Kejatuhan Lira Turki

Soalan:

Lira Turki merudum sebanyak 14% hanya dalam tempoh sehari pada 10 Ogos 2018 selepas mengalami kejatuhan sebanyak 21% sejak awal tahun ini. Kejatuhan lira Turki semakin memburuk sejak Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif ke atas keluli dan aluminum yang diimport dari Turki, dan berkait dengan penahanan seorang paderi Kristian warganegara Amerika di Turki sejak 2016 yang mahu dibebaskan oleh AS. Apakah sebab sebenar disebalik isu ini dan ke manakah halatuju krisis ini? Semoga Allah membalas kebaikan anda.

Jawapan:

Untuk mendapatkan jawapan yang jelas, beberapa perkara yang berikut perlulah diketahui

Pertama: Krisis Lira dan kejatuhan berterusan sejak dahulu

1 –Penggunaan mata wang lira pada sejak tahun 1927, iaitu satu lira bersamaan dengan satu US dollar, sejak kejatuhan Khilafah dan penamatan penggunaan emas dan perak sebagai standard matawang. Seterusnya bermulalah kejatuhan lira sejak 1933, iaitu satu US dollar bersamaan dengan dua lira. Kejatuhan lira menjadi semakin teruk apabila pada tahun 2001, satu US dollar bersamaan dengan 1.65 juta lira.  Defisit dalam ekonomi Turki menjadi buruk apabila kerajaan pro-British Ecevit menerima tekanan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF) yang mengakibatkan Erdogan menjadi pemimpin setelah memenangi pilihan raya pada tahun 2002 dengan disokong oleh AS. Kerajaan Erdogan memansuhkan “nilai enam kosong”  yang disokong oleh parlimen dan perlaksanaannya bermula pada 1 Januari 2005 yang menyaksikan satu US dollar menjadi 1.79 lira. Namun begitu, ia tidak berkekalan lama. Sejak tahun 2013, nilai lira jatuh sekali lagi. Kejatuhan lira berlanjutan selama sembilan bulan sehingga awal 2014 yang menyusut sebanyak 30%. Kejatuhan itu belum berhenti hingga ke hari ini. Kerajaan Erdogan telah cuba untuk mengurangkan kejatuhan dan mengekalkan kestabilannya tetapi gagal. Sejak awal tahun ini, lira mengalami kejatuhan mendadak sehingga pertengahan tahun 2018 sebanyak 21%, iaitu hanya dalam tempoh enam bulan sahaja.

2 – Kemudian pada 26 Julai tahun ini, krisis menjadi bertambah buruk apabila Trump dan naib presiden Mike Pence mengugut untuk mengenakan sekatan ke atas Turki sekiranya paderi Brunson tidak dibebaskan dengan segera. Nilai Lira mula menurun lagi hingga akhir Julai berbanding US dollar menjadi 4.91 lira (untuk 1 US dollar), berbanding dengan 4.76 lira (untuk 1 US dollar) sebelum keputusan Bank Pusat Turki untuk mengekalkan kadar faedah kepada 17.75% tanpa penambahan. “Bank Pusat Turki mengekalkan kadar faedah pada hari Selasa, berbeza dengan ramalan yang menjangkakan kenaikannya disebabkan oleh peningkatan kadar inflasi ke paras tertinggi dalam masa 14 tahun lalu. Bank mengekalkan kadar pada 17.75% dan lira jatuh sebanyak 20% daripada nilainya pada awal tahun kepada 4.91% berbanding US dollar, selepas berada pada 4.7605” (Sumber: Sky News Arabic: Selasa July 24, 2018).

