Kembara Dakwah Borneo 2016 – Siri 2

q-kabo16-1Hari kedua Kembara Dakwah Borneo 2016 (KABO16) dimulai dengan aktiviti solat sunat Idul Adha bersama penduduk salah sebuah kampung air yang terdapat di Sandakan. Kebanyakan penduduk kampung air ini memang tidak terbela nasib mereka dan hidup dalam keadaan serba daif. Jambatan yang menjadi jalan penghubung dari rumah ke rumah juga sungguh daif dan menakutkan bagi sesiapa yang tidak biasa.

Kefahaman Islam penduduk kampung juga sangat rendah kerana kurangnya kesedaran dan usaha dakwah di sini. Menurut beberapa orang pemuda kampung, kepercayaan khurafat dah tahyul masih banyak lagi diamalkan, khususnya oleh golongan tua. “Saya sungguh sedih melihat keadaan ini, tetapi kami sedang berusaha untuk mendakwahi mereka”, keluh salah seorang pemuda yang sedar dan mahukan perubahan di kampung tersebut.

Jabatan agama pula langsung tidak serius menangani masalah ini dan lebih berminat memburu penceramah yang tidak bertauliah. Judi secara kecil-kecilan juga boleh dilihat dengan mudah. Pihak polis pula lebih berminat memburu mereka yang tidak memiliki IC, walaupun hakikatnya mereka telah bergenerasi tinggal di situ. Alhamdulillah terdapat sebilangan pemuda kampung yang sedang giat berusaha memperbaiki kefahaman karut dan kemaksiatan yang berlaku, setelah mereka mula belajar Islam daripada Hizbut Tahrir.

Peserta KABO16 bergerak awal dari tempat penginapan ke tempat solat kerana ingin bertakbir raya bersama penduduk kampung. Masjid dan surau kecil di kampung tersebut dipenuhi dengan ahli kariah yang ingin menunaikan solat sunat Idul Adha. Selesai solat, para peserta mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan jamaah yang hadir, di samping mengedarkan risalah dakwah yang menjadi tema kembara, “Ummatan Wahidah Hanya Terwujud Di Bawah Khilafah”. Kehadiran peserta kembara di masjid dan surau kampung tersebut disambut dengan gembira oleh ahli jawatankuasa masjid dan juga kariah di situ.

Setelah itu, peserta KABO16 bersama-sama dengan penduduk kampung melakukan ibadah korban sebagaimana telah dirancang sebelumnya. Sebanyak 3 ekor lembu ditumbangkan dan dagingnya diagih-agihkan kepada lebih kurang 200 keluarga yang merupakan penduduk daif di kampung tersebut. Peserta kembara juga turut melayan anak-anak kecil di tempat penyembelihan sempena Idul Adha dengan memberikan mereka pelbagai jenis makanan ringan bagi menggembirakan mereka sempena hari raya. Rata-rata penduduk kampung sangat gembira dengan usaha ini, apatah lagi korban lembu yang diadakan di kampung tersebut merupakan yang pertama seumpamanya diadakan di situ.

Melihat kepada keadaan kampung dan kefahaman Islam yang sungguh daif dalam kalangan penduduknya, betapa besarnya dosa pemerintah yang terus membiarkan hal ini berlaku. Manakala dalam masa yang sama, pihak berkuasa agama pula tidak bersungguh-sungguh menyampaikan Islam kepada mereka, tetapi asyik sibuk memantau dan menghalang usaha dakwah yang dilakukan oleh pihak yang tidak mereka senangi.

Semoga sedikit sentuhan dakwah dari peserta KABO16 di kampung air tersebut akan terus membakar semangat para pemuda yang telah pun mula memperjuangkan Islam di kampung tersebut dan akan lahirlah para pejuang agama Allah yang ikhlas dari penjuru bumi di bawah bayu itu.

Bersambung..