Kembara Dakwah Borneo (Sabah) 2016 oleh HTM
Dalam usaha menerangkan kewajipan dan peri pentingnya umat Islam bersatu di bawah Daulah Khilafah, Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan Kembara Dakwah Borneo 2016 (KABO16) dengan memfokuskan beberapa lokasi terpilih di Sabah sebagai sasaran dakwah.
Kembara dakwah yang berlangsung selama seminggu itu bermula di Sandakan pada 11/09/2016 iaitu sehari sebelum Hari Raya Idul Adha dan berakhir pada 17/09/2016. Ia disertai oleh hampir 50 peserta yang menggabungkan syabab (pemuda) HTM dari Semenanjung dan juga dari Sabah sendiri.
Sebanyak 8 bandar utama di negeri di bawah bayu itu yang dilalui dalam kembara kali ini dan sebanyak 10,000 nasyrah bertajuk “Ummatan Wahidah Hanya Terwujud Di Bawah Khilafah” beserta 10,000 nasyrah mengenai Hizbut Tahrir disebarkan oleh para peserta di sepanjang kembara.
KABO16 telah melalui liku-liku perjalanan sejauh lebih kurang 1500 kilometer dan berinteraksi dengan ribuan penduduk Sabah dalam rangka menerangkan kewajipan bersatu di bawah negara yang satu (Khilafah) dan kewajipan mempunyai seorang pemimpin (Khalifah) dan haram bagi umat Islam berpecah-belah kepada lebih 50 buah negara-bangsa seperti sekarang.
Di samping kemanisan dalam perjuangan menyampaikan kebenaran, sudah menjadi lumrah bagi para pengembang dakwah diuji oleh Allah dengan pelbagai ujian. Begitulah juga dengan apa yang dihadapi oleh para peserta KABO16. Di setiap lokasi sepanjang kembara, para peserta telah diekori dan ada yang ditahan oleh pihak berkuasa, termasuk dari Cawangan Khas (SB) PDRM. Namun, usaha dakwah tetap diteruskan, walaupun sungguh dikesali kerana kebanyakan anggota Cawangan Khas yang menahan peserta kembara juga adalah beragama Islam.
Semasa peserta KABO16 melalui bandar Tawau, Jurucakap HTM, Ustaz Abdul Hakim Othman yang turut serta dalam kembara, telah ditahan oleh sepasukan anggota Cawangan Khas (SB) Tawau dan kemudian diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk dihantar pulang kerana tidak dibenarkan memasuki Sabah atas arahan Jabatan Ketua Menteri. Bagaimanapun, para peserta yang lain tetap meneruskan perjalanan sehingga ke penghujung.
Kembara berakhir pada hari Jumaat malam setelah kesemua peserta tiba semula ke Sandakan. Alhamdulillah, setelah genap 7 hari perjalanan, para peserta kembali ke destinasi masing-masing dengan semangat dan keazaman yang lebih tinggi lagi untuk melanjutkan usaha-usaha dakwah sehingga terealisasinya penyatuan umat Islam dengan tegaknya syariah dan Khilafah di bumi Allah ini.
Laporan seterusnya akan menyusul…