3 – Sekatan AS dikenakan ke atas Turki berikutan dengan kenyataan Trump di akaun Twitternya, dan ini menyaksikan lira Turki jatuh berbanding US dollar. Dalam usaha mengelakkan krisis dengan AS daripada berlanjutan, Ankara telah menghantar delegasi yang diketuai oleh Timbalan Menteri Luar Turki pada 7 Ogos 2018 untuk berunding dengan AS mengenai krisis tersebut dan pembebasan paderi Brunson. Akan tetapi pertemuan di antara kedua belah pihak tidak membuahkan hasil. Apabila delegasi Turki berangkat pulang pada 9 Ogos 2018, Trump sekali lagi mengumumkan di Twitter pada Jumaat 10 Ogos 2018, bahawa sekatan dikenakan ke atas import keluli dan aluminum Turki, yang mengakibatkan tarif ke atas aluminum Turki meningkat menjadi 20% sementara keluli menjadi 50%, dan menyebabkan lira jatuh menjadi 7.24 untuk setiap satu US dollar semasa dagangan awal Asia dan Pasifik. Lira Turki menyusut sebanyak 40% berbanding nilainya pada awal tahun. Pada minggu kedua bulan Ogos sahaja, lira menyusut sebanyak 20% berbanding US dollar. Kenyataan Trump dalam akaun twitternya “Saya telah mengarahkan kenaikan tarif terhadap keluli dan aluminum Turki..” (https://arabi21.com, 10/08/2018; New York Times, 10/08/2018)

4 – Oleh itu, krisis kewangan di antara AS dan Turki secara zahirnya dilihat berpunca daripada isu penahanan paderi Brunson dan keinginan Presiden AS  untuk memenuhi permintaan golongan Kristian fundamentalis sebelum pilihan raya separuh penggal kongres AS. Namun pada hakikatnya, isu penahanan paderi tersebut hanya dijadikan sebagai helah untuk menyembunyikan punca utama kejatuhan lira, sedangkan ia merupakan krisis politik yang dilancarkan oleh AS ke atas Eropah. Hal ini demikian kerana tanda-tanda krisis tersebut sudah kelihatan sebelum berlaku perselisihan di antara Turki dengan AS. Kerajaan Turki telah mengawalkan tarikh pilihan raya daripada November 2019 kepada bulan Jun tahun ini sebagai persediaan menghadapi krisis yang boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya kelak. Hal ini diperakui Erdogan dalam ucapannya pada bulan April yang lalu, “Terima kasih atas pengenalan tarikh awal pilihan raya, agar kita berupaya untuk menghadapi sebarang kesan terhadap kegoncangan ekonomi, jika tidak, kita tidak akan berupaya untuk  keluar daripada krisis ekonomi tanpa menghadapi sebarang kerugian” (Berita Turki 20/4/2018). Ini bermakna kejatuhan lira telah berlaku sebelum penahanan paderi Brunson dan sebelum kenaikan tarif yang dikenakan oleh AS terhadap Turki. Tambahan pula, paderi Brunson telah ditahan sejak tahun 2016. Oleh itu, tidak munasabah bagi AS untuk mengenakan sekatan ke atas Turki selepas dua tahun berlalu, apatah lagi sudah sedia maklum bahawa AS sememangnya tidak berminat terhadap isu-isu agama dan hak asasi manusia.

5 – Sebab utama disebalik kejatuhan drastik lira Turki dapat dilihat kepada beberapa perkara, diantaranya:

a – Pinjaman kewangan yang besar terutamanya oleh sektor swasta sejak sepuluh tahun terakhir. Kementerian kewangan Turki mengumumkan pada September 2017 bahawa jumlah hutang luar Turki ialah sebanyak USD 438 billion, dan merancang untuk membayar sebanyak USD 11 billion bagi mencapai sasaran untuk menjelaskan hutangnya sekitar USD 43 billion sehingga akhir tahun 2018 melalui satu kenyataan pada 31 Oktober 2017. Dalam kenyataan tersebut dinyatakan bahawa kerajaan Turki “merancang akan membayar sebanyak USD 10.92 billion yang merupakan sebahagian daripada USD 43.1 billion sebagai langkah menguruskan hutang untuk tahun 2018. Sementara itu kadar inflasi telah memuncak melebihi 10%” (Anadolu Agency 31/10/2017). Dengan demikian, amaran telah dikeluarkan sehingga penasihat Kementerian Kewangan Turki mengumumkan bahawa “hutang luar Turki untuk suku pertama sehingga 31 Mac 2018 ialah sebanyak USD 466.7 billion” (Anadolu Agency 29/6/2018). Bahagian penting dalam hutang ini ialah projek-projek kerajaan yang dibiayai dan dilaksanakan oleh sektor swasta. Ini disebabkan oleh kerajaan pimpinan Erdogan sejak sepuluh tahun yang lalu telah berusaha untuk mengurangkan hutang kerajaan dengan menyalurkan projek-projek kerajaan kepada sektor swasta yang mendapatkan pinjaman luar untuk membiayai projek-projek tersebut. Oleh itu, pada dasarnya hutang luar tersebut menjadi sebahagian tanggungjawab sektor swasta dan ini menjadi modal politik kerajaan Turki untuk meyakinkan rakyat bahawa kerajaan sebenarnya tidak dibebani dengan beban hutang luar yang tinggi!

