Kekeliruan Melampau : Didik rakyat urus kewangan menerusi khutbah Jumaat
“Setakat ini, AKPK sudah bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) secara menyediakan teks khutbah mengenai pendidikan pengurusan kewangan dan sudah banyak disediakan untuk badan berkenaan, namun hanya dua saja digunakan iaitu di Masjid Putrajaya dan sebuah masjid di Kuala Lumpur.
“Ikhtiar seperti ini juga dirancang dilaksanakan di Kelantan, mungkin tahun depan secara kerjasama dengan JHEAIK melalui penyediaan teks khutbah mengenai pengurusan kewangan,” katanya pada majlis pelancaran pejabat cawangan AKPK Kota Bharu, dekat sini, semalam.
Hadir sama ialah Pengerusi AKPK, Datuk Mohd Haniff Sher Mohamed dan Ketua Daerah Kelantan (AKPK), Mohd Rizauddin Noor.
Mohamed Akwal berkata, perkhidmatan untuk pelanggan di Kelantan bermula dua tahun lalu melalui pejabat AKPK di Terengganu sebelum membuka perkhidmatan di sebuah bank di Kota Bharu dan pejabat cawangan semalam.
Sumber: berita harian online 25/11/09
Kembalilah Kepada Penyelesaian Islam
Dalam suasana ekonomi yang tidak menentu ketika ini, maka muncullah pelbagai badan dan agensi yang menunjukkan keprihatinan untuk membela nasib rakyat yang makin merana. Tidak ketinggalan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang diberitakan ini, mengambil langkah yang “hebat” dengan usaha untuk memperluaskan program mendidik rakyat Malaysia bagi mengamalkan pengurusan kewangan secara berhemat sebagai budaya hidup melalui khutbah Jumaat.
Sekali diperhatikan pada usaha ini memang dirasakan “hebat”, tapi jika diperhatikan sekali lagi dengan pemerhatian yang lebih jernih(mustanir) akan timbul pelbagai persoalan. Apakah keadaan ekonomi akan kembali stabil hanya dengan pengurusan kewangan secara berhemat oleh rakyat? Bagaimana pula dengan para pemimpin kepada rakyat tersebut? Tidak perlukah para pemimpin tersebut diperingatkan dengan pengurusan kewangan yang betul sedangkan mereka bertanggungjawab ke atas sebahagian besar kekayaan di Malaysia? Dan yang paling utama, adakah sistem ekonomi kapitalis yang diterapkan di seluruh dunia kini (termasuk Malaysia) adalah satu sistem yang sempurna sehinggakan jika ada masalah ekonomi semuanya adalah kerana salah manusia yang menguruskannya. Sesungguhnya manusia yang berfahaman demikian sudah ditipu hidup-hidup oleh fahaman sekular yang ditanam oleh penjajah kuffar.
Ketahuilah wahai saudaraku, bahawa segala masalah yang melanda umat Islam kini adalah kerana tidak diterapkan syari’at Islam dalam kehidupan. Kehidupan individu muslim yang dijaga rapi dengan akhlak yang mulia, makanan yang dijamin halal dan pakaian yang menutup aurat sememangnya telah disempurnakan oleh sebahagian besar umat Islam. Namun, kehidupan bermasyarakat dan bernegara yang dituntut sama oleh Allah akan kewajipannya, tidak diendahkan oleh ramai umat Islam hari ini. Realitinya, sudah menjadi kebiasaan masyarakat/umat Islam untuk mengabaikan dakwah, tugas untuk mengajak yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar diserahkan pada golongan agama. Pemimpin negara juga sudah biasa menerapkan hukum kufur sekular yang diwarisi dari penjajah sehingga rakyat pun sudah lali dengan kehidupan ini. Hakikatnya jelas, dalam mencari penyelesaian kepada masalah sosial, pendidikan dan ekonomi, rakyat yang teracun dengan pemikiran sekular tidak mampu untuk mencari penyelesaian yang benar dari Islam. Sampai bilakah keadaan ini akan berterusan? Ubahlah keadaan ini wahai saudaraku, kerana kuasa untuk mengubahnya ada di tangan anda.
Kembalilah kepada Islam. Berusahalah dalam menegakkan Islam seperti mana yang ditunjukkan oleh Rasulullah semoga kita semua mendapat rahmat dariNya.