Kekejaman Myanmar hanya boleh dijawab dengan tindakan ketenteraan
Tindakan Gambia mengheret Myanmar ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mendapat pujian daripada Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN). Walaupun usaha Gambia kelihatan baik dan wajar dipuji, namun apa yang pasti ialah ia sama sekali tidak akan menyelesaikan masalah kekejaman rejim Myanmar terhadap Muslim Rohingya.
Mengheret negara penjenayah ke ICJ bukanlah penyelesaian kepada sebarang masalah di peringkat antarabangsa kerana. ICJ tidak mempunyai kuasa pelaksanaan. Dengan kata lain, jika mahkamah dunia itu memutuskan Myanmar bersalah sekalipun, tidak ada apa-apa tindakan atau hukuman yang boleh dilaksanakan ke atas Myanmar.
ICJ adalah mahkamah kufur di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang jelas merupakan ciptaan Barat yang anti-Islam. Sebuah mahkamah kufur yang berhukum dengan hukum kufur sudah pasti tidak akan mampu selama-lamanya untuk menyelesaikan masalah umat Islam. Mana mungkin mahkamah yang tidak berhukum dengan hukum Allah (swt) akan dapat menyelesaikan masalah umat Islam, apatah lagi mahkamah tersebut dikuasai oleh PBB yang merupakan kuda tunggangan Amerika Syarikat, sebuah negara pengganas yang bencikan Islam.
ICJ adalah mahkamah yang berada di bawah pengawasan dan penguasaan PBB yang pastinya tidak akan dapat lari sedikit pun daripada ketetapan PBB. Hakimnya yang berjumlah 15 orang secara bergiliran, walaupun ada beberapa orang yang beragama Islam, tetapi mempunyai pemikiran yang sama dengan hakim non-Muslim lainnya. Kesemua undang-undang dan prosedur perbicaraan yang dipakai ICJ adalah undang-undang kufur yang ditetapkan oleh PBB. Inilah fakta dan hakikat ICJ. Jadi, mana mungkin mahkamah seperti ini akan dapat memberi keadilan kepada kaum Muslimin, apatah lagi untuk menyelesaikan masalah kaum Muslimin!?
Isu Muslim Rohingya adalah isu umat Islam. Ia bukan isu dalaman Myanmar dan ia bukan isu etnik. Ia adalah isu umat Islam yang menjadi kewajipan bagi setiap Muslim untuk memerhatikannya. Isu ini wajib diselesaikan dengan cara yang diajar oleh Islam, bukan mengikut akal atau mengikut ketetapan atau peraturan daripada orang-orang kafir atau badan kufur seperti ICJ.
Setiap Muslim perlu faham realiti di Myanmar bahawa terdapat mangsa dan pemangsa. Mangsanya ialah umat Islam yakni Muslim Rohingya dan pemangsanya ialah rejim Myanmar. Muslim Rohingya dizalimi hanya semata-mata kerana agama mereka ialah Islam. Inilah hakikatnya. Pemangsa pula memiliki kekuatan ketenteraan sebuah negara manakala mangsa tidak mempunyai apa-apa kekuatan. Mana mungkin untuk menyelamatkan mangsa jika si pemangsa tidak dibereskan!
Justeru, persoalannya di sini ialah, apakah ICJ berani dan bersedia menghukum si pemangsa dan jika bersedia, apakah bentuk hukumannya? Apakah ICJ atau PBB sendiri akan menghantar bantuan ketenteraan untuk melawan kekejaman Myanmar ke atas Muslim Rohingya? Kita sudah pun tahu akan jawapannya. Hakikatnya, PBB serta badan-badan antarabangsa yang lain tidak pernah serius dan tidak pernah berjaya menyelesaikan masalah umat Islam. Malah sebaliknya, kerana merekalah umat Islam terus berada dalam penderitaan.
ICJ merupakan organ kehakiman utama di bawah PBB yang ditubuhkan pada Jun 1945 di bawah piagam PBB. Manakala sejarah kewujudan PBB itu sendiri, yang berasal dari Liga Bangsa-bangsa yang asalnya merupakan gabungan negara-negara Kristian Eropah, adalah untuk menghancurkan Daulah Islam. Jadi mana mungkin sebuah badan kufur dunia yang ditubuhkan untuk menghancurkan Islam, akan bertindak menjadi penyelamat kepada umat Islam?
Jadi, satu-satunya harapan umat Islam saat ini hanyalah kepada Khilafah, yang bakal berdiri tidak lama lagi berdasarkan janji daripada Rasulullah (saw). Insya Allah Khilafah akan menggerakkan tentera bagi menyelesaikan secara tuntas masalah Muslim Rohingya dan Muslim lainnya yang dizalimi oleh kuffar selama ini. Kewajipan kita sekarang ialah untuk menegakkannya dan haram untuk berdiam diri.
Umar Hussein
Pimpinan Pusat
Hizbut Tahrir Malaysia