b- Menurut data daripada Kementerian Kastam dan Perdagangan Turki pada 2 Januari 2018, desifit perdagangan di antara eksport dan import bertambah kepada 37.5% berbanding dengan tahun sebelumnya hingga mencapai 77.06 billion dolar AS pada 2017. Nilai eksport Turki ialah sebanyak USD 157 billion manakala nilai import ialah USD 234 billion + USD 156 juta pada tahun 2017 (TV dan Radio Turki, 2/1/2018). Sebagai tambahan, kadar inflasi ialah 15.85% sepertimana yang diumumkan oleh “Pejabat Statistik Turki” pada 3 Ogos 2018 (Anadolu Agency 3/8/2018). Kadar inflasi ini merupakan yang tertinggi sejak Erdogan mengambil alih kekuasaan pada tahun 2003. Peranan Bank Pusat Turki dalam menstabilkan kadar inflasi sebanyak 5% adalah untuk mencapai piawaian Eropah, akan tetapi Turki telah gagal dan terhenti setakat 8% kemudian meningkat semula kepada 10% pada tahun lepas dan terus meningkat kepada 16% tahun ini.

c – Kejatuhan penilaian ekonomi Turki oleh agensi penarafan telah meningkatkan tekanan ke atas lira Turki dan mengurangkan kepercayaan terhadap lira dan ekonomi Turki. Moody, sebuah agensi penarafan memberikan amaran terhadap kelemahan lira Turki, kadar inflasi dan hutang Turki dengan menyatakan: “kelemahan kronik lira Turki mempunyai kesan negatif ke atas pengelasan hutang kerajaan dan merupakan masalah kepada ekonomi” dan merujuk kepada “rizab pertukaran luar yang rendah di Turki” (Reuters 14/4/2018). Agensi ini menurunkan klasifikasi Turki daripada BA1 kepada BA2 pada 13 Mac 2018. Langkah ini telah menimbulkan kemarahan Erdogan yang mengatakan bahawa “Agensi penarafan kredit mempunyai tujuan jahat untuk menimbulkan masalah ke atas Turki dan pasaran kewangan tidak patutnya mengambil serius mengenainya” (Turk Press, 13/3/2018). Agensi penarafan kredit Standard & Poor’s juga mengikut langkah Moody’s yang menurunkan pengelasan Turki dalam suatu langkah yang tidak diduga. Agensi penarafan tersebut mengumumkan bahawa mereka menurunkan penarafan Turki daripada BB kepada BB- dan mengumumkan bahawa “penurunan penarafan ini disebabkan oleh masalah inflasi, penurunan kadar pertukaran dalam jangka-panjang dan ketidakstabilan kewangan Turki” (Reuters 2/5/2018).

Ia diikuti oleh agensi penarafan Fitch yang mengumumkan bahawa “Penarafan kredit Turki jatuh daripada BB+ kepada BB disebabkan oleh inflasi yang bertambah, defisit akaun semasa dan ketidaktentuan dalam polisi ekonomi Turki” (Turk Press 14/7/2018). Seperti sedia maklum, agensi-agensi kredit tersebut mempunyai peranan dalam mempengaruhi keadaan ekonomi sesebuah negara, mereka boleh bertindak menyembunyikan masalah ekonomi dan tidak membongkarkannya – sepertimana yang telah dilakukan ke atas Turki selama bertahun tahun – atau mengambil langkah membongkar serta membesar-besarkannya – juga sepertimana yang dilakukan ke atas Turki sekarang. Atas tujuan politik, mereka berusaha mencipta ketakutan dalam kalangan kreditor untuk memberikan pinjaman kepada Turki, menuntut pembayaran balik hutang, meningkatkan tuntutan pembayaran wang tanpa penyusutan nilai daripada pasaran kewangan untuk pembayaran semula hutang. Semua ini akhirnya membawa kepada kejatuhan lira.

