Keganasan terhadap wanita, apa puncanya?

Terdapat hampir 18,000 kes keganasan terhadap wanita direkodkan sepanjang tempoh 2010 sehingga 2016 di negeri Pahang, menurut sumber akhbar yang memetik kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin [Bernama.com 21/10/2017]. Keganasan terhadap wanita termasuklah jenayah rogol, cabul, sumbang mahram, dan kelakuan seks luar tabie.

18,000 kes bukanlah suatu jumlah yang sedikit, tambahan pula jumlah tersebut hanyalah meliputi kes-kes yang direkodkan di sebuah negeri sahaja dan berkemungkinan terdapat lebih banyak lagi kes-kes keganasan terhadap wanita yang berlaku di seluruh negara.

Mengapa banyak keganasan terhadap wanita berlaku di negara ini? Sedangkan sudah berapa banyak badan dan pertubuhan, malah adanya kementerian yang khusus untuk membela wanita? Apakah punca yang menyebabkan kes-kes keganasan terhadap wanita begitu banyak sekali terjadi di negara ini?

Jika keganasan terhadap isteri dalam sesebuah rumahtangga memang tidak dapat dipisahkan dengan kejahatan atau keburukan akhlak si suami dan keruntuhan institusi kekeluargaan. Namun keganasan ke atas wanita dalam masyarakat atau negara memang tidak boleh lari daripada sistem yang mengatur sesebuah negara.

Sistem yang rosak sudah pasti akan menghasilkan masyarakat yang rosak. Inilah sifirnya yang cukup mudah. Dalam sistem demokrasi-kapitalisme, kebebasan yang diamalkan telah menatijahkan 1001 kerosakan kepada individu dan juga masyarakat. Manakala orientasi hidup untuk mencari sebanyak mungkin manfaat tanpa mengira halal atau haram, sebagaimana diajar oleh kapitalisme, telah menyebabkan kerosakan sistemik yang sudah tidak terbendung.

Dalam sistem kapitalisme, wanita sering dijadikan objek dalam melariskan jualan pelbagai jenis produk, walau produk tersebut tidak ada kena mengena sedikit pun dengan wanita. Wanita menjadi sasaran syarikat kapitalis (pemilik modal) dalam meraih keuntungan maksimum tanpa mengira persoalan maruah, akhlak, agama mahupun kesan sosial. Manakala di pihak wanita pula, mereka sendiri sanggup diperlakukan sedemikian rupa, kerana mendapat wang yang mudah hasil kecantikan yang dimiliki.

Kemasukan filem-filem Barat yang banyak mengandungi aksi yang tidak bermoral, termasuklah dunia maya yang menyediakan pelbagai laman lucah yang mudah diakses, semua ini telah menjadikan sudut pandang terhadap wanita hanya sebagai objek seks. Kesemua ini menjadi faktor penyumbang kepada keganasan dan perlecehan seksual terhadap wanita. Hal ini diburukkan lagi dengan berleluasanya pergaulan bebas antara lelaki dan wanita dan budaya hedonisme yang semuanya tidak dapat dipisahkan daripada sistem demokrasi.

Sedangkan Islam memandang wanita sebagai aurat yang perlu dijaga. Kaum lelaki menjadi pelindung atau penjaga kepada kaum wanita, bukan menjadi pemangsa terhadap mereka. Rasulullah SAW hadir di tengah-tengah zaman Jahiliyyah yang sejak sekian lama memandang rendah terhadap wanita sampai ke tahap membunuh anak-anak perempuan. Lalu baginda mengangkat martabat wanita sebagaimana yang dikehendaki oleh Islam.

Islam juga telah mengatur bagaimana pemisahan antara lelaki dan wanita dalam kehidupan umum kecuali dalam hal-hal keperluan yang tidak bertentangan dengan syarak, dan melarang berlakunya ikhtilat (percampuran) di antara dua jantina yang berbeza itu. Syarak juga telah menggariskan etika berpakaian yang bertujuan untuk memelihara wanita daripada menjadi objek seksual, di samping memerintahkan agar lelaki menundukkan pandangan mereka bagi menghindari berlakunya kemaksiatan.

Apabila Islam tidak diterapkan secara menyeluruh dalam kehidupan hari ini, khususnya dalam bidang pemerintahan, sebaliknya, diganti dengan sistem demokrasi yang berhukum dengan hukum taghut dan berpaksikan idea kebebasan, maka tidak hairanlah jika terdapat 18,000 kes keganasan seperti yang dilaporkan. Persoalannya sampai bila umat Islam mahu terus hidup dalam sistem yang rosak lagi merosakkan ini, dan sampai bila kaum wanita sanggup diperlakukan seperti ini? Jika kita mahu berubah, satu-satunya jalan perubahan ialah dengan kembali menerapkan syariah Allah secara kaffah dalam bingkai negara Khilafah.

Wallahu a’lam.