah sebagai sistem pemerintahannya yang  akan mencampakkan kekuasaan kuku besi Bashar dan yang lain-lain ke dalam lembaran sejarah yang hina serta memuliakan umat dengan agamaNya.

“Padahal kemuliaan itu bagi Allah, bagi RasulNya dan bagi orang Mukmin, tetapi orang munafik itu tiada mengetahui” (TMQ Al-Munafiqun [63] : 8).