Keduanya: Persoalan yang perlu ditimbulkan ialah lira Turki telah mengalami krisis untuk sekian lama, justeru mengapakah tekanan yang dikenakan ke atas Turki pada waktu ini dengan menggunakan isu paderi Brunson dan kenaikan tarif oleh AS? Dan mengapakah kejatuhan lira diberi fokus dengan gambaran seolah-olah terdapat konflik di antara Turki dengan AS yang mahu menjatuhkan lira Turki? Ia merupakan gambaran yang berbahaya dan boleh membawa kepada pengisytiharan perang, yang menuntut Turki untuk memutuskan hubungan dan menarik diri daripada pakatan NATO dan sebagainya, namun semua ini ternyata tidak berlaku! Maka apakah isu sebenar yang berlaku disebalik situasi ini? Dalam merungkai hakikat perkara sebenarnya yang berlaku, kami bawakan fakta-fakta seperti berikut:

1- Pentadbiran Trump sentiasa mahu menjadikan dolar AS sebagai mata wang yang utama mengatasi mata wang global lain yang berpengaruh terutamanya Euro. Dengan mengambil kesempatan terhadap kadar faedah yang rendah di Kesatuan Eropah (EU), AS meningkatkan kadar faedah untuk membuat pindahan pembayaran dari EU ke AS untuk mendapatkan kadar faedah yang lebih tinggi. AS menjangkakan bahawa langkah tersebut akan melemahkan euro terhadap dolar, tetapi langkah tersebut telah gagal dan euro terus mengukuh berbanding dolar. Bank Pusat EU memulakan rancangan yan berkesan untuk mengetatkan polisi kewangan EU serta mengurangkan atau menghentikan pembelian bon yang dikenali sebagai kelonggaran kewangan yang mengakibatkan pengeluaran modal dari AS ke EU dan Asia dalam usaha mendapatkan keuntungan pelaburan yang lebih baik. Apabila langkah Trump tersebut telah gagal, Trump terpaksa mengurangkan import dan meningkatkan eksport untuk mengimbangi perdagangan AS dalam usaha menguatkan dolar, dan mula mengenakan tarif  ke atas barangan import. Hal ini dapat dilihat daripada kenyataan Wilbur Ross, Jurucakap Perdagangan AS yang mengumumkan pada Khamis 31 Mei 2018: “bahawa AS akan mengenakan sekatan duti kastam yang tinggi atas keluli dan aluminum yang diimport dari Kesatuan Eropah, China, Mexico dan Kanada” (www.dw.com, 31/5/2018).

2- Namun, kesemua polisi tersebut telah gagal untuk menguatkan dolar AS terhadap Euro. Sebaliknya Trump kelihatan dapat melaksanakan misi beliau menguatkan dolar dengan memfokuskan terhadap kejatuhan lira Turki dengan menambahkan tekanan terhadap lira. Langkah tersebut telah mengakibatkan keadaan panik atas pasaran kewangan Eropah disebabkan transaksi kewangan yang kuat diantara EU dengan Turki. Hal ini demikian kerana majoriti pelaburan di Turki datangnya dari EU, malah telah bertambah sebanyak 42% pada tahun 2017 dan perdagangan dengan Turki ialah yang terbesar untuk EU hingga mencecah 160 billion dolar pada 2017 dan ini sangat menguntungkan EU. Kedua pihak sudah mula untuk mengaktifkan semula persetujuan kastam yang ditandatangani pada tahun 1995 untuk meningkatkan perdagangan kepada USD 200 billion untuk jangka masa satu setengah tahun, kepada USD 500 billion dalam lima tahun sebagaimana yang diumumkan oleh Menteri Ekonomi Turki, Nihat Zeybekci (Middle East 29/9/2017). Sementara itu, perdagangan di antara Turki dan AS pula ialah pada USD 18.7 billion dengan pertambahan eksport AS ke Turki sebanyak 7.2% dalam masa 11 bulan semasa pentadbiran Trump (Anadolu Agency 21/1/2018). Oleh itu, suatu ketidakstabilan terhadap ekonomi Turki dan lira Turki akan mengakibatkan keadaan panik atas ekonomi EU. Ketidakstabilan kewangan ini akan melemahkan mata wang EU sebagaimana yang diramalkan oleh Trump.

