Keluar fatwa tanpa ilmu berdosa, bagaimana dengan fatwa fitnah?
Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman menegaskan orang Islam adalah berdosa sekiranya bertindak mengeluarkan sebarang fatwa tanpa ilmu [Sinar Harian, 4/1/2017]. Beliau mengeluarkan kenyataan demikian ekoran kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed yang mendakwa ibadah haji menggunakan wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tidak akan mendapat haji mabrur. Mahathir berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah di Alor Setar, Kedah.
Mufti Pahang itu turut menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah “perkara yang boleh mendatangkan fitnah dan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat”. Di samping itu, beliau turut memberi penekanan supaya sebarang hukum dan fawa hendaklah diambil daripada sumber yang betul seperti Jabatan Mufti dan Majlis Agama Islam.
Dalam konteks pengeluaran sesuatu fatwa, kita sewajarnya mengetahui bahawa:
1 – Fatwa yang keluar dari sumber rasmi pemerintah sekalipun tidak semestinya bertepatan dengan hukum syarak, malah mungkin lebih banyak mengandungi kesilapan, kerana pihak yang mengeluarkan fatwa merupakan pihak yang dibayar gaji oleh pemerintah, yang sudah tentu tidak akan berani mengeluarkan fatwa yang tidak disukai oleh majikannya. Realiti sungguh jelas apabila beberapa fatwa tertentu yang dikeluarkan di negara ini sentiasa seiring dengan tindakan kerajaan.
2 – Fatwa yang dikeluarkan tidak seharusnya berdasarkan kepentingan tertentu, tetapi untuk kepentingan umat Islam seluruhnya, agar melakukan sesuatu amalan dengan betul berdasarkan hukum syarak yang paling kuat nas-nasnya. Siapa pun, baik mufti, jawatankuasa fatwa, majlis agama, ulama mahupun individu yang ingin mengeluarkan fatwa, ia tidak sepatutnya bersifat selektif, dengan hanya mengeluarkan fatwa-fatwa tertentu sahaja, apatah lagi fatwa untuk menjatuhkan pihak lain atau untuk mempertahankan keharaman yang dilakukan oleh penguasa. Lebih buruk jika fatwa dikeluarkan hanya mengikut kehendak dan telunjuk penguasa demi kepentingan mereka, sehinggakan fatwa-fatwa berkenaan haramnya pemerintahan sekular, haramnya penerapan undang-undang selain Islam, haramnya kewujudan premis judi dan aktiviti perjudian ‘berlesen’, haramnya sistem perbankan ribawi, saham, insurans dan lain-lain tidak dikeluarkan;
3 – Ketepatan fatwa bergantung sepenuhnya kepada pemahaman nas-nas syarak dan ketepatan fakta. Jika seseorang tidak memahamai atau menguasai nas dan fakta dengan baik, maka sudah pasti fatwa yang dikeluarkan tertakluk kepada kesalahan. Jika seseorang itu memang berilmu sekalipun, namun tiada siapa pun dapat menafikan kelalaian, kemalasan, kelemahan, kesalahan dan kesilapan manusia dalam melakukan kajian fakta. Di sinilah boleh terjadinya kesalahan dalam fatwa. Dalam konteks ini, kita yakin tidak semua mufti mempunyai ciri-ciri ini.
4 – Sesuatu fatwa yang dikeluarkan, walau oleh mufti sekalipun, bukanlah semestinya betul secara mutlak. Dalam mengeluarkan ijtihad sekalipun, seseorang mujtahid (yang jauh lebih berilmu daripada mufti) pun boleh melakukan kesilapan, apatah lagi seorang mufti atau ulama. Cuma bezanya, jika mujtahid yang tersilap dalam ijtihadnya, ia tetap mendapat satu pahala, namun hal ini tidak berlaku kepada mufti atau Muslim yang bukan mujtahid.
5 – Mufti atau mana-mana jawatankuasa fatwa di negara ini bukanlah maksum sehinggakan semua fatwa yang mereka keluarkan itu adalah sentiasa betul dan wajib dipatuhi semuanya. Mereka bukanlah maksum sehingga langsung tidak melakukan kesalahan atau tidak boleh dimuhasabah. Mereka juga tidak seharusnya sombong dengan pangkat dan ilmu yang ada sehingga tidak boleh menerima teguran dan merasa mereka betul dalam setiap tindakan. Mereka adalah pihak yang sepatutnya paling takutkan Allah kerana fatwa yang mereka keluarkan itu boleh jadi menghalalkan apa yang Allah haramkan dan mengharamkan apa yang Allah halalkan. Mereka juga sepatutnya menjadi pihak yang sentiasa berlapang dada untuk menerima teguran dan terus memperbaiki apa jua kesalahan dalam fatwa yang dikeluarkan setlah terbukti fatwa tersebut salah.
Jika pihak mufti menegaskan bahawa berdosa hukumnya mengeluarkan fatwa tanpa ilmu, pihak mufti seharusnya lebih tahu bahawa lebih besar dosanya apabila mengeluarkan fatwa berupa fitnah, pembohongan, pendustaan dan kekeliruan ke atas pihak lain, sebagaimana fatwa yang sarat dengan fitnah yang dikeluarkan ke atas Hizbut Tahrir. Walaupun setelah dijawab dan ditegur akan kesalahan fatwa tersebut, namun fitnah ke atas Hizbut Tahrir tetap diteruskan, malah disebarluaskan dengan lebih besar lagi. Seandainya mereka menarik balik dan memohon maaf di atas segala fitnah dan pendustaan tersebut, alangkah mulianya tindakan ini di sisi Allah dan mereka tidak rugi sedikitpun di dunia apatah lagi di akhirat.
Setiap Muslim wajib menggunakan ilmu yang diberi Allah kepadanya untuk kebaikan dan untuk menambah keimanannya kepada Allah dan sentiasa menjadi orang yang bersyurkur dan takutkan Allah, bukannya orang yang sombong lagi takbur. Allah SWT mengingatkan kita semua di dalam kitab suciNya,
“Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), berita orang yang telah Kami berikan kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia melepaskan diri daripada ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang-orang yang sesat. Dan kalau Kami menghendaki, sesungguhnya Kami tinggikan (darjat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka perumpamaanya adalah seperti anjing, jika kamu menghalaunya, dihulurkannya lidahnya, dan jika kamu membiarkannya, dia menghulurkan lidahnya (juga). Demikianlah itu perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir” [TMQ al-A’raf (7):175-176].
Wallahua’lam.