Kembara Dakwah Borneo 2016 – Siri 3
Tepat jam 7 pagi 13/09/2016, semua peserta Kembara Dakwah Borneo 2016 (KABO16) telah sedia untuk bergerak. Sebanyak 6 buah kenderaan telah pun siap diisi dengan barangan keperluan dan sedia untuk memulakan perjalanan sejauh lebih kurang 1500 kilometer merentasi Sabah dalam rangka menyebarkan mesej bahawa umat Islam adalah umat yang satu dan wajib bergabung di bawah negara yang satu.
Kesemua peserta kelihatan teruja untuk memulakan kembara yang julung kalinya mengelilingi negeri di bawah bayu ini. Sebelum menaiki kenderaan masing-masing, para peserta berkumpul untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT agar melindungi, memudahkan dan memberkati perjalanan dakwah di jalanNya ini. Ust Syahril Anuar memimpin doa untuk lebih 40 peserta.
Lebih kurang jam 7.15 pagi, keenam-enam kenderaan KABO16 mula menyusur dari tempat penginapan membawa para pejuang agama Allah, ke destinasi-destinasi yang telah dirancang. Matahari yang mula meninggi menjadi saksi bahawa perjalanan tersebut hanyalah semata-mata untuk meninggikan agama Allah SWT.
Destinasi pertama kembara ialah Pekan Kota Kinabatangan yang terletak lebih kurang 85 kilometer dari Sandakan. Semua peserta memulakan perjalanan untuk Allah dan RasulNya dengan cukup ceria dan penuh bersemangat, walaupun dalam keadaan mengetahui cabaran-cabaran yang bakal dihadapi khususnya daripada pihak keselamatan. Dakwah wajib diteruskan walau sebesar mana sekalipun ujiannya. Para peserta meletakkan tawakal kepada Allah SWT, kerana di tanganNyalah terletak segala ketentuan.
Setiap kenderaan dibekalkan walkie-talkie bagi memudahkan komunikasi sepanjang perjalanan. Taklimat dan celoteh berselang-seli daripada para peserta di setiap kenderaan melalui walkie-talkie masing-masing, yang memeriahkan lagi suasana. Kereta di hadapan sekali membawa road captain yang mahir dengan selok-belok jalan di Sabah.
Setelah berjalan lebih kurang sejam setengah, kenderaan KABO16 tiba ke destinasi pertama – Kinabatangan. Di sini para peserta bersarapan dan melakukan edaran risalah “Ummatan Wahidah Hanya Terwujud Di Bawah Khilafah”. Sebaik sahaja duduk di restoran untuk memesan sarapan, sebuah kereta peronda terus tiba.
Para peserta yang memang sudah menjangkakan hal itu meneruskan sarapan dan sebahagian lagi melakukan sebaran. Anggota polis yang turun dari kereta peronda dan bersarapan di restoran yang sama turut diberikan sehelai risalah. Walaupun pada awalnya orang ramai kelihatan terpinga-pinga dengan kehadiran para peserta yang lengkap berseragam dengan vest khas, namun persoalan mereka kemudiannya terjawab apabila para peserta memperkenalkan diri serta menjelaskan objektif kembara.
Interaksi para syabab Hizbut Tahrir dengan penduduk setempat disambut dengan baik, walaupun ramai yang masih dalam keadaan tertanya-tanya. Mesej bahawa umat Islam adalah umat yang satu dan kita semua wajib bersatu di bawah Khilafah mula tersebar di pekan kecil ini.
Setelah 20 minit bersarapan dan melakukan edaran, peserta KABO16 kembali ke kenderaan masing-masing untuk meneruskan perjalanan. Ujian pertama bermula apabila kunci salah sebuah van tertinggal di tempat switch dan van terkunci dari dalam. Pelbagai usaha dilakukan untuk membuka pintu namun gagal. Keputusan dibuat untuk meneruskan perjalanan dengan lima kenderaan dan van tersebut tinggal di situ sementara menunggu kunci pendua tiba dari Sandakan.
Sementara menunggu, kesemua penumpang van berkenaan berehat sambil minum-minum di salah sebuah restoran. Pada waktu ini, tibalah beberapa orang anggota PDRM dan terus mendekati peserta kembara, meminta kad pengenalan kesemua peserta dan mula mengambil keterangan.
Bersambung…