3- Pasaran kewangan Eropah telah terjejas kesan daripada kejatuhan lira Turki:

a- Bank Pusat EU prihatin terhadap kesan yang boleh menimpa Bank Zon Euro daripada krisis yang melanda Turki, terutamanya bank Perancis BNP Paribas, bank Sepanyol BPA dan Itali UniCredit. Ketiga-tiga bank ini mempunyai operasi di Turki dan saham ketiga-tiga mereka jatuh sebanyak 3%. Eropah mengalami kesan daripada krisis Turki disebabkan oleh perlaburan mereka di Turki, hutang mereka terhadap Turki dan perdagangan di antara kedua mereka.

b – Menurut angka terbaru daripada bank International Settlements (BIS), hutang bank Eropah yang diberikan kepada Turki ialah sebanyak USD 224 billion (sekitar Euro 200 billion), kebanyakannya kepada bank Sepanyol yang khuatir terhadap keadaan mereka dalam situasi krisis di Turki. Saham setengah bank Eropah mula jatuh, dengan lira jatuh sebanyak 10-20% disebabkan hutang mereka di Turki (Sky News 31/5/2018).

c – Ada satu lagi keadaan yang menggusarkan tentang hutang Turki, iaitu ketidakmampuan untuk menguruskan hutang. Para pelabur Turki berhutang kepada bank Sepanyol sebanyak USD 82.3 billion, bank Perancis sebanyak USD 38.4 billion, dan pinjaman dari Itali pula sebanyak USD 17 billion termasuk kewangan dalaman dan luaran. Dari sini, amaran telah dikeluarkan ke seluruh Eropah. Bank EU seperti bank Sepanyol BBVA, UniCredit Itali dan BNP Paribas Perancis telah kehilangan saham mereka: https://www.ft.com/con…/51311230-9be7-11e8-9702-5946bae86e6d

Kejatuhan nilai lira Turki juga menimbulkan kemungkinan Turki tidak mampu membayar hutang mereka, dan mengakibatkan impak besar atas kewangan Eropah.

d – Terdapat laporan bahawa syarikat-syarikat gergasi Turki mempunyai hutang besar melebihi USD 200 billion, dan mereka sudah meminta perlindungan kerajaan daripada pengkredit setelah kejatuhan lira. Di antara syarikat-syarikat ini ialah Kumpulan Dogus yang diurus oleh Frit Shahenk, yang mengesyorkan bank untuk membuat penstrukturan semula hutang dalam mata wang luar yang bernilai berbillion USD. Menurut beberapa anggaran yang dibuat, penstrukturan semula jumlah hutang yan diperlukan ialah kira-kira sebanyak USD 20 billion.

e – Federasi Perdagangan dan Industri Jerman mengumumkan bahawa sebanyak 6500 syarikat Jerman di Turki terjejas berikutan krisis ekonomi Turki, yang menjadikan syarikat Jerman berhenti daripada membuat pelaburan baru dalam pasaran di Turki (www.lebanon24.com13/8/2018).

Ketiga, dengan menfokuskan kepada krisis lira, AS telah berjaya menggoncangkan ekonomi EU dan turut melemahkan mata wang Euro dan menjatuhkannya berbanding dengan dolar AS. Walaupun tindakan tersebut akan memberikan kesan atas kehidupan rakyat Turki namun Trump tidak akan peduli tentang perkara ini. Kita boleh lihat tindakan Trump seperti seorang koboi yang akan membuat apa sahaja untuk melemahkan mana-mana mata wang yang bersaing dengan dolar, tetapi apa yang menyedihkan ialah Erdogan tidak menyedari hakikat tersebut sambil memikirkan bagaimanakah Trump sanggup bertindak sedemikian rupa semata-mata untuk membela seorang paderi yang ditahan di Turki? “Merupakan satu perkara yang salah untuk mengugut Turki disebabkan penahanan seorang paderi”, kata-kata Erdogan kepada para hadirin di bandar Unye di Laut Hitam. “Saya berkata kepada Amerika sekali lagi: tidakkah anda malu meninggalkan rakan strategik NATO hanya semata-mata seorang paderi” (Al-Anba website, Sunday 12/8/2018). Kemudian dia berkata bahawa Turki telah memberikan banyak manfaat kepada Amerika dan juga berjuang untuk kepentingan Amerika!

