Kos Pemasangan Elektrik Yang Membebankan

kos-elektrikTidak mampu tanggung kos pemasangan elektrik

KUANTAN 5 Okt. – Akibat kesempitan hidup, sebuah keluarga di sini terpaksa menjalani rutin harian dalam keadaan serba kekurangan apabila tiada bekalan elektrik dan air di rumah mereka sejak enam tahun lalu.  Bahari Shamsudin, 51, yang tinggal bersama isteri, Asiah Jais, 47 dan lima anaknya di Kampung Ubai di sini tidak mampu menanggung kos penyambungan bekalan elektrik mahupun air ke rumah mereka ekoran pendapatannya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ubai tidak mencukupi.  Menurutnya, sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Raub namun sejak berlaku kejadian anak sulungnya, Azunawati, meninggal dunia akibat lemas kira-kira enam tahun lalu, mereka sekeluarga berpindah ke kampung halaman isterinya bagi melupakan kejadian pahit itu.  ”Dengan duit pampasan arwah anak yang saya terima sebanyak RM5,000, kami sepakat membina rumah di tanah milik ibu saudara untuk berteduh,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. 

Menurutnya, dengan bantuan saudara mara, mereka mendirikan rumah sederhana kecil yang tidak mempunyai bilik secara ala kadar serta mendapat bekalan air yang diambil dari rumah ibu saudara yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.   Tambah Bahari, tahun lalu beliau pernah memohon bantuan daripada Pusat Zakat untuk memasang bekalan elektrik tetapi permohonannya ditolak atas alasan beliau masih mampu bekerja.  ”Dengan pendapatan bersih sebanyak RM600 sebulan, saya perlu menampung lima anak yang masih bersekolah manakala anak keenam, Najwa Nadila yang berusia tujuh tahun tinggal bersama emak saudaranya kerana saya tidak mampu menyara persekolahan,” katanya.  Katanya, dia memerlukan kos sebanyak RM1,500 untuk mendapatkan bekalan elektrik di rumahnya tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana pendapatan yang diterima digunakan untuk keperluan rumah.  ”Saya kasihankan anak-anak kerana terpaksa belajar dalam keadaan gelap dengan bertemankan lampu minyak tanah untuk ulang kaji pelajaran.  “Kadang-kala terpaksa menumpang ehsan di rumah saudara mara untuk membuat kerja sekolah dan mengulang kaji pelajaran,” katanya.  Sungguhpun begitu, anak-anak Bahari masing-masing menunjukkan kecemerlangan di dalam akademik mahupun kokurikulum apabila anak ke empatnya, Iza Maszura kini belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah di Rompin dalam tingkatan dua.  Anak-anaknya yang lain, Ira Sakina, 16, menuntut di Sekolah Menengah Teknik (SMT) Pelindung; Irwan Shahrul, 15, belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai, Shahril Amri, 8, belajar di SK Ubai dan Liana Natasha, 3 tahun.  Tambah Bahari, isterinya yang tidak bekerja terpaksa menjaga anak-anak yang masih kecil dan hanya bergantung kepada hasil pendapatannya sahaja.  Oleh itu, Bahari berharap supaya pihak tertentu yang sudi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya demi keselesaan anak-anak untuk belajar dan berjaya pada masa hadapan.

Sumber: Utusan Malaysia 06/10/10

Suara Dan Rintihan Umat: Satu Lagi Pengkhianatan Pemerintah

Di saat para pemerintah terus gah melaungkan ….”Rakyat Didahulukan…” masih terdapat rakyat yang hidup dalam keadaan daif dan sengsara dihimpit kesusahan hasil dari penerapan sistem kehidupan yang berasaskan pemikiran sekular Kapitalisme. Masih ada lagi umat di saat ini yang tidak mampu untuk menyalurkan bekalan elektrik ke rumahnya, yang mana mengikut pandangan Islam, bekalan elektrik itu adalah hak rakyat yang sepatutnya dimiliki secara percuma. Tetapi apabila Bapa Kapitalisme Malaysia, Mahathir, mula memperkenalkan dengan bangganya projek pengswastaan dan mula mengswastakan pemilikan rakyat seperti air, elektrik, minyak dan sebagainya maka kini kita dapat melihat  natijah yang terpaksa ditanggung oleh umat hari ini. Saban tahun rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan hak mereka. Inilah yang dikatakan kerajaan Kapitalisme yang berniaga dengan rakyat. Bukankah ini pengkhianatan namanya? 

Rasulullah SAW telah bersabda “Kaum Muslimin bersyarikat (berkongsi) dalam tiga perkara iaitu air,padang
ragut dan api”
[HR Abu Daud].

Anas r.a pula meriwayatkan hadis dari Ibnu Abbas r.a tersebut dengan tambahan,

“wa tsamanuhu haram” (“dan harganya adalah haram”).

Ibnu Majah juga meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, bahawa Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,  “Tiga hal yang tidak akan pernah dilarang (dari manusia memanfaatkannya) adalah air, padang ragut dan api” [HR Ibnu Majah]. Ini bermakna air, padang ragut dan api (tenaga) adalah tiga perkara yang dibenarkan agar semua orang berkongsi di dalamnya dan baginda melarang mana-mana orang menghalang orang lain dari menggunakannya. Tidak ada seorang manusia pun boleh ‘mengindividukan’ atau menswastakan suatu aset yang telah Allah sediakan bagi masyarakat awam. Kini keadaannya adalah amat bertentangan dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW. Bahari dan keluarganya adalah salah satu dari mangsa sistem Kapitalisme yang diterapkan oleh negara selama ini. Mungkin terdapat ratusa malah ribuan kes yang sama seperti yang dialami oleh Bahari dan keluarganya. Inilah sebahagian dari kecacatan dicelah-celah kehidupan di bawah sistem Kapitalisme yang diterapkan oleh pemerintah sekular hari ini. Ia merupakan sistem yang mensengsarakan rakyat. Di kala rumah para pemimpin dan istana-istana mereka bergermerlapan dan bercahaya dengan puluhan lampu disepanjang masa, rintihan umat di sana sini masih terus terpingir dari perhatian dan rasa tanggungjawab pemerintah.

Wahai para pemimpin negara! Renungilah sabda Rasulullah SAW:

“Seseorang yang memimpin kaum muslimin dan dia mati, sedangkan dia menipu mereka(umat) maka Allah SWT akan mengharamkan dia masuk ke dalam syurga” [HR Bukhari dan Muslim].

Sabdanya lagi:

“Seseorang yang ditetapkan oleh Allah (dalam kekuasaan) mengurus kepentingan umat dan dia tidak memberikan nasihat kepada mereka(umat) dia tidak akan mencium bau syurga”. [HR Bukhari].