Keharaman Tidak Hanya Di Bulan Ramadhan

altMPK kenakan tindakan tegas ingkar arahan

KANGAR: Semua premis hiburan, termasuk pusat karaoke di negeri ini diarah menghentikan operasi sepanjang Ramadan yang dijangka bermula 11 Ogos ini, sebagai menghormati bulan mulia itu.  Arahan itu dikeluarkan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi memastikan operasi premis terbabit yang kebiasaannya boleh menimbulkan syak, termasuk sering dikaitkan dengan perbuatan kurang menyenangkan, tidak mencemari imej Ramadan.  Yang Dipertua MPK, Rosli Mat, berkata arahan mengenai larangan beroperasi di sepanjang bulan puasa itu sudah sedia dimaklumkan kepada semua pengusaha pusat hiburan terbabit, ketika mereka memohon mendapatkan lesen sebelum ini.   “Apapun, kita akan susuli dengan makluman tambahan menerusi kunjungan serta operasi yang dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan mereka sedar akan arahan larangan berkenaan.

“Jika ada yang dikesan gagal mematuhi arahan berkenaan, tindakan tegas akan diambil, termasuk mengkompaun dan menyita premis mereka mengikut akta yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui, di sini.

Terdahulu, beliau mengetuai Operasi Pematuhan Lesen Premis Hiburan yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sekitar bandar ini serta Arau, malam kelmarin.

Dalam ops berkenaan, kira-kira 20 premis hiburan membabitkan pusat karaoke, kafe siber, pusat snuker dan studio muzik diperiksa sepanjang tempoh tiga jam operasi membabitkan 36 anggota penguat kuasa daripada pelbagai jabatan.

Sementara itu, Rosli berkata, tujuan utama operasi adalah untuk memastikan pemilik premis hiburan mematuhi setiap arahan serta garis panduan ditetapkan, terutama berhubung waktu operasi.

“Ada antara premis mempunyai kebenaran untuk beroperasi sehingga jam 10 malam, terutama kafe siber, manakala selebihnya sehingga jam 12 tengah malam.

“Kita akan pastikan arahan ini dipatuhi dan jika ada pemilik yang dikesan ingkar, tindakan akan diambil mengikut akta ditetapkan,” katanya.

Sumber : Berita Harian 23/07/10

Apabila Islam Itu Menjadi Mainan Dan Senda gurau
 
Inilah kesan dan akibatnya apabila Islam itu dilihat hanya berperanan dalam sudut dan masa  tertentu sahaja. Tindakan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) di atas menyerlahkan lagi kejahilan dan kecelaruan pemikiran segolongan umat Islam terutamanya mereka-mereka yang memegang kuasa. Bukankah perkara maksiat dan apa-apa yang membawa kepada keharaman itu sememangnya suatu yang haram tanpa mengira di mana dan bila tempoh waktunya. Dalam erti kata lainnya, kita tidak boleh membezakan sesuatu keharaman  itu berdasarkan bulan Ramadhan atau bukan. Suatu keharaman itu akan tetap menjadi haram tanpa ada pilihan mahupun batas waktu. Maka kerana itu sepatutnya tidak timbul isu menutup sementara operasi pusat hiburan hanya semata-mata dengan kedatangan bulan Ramadhan. Keadaan ini menggambarkan betapa ceteknya pemikiran Islam pada segolongan umat Islam pada hari ini. Ia mungkin disebabkan pemikiran sekular yang sudah tebal dan tepu di dalam benak pemikiran mereka.

Tindakan MPK di atas seolah-olah mengambarkan bahawa mereka hanya beriman dengan perintah dan larangan yang terkandung didalam al-Quran itu untuk bulan Ramadhan tetapi tidak pada bulan yang lain. Bukankah tindakan ini seeolah-olah mempermainkan agama Islam. Maha suci Allah SWT dari sebarang sifat-sifat yang serba kekurangan. Sedangkan secara jelas Allah SWT telah berfirman: ”Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata” . [TMQ Al-Baqarah (2) : 208]. Apakah kedatangan Ramadhan setiap tahun ini akan memudahkan kita melihat siapakah yang bersifat munafik ataupun yang benar-benar beriman? Sama-samalah kita memuhasabah diri di sepanjang Ramadhan yang akan datang ini mudah-mudahan buah yang bernama taqwa itu dapat diraih.