Kehebatan kereta elektrik dalam menyelesaikan masalah

Dalam pelannya untuk membantu rakyat yang telah ditindasnya habis-habisan, kerajaan kini memperkenalkan kereta elektrik. Kerajaan telah pun mengarahkan Proton mengeluarkan kereta elektrik di Malaysia selewat-lewatnya tahun depan bagi mengurangkan beban rakyat akibat kenaikan harga petrol dan diesel. Itulah kata Perdana Menteri Malaysia.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang memandu uji kereta elektrik Lotus, model yang dikeluarkan oleh anak syarikat Proton di United Kingdom, berpuas hati dengan penggunaan teknologi baru itu yang langsung tidak menggunakan petrol. Kereta yang menggunakan bateri yang perlu dicas tenaga elektrik selama enam jam di rumah itu mampu dipandu sejauh 320 kilometer. Kuasanya dapat bertahan sehingga 36 jam. Kos untuk menggerakkan kereta itu hanya 18 sen sekilometer.

“Saya anggap ini satu langkah yang kreatif dan amat menepati kehendak waktu ini supaya kita terus mencari bahan tenaga baru dengan tidak hanya bergantung kepada petrol, diesel dan gas yang harganya melambung tinggi,” ujarnya.

 

Inilah antara rancangan hebat kerajaan untuk membantu rakyat! Kita tidak pasti sama ada pemimpin Malaysia ini sedar atau tidak bahawa yang menjadi masalah sekarang bukanlah kereta. Tidak kiralah apa jenis keretanya, kereta minyak ke, kereta air ke atau kereta elektrik ke, yang menjadi masalah sekarang ialah harga minyak yang telah dinaikkan oleh kerajaan sesuka hati, bukannya kereta. Masalah rakyat adalah harga minyak (petrol, diesel) yang mencanak ke kemuncak penderitaan yang sekali gus telah menaikkan harga barang, termasuk barang makanan, tarif elektrik dan segala macam kos sara hidup lainnya.

 

Kereta hanyalah sebahagian dari keperluan hidup yang tergolong dalam keperluan sekunder. Asas bagi survival manusia adalah makanan, tempat tinggal dan pakaian, bukan kereta. Tanpa kereta manusia boleh hidup, tetapi dengan harga makanan yang melambung tinggi (hasil kenaikan harga minyak) manusia menghadapi titik kritikal untuk terus hidup. Inilah kerenah pemimpin Kapitalis di dalam menyelesaikan masalah. Secara logiknya pun, apakah mereka boleh menjawab beberapa persoalan di bawah, demi untuk mengurangkan penderitaan rakyat?

 

  1. Selesaikah masalah kenaikan harga barangan keperluan lain, termasuk barang dapur (yang timbul akibat kenaikan harga minyak), dengan kita membeli kereta elektrik?
  2. Berapa banyakkah kereta elektrik ini akan dikeluarkan oleh Proton? Dianggarkan terdapat lebih kurang 10 juta pemandu kenderaan berdaftar di Malaysia, bolehkah Proton mengeluarkan 10 juta kereta elektrik? Jika 5 juta berjaya dikeluarkan sekalipun, apakah semua 5 juta pemandu mampu membelinya? Kalau 5 juta pemandu mampu membelinya sekalipun, bagaimana pula nasib 5 juta pemandu lain yang tidak mampu? Pokoknya, hanya yang mampu memiliki kereta elektrik sahajalah yang boleh mengelak dari membayar harga minyak yang tinggi. Persoalannya, berapa ramaikah golongan yang mampu ini?
  3. Dengan adanya kereta elektrik ini di pasaran, tentunya bank-bank riba akan mengaut keuntungan berlipat ganda apabila setiap orang meminjam wang dari mereka untuk membeli kereta tersebut. Sudahnya, wang rakyat, walaupun tidak mengalir ke stesen minyak, akan mengalir ke bank-bank haram ini pula, dan rakyat, sudah tentu bertambah dosa dengan pinjaman riba yang di ambil. Pemimpin pula, semakin menggunung dosa yang mereka pikul hasil kerja tangan mereka yang kreatif ini. Maka bertambah lagilah statistik maksiat di Malaysia hasil ‘kebijakan’ pemimpin memperkenalkan kereta elektrik ini.
  4. Dengan adanya kereta elektrik ini, kerajaan dan kroni juga tentunya akan bertambah kaya-raya, apa tidaknya, setiap kereta kena bayar road tax, kena bayar insuran dan lain-lain bayaran sampingan yang kerajaan cekup dari rakyat seperti tol, parking, saman dan lain-lain.
  5. Sebagai sebuah kereta baru, jika berlaku kerosakan, siapakah yang mampu membaikinya, dan berapa banyak pula kos baiki dan kos penyelenggaraannya. Silap-silap, hanya Proton sahaja yang mempunyai kemampuan untuk baiki dan juga membekalkan spare part. Akhirnya, kerajaan juga yang untung. Kononnya kerajaan ingin mengurangkan beban rakyat!

 

Inilah hakikat pemikiran dan sistem Kapitalis. Pemimpin Kapitalis ini sedar, dicelah-celah rakyat yang sedang nazak sekalipun, mereka masih boleh mengaut keuntungan. Tindakan menolong rakyat diambil, kononnya dengan memperkenalkan kereta elektrik tersebut, kos sara hidup dan kesengsaraan rakyat kembali pulih. Padahal isu yang mendominasi kos hidup adalah kerana kezaliman mereka menaikkan harga minyak. Dengan kata lain, kezaliman mereka kerana tidak berhukum dengan hukum Islam.

 

Semua ini hanyalah penyelesaian simptom kepada masalah, bukannya menyelesaikan masalah itu sendiri. Ibarat kata, kerajaan seperti ingin menyelesaikan masalah jalan raya yang rosak dan berlubang-lubang yang selalu menyebabkan kemalangan dan kematian, dan apa yang kerajaan lakukan ialah memperbanyakkan lagi workshop/bengkel, agar setiap kereta boleh dibaiki. Lebih hebat, kerajaan juga memperbanyakkan tanah perkuburan, agar setiap orang yang mati dalam kemalangan tersebut dapat ditanam.

 

Menyelesaikan simptom tidak akan menyelesaikan masalah. Asasnya, minyak adalah hak rakyat dan hak rakyat perlu dipulangkan kepada rakyat. Segala bentuk kekayaan sumber alam yang jumlahnya banyak perlu dipulangkan haknya kepada rakyat. Inilah ketetapan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Islam telah mengatur sebuah wacana ekonomi yang sangat telah meletakkan hak pemilikan kepada tempat tersendiri dan Islam menitikberatkan keperluan asas dan sekunder manusia agar dapat mengatasi segala masalah hidup, bukannya mengatasi simptom seperti yang ada sekarang. Islamlah (syariah) tempat kita kembali merujuk kerana ia merupakan sebuah deen (cara hidup) yang berlandaskan wahyu, bukannya sebagaimana sistem Kapitalis sekarang yang menjadikan “akal” sebagai sumber penyelesaian. Akal manusia biarpun majoriti, biar pun keluar dari pemimpin yang tertinggi, bukanlah penentu kebenaran untuk menyelesaikan masalah kehidupan. Kenapalah pemimpin ini tidak sedar-sedar bahawa akal mereka sering diguna untuk merubah hukum Allah? Beraninya mereka dengan azab Allah kelak!