Dalam satu artikel bertajuk: “Erdogan: Bagaimana Turki Melihat Krisis Dengan Amerika Syarikat” yang diterbitkan oleh New York Times pada 18 Ogos 2018, Erdogan mengatakan: “…Sejak enam dekad lalu, Turki dan AS merupakan rakan strategik dalam NATO… Kedua-dua negara telah bahu membahu  menghadapi cabaran semasa dan selepas perang dingin… Sejak bertahun-tahun Turki membantu Amerika apabila diperlukan. Anggota tentera kami, sama ada lelaki atau wanita telah berperang di Korea. Pada 1962, pentadbiran Kennedy telah berjaya memaksa Soviet mengeluarkan peluru berpandu mereka di Cuba dan mengeluarkan peluru berpandu Jupiter di Italy dan Turki. Semasa peristiwa September 2001, Washington bergantung kepada sekutu mereka untuk memerangi keganasan, kami menghantar tentera ke Afghanistan untuk melangsungkan misi NATO di sana”. Dengan demikian, Erdogan sendiri secara tidak langsung telah membongkarkan ketaatan beliau kepada Amerika, iaitu musuh Islam dan musuh kaum Muslimin, dan AS sama sekali tidak memberikan apa-apa walaupun secebis penghormatan.

Keempat: Kesan terhadap krisis di antara Amerika dan Turki, dan masalah lira Turki, kita boleh menjangkakan yang berikut:

1 – Tujuan tekanan AS ke atas lira Turki, yang mengakibatkan kejatuhan lira bertujuan untuk mewujudkan suasana panik dalam pasaran Eropah dalam usaha menjejaskan ekonomi Eropah dan menjatuhkan mata wang Euro, disebabkan hubungan perdagangan yang sangat kukuh di antara EU dengan Turki, dan ini mengakibatkan kejatuhan euro berbanding dolar: “…Euro mengalami kesan buruk pada hari Jumaat setelah akhbar Financial Times melaporkan dua sumber berita bahawa Bank Pusat Eropah khuatir terhadap bank-bank di Sepanyol, Itali dan Perancis disebabkan pelaburan mereka di Turki, dan pada hari ini mata wang euro menjadi 1.13655 berbanding dolar, iaitu yang paling lemah terhadap dolar sejak bulan Julai” (Reuters, Monday, August 13, 2018). Sekiranya Trump boleh melancarkan serangan ke atas Euro demi memenuhi sifat angkuhnya, Trump juga boleh menyokong semula lira dengan menafikan penarafan oleh agensi penarafan sebagaimana yang berlaku semasa Erdogan mula memerintah pada tahun 2003, apabila lira mengalami krisis dan ekonomi meleset semasa kerajaan Ecevit, dan mencipta pengaruh tentang keadaan ekonomi Turki yang berkembang pesat dengan pinjaman dari Amerika dan sekutunya serta meningkatkan penarafan ekonomi Turki. Hasilnya, ia dapat melonjakkan ekonomi Turki walaupun berasaskan kepada pinjaman dan riba (faedah)!

2 – Berkenaan dengan kesan tarif, ia tidak mempunyai pengaruh yang besar. Eksport Turki kepada AS berjumlah lebih daripada USD 1 billion (Al-Youm As-Sabi’, 2/8/2018), yang sebenarnya tidak berkesan dalam sebuah negara yang mempunyai eksport lebih daripada USD 157 billion pada tahun 2017 (Bawabat Al-Sharq 2/1/2018). Jadi, ia seolah-olah bertujuan untuk mewujudkan situasi kegoncangan terhadap ekonomi Turki dan menyebabkan kejatuhan lira Turki, yang akhirnya memberi kesan terhadap ekonomi Eropah dan mata wang Euro. Ini disebabkan oleh hubungan perdagangan yang kuat di antara Turki dan Eropah.

3 – Berkenaan dengan paderi pula, dia sudah ditahan selama dua tahun dan tidak mengugat kestabilan di antara Turki dan AS. Tetapi Trump telah mengugat kestabilan tersebut sekarang untuk sebagai kempen pilihan raya yang akan datang. Ia juga bertujuan untuk menimbulkan suasana tegang di antara Turki dan AS yang boleh mempengaruhi pasaran kewangan yang merupakan suatu kesan sampingan terhadap krisis tersebut dan bukan merupakan kesan utama. Jadi, apabila tujuan serangan terhadap mata wang Euro telah tercapai yang dijangkakan tidak akan berlangsung untuk masa yang lama, paderi tersebut akan dikembalikan ke AS namun tiada jaminan sama ada AS akan menyelamatkan Erdogan atau tidak!

4 – Kesusahan rakyat Turki yang disebabkan oleh kejatuhan lira, peningkatan kos sara hidup… Ini bukanlah suatu perkara yang menjadi perhatian Trump dan agen yang mempunyai kepentingan dengan AS. Ini sepatutnya memberikan pengajaran kepada pengikut dan penyokong AS bahawa mereka tidak mempunyai sebarang nilai pada pandangan tuan mereka (AS). Tuan mereka ini boleh melakukan apa sahaja terhadap mereka demi kepentingannya, walaupun jika tindakan itu merupakan satu bentuk kehinaan kepada pengikutnya. Bahkan tuan mereka ini juga boleh memalukan mereka yang sudah terbiasa dengan penghinaan. Dengan kata lain, AS boleh melakukan apa sahaja terhadap agen dan sekutu mereka walaupun ini akan mendatangkan keaiban kepada agen dan sekutu AS sendiri.

Kesimpulan:

Krisis yang dilancarkan oleh Trump dalam bentuk duti kastam, penahanan paderi, penurunan agensi penarafan Turki, pendedahan hutang Turki, kejatuhan lira Turki dan sebagainya bertujuan untuk mewujudkan suasana tegang di Eropah dan ekonomi EU serta kemerosotan mata wang euro disebabkan oleh hubungan perdagangan yang kuat diantara EU dan Turki, yang telah mengakibatkan kejatuhan euro berbanding dolar.

Sejak Erdogan mengikuti ‘orbit’ AS, tidak mungkin krisis ini akan berpanjangan sekiranya Trump berpuas hati terhadap kejatuhan Euro sekalipun bukan kejatuhan yang besar. Maka Trump, akan mengakhiri krisis tersebut sebagaimana dia bertanggungjawab memulakannya sama ada dia akan menyelamatkan kedudukan Erdogan atau tidak. Paderi tersebut akan dibebaskan dan tarif akan dimansuhkan atau dikurangkan. Agensi penarafan akan membuat pengelasan semula terhadap Turki setelah pembayaran hutang dilanjutkan dengan pinjaman baru. Oleh itu, nilai mata wang lira akan pulih walaupun dalam jangka masa yang singkat berbanding dengan jangka masa krisis tersebut. Trump dan Erdogan akan kembali kepada rundingan seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku!! Seterusnya, sekiranya tujuan tuan mereka adalah untuk memberikan kehinaan kepada sekutu atau agen, maka itulah yang akan berlaku. Sekiranya ini memungkinkan penamatan agen dan sekutu AS, maka itulah yang akan berlaku, sepertimana yang telah berlaku kepada agen dan sekutu-sekutu AS sebelum ini, adakah mereka telah lupa?

إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَذِكْرَىٰ لِمَنْ كَانَ لَهُ قَلْبٌ أَوْ أَلْقَى السَّمْعَ وَهُوَ شَهِيدٌ

“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai akal atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya” [TMQ Surah Qaaf (50): 37]

 

12 Dzulhijjah 1439
23 Ogos 2018

[Terjemahan soal jawab Amir Hizbut Tahrir: http://www.hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/qestions/political-questions/15910.html]