Kemelut di Arakan yang Berpanjangan – Punca dan Penyelesaiannya
Krisis pelarian Rohingya mula tenat pada tahun 2012 dan keganasan terbaru kali ini benar-benar telah mendapat tempat di mata dunia. Saban hari kita ‘dihidangkan’ dengan berita, gambar dan video di media massa dan media sosial mengenai kesengsaraan yang dihadapi oleh Muslim Rohingya sehingga menyebabkan pelbagai pihak mula menyuarakan kebimbangan mereka. Serangan ke atas beberapa pos kawalan di Arakan yang dilakukan oleh kumpulan bersenjata Rohingya dijadikan alasan rejim Myanmar melakukan operasi ketenteraan besar-besaran pembantaian terhadap kaum Muslimin Rohingya. Hakikatnya, sejak dari dahulu lagi, rejim Myanmar telahpun menzalimi Muslim Rohingya.
Arakan Wilayah Islam
Rejim Myanmar mahu dunia mempercayai bahawa etnik Rohingya adalah pendatang dari Bangladesh sejak 50-70 tahun lalu. Namun catatan sejarah menunjukkan Islam telah berkembang dengan pesatnya di India dan mula memasuki wilayah Arakan. sejak abad ke 8 M semasa pemerintahan Khalifah Harun ar-Rashid. Penaklukan Raja Buddha dari wilayah Burma pada tahun 1784 yang mengakhiri pemerintahan Islam di Arakan menyebabkan ramai penduduk Muslim Rohingya melarikan diri ke wilayah Bengal untuk mendapatkan perlindungan daripada penindasan pemerintahan Raja Burman.
Semasa penjajahan British, wilayah Burma dimasukkan ke dalam pentadbiran British India. Pada 1937, British memisahkan wilayah Arakan dan Burma dari British India lalu menggabungkan kedua-duanya wilayah tersebut sebagai British Burma. Berlaku perpindahan penduduk dari India ke wilayah Arakan semasa pemerintahan British. Fakta ini digunakan oleh nasionalis Burma untuk mengatakan bahawa orang Rohingya merupakan pendatang yang dibawa masuk semasa pemerintahan British. Kemerdekaan Burma pada tahun 1948 menyaksikan British menyerahkan wilayah Arakan kepada Burma.
Pada 1962 Jeneral Ne Win mengetuai tentera melakukan kudeta tanpa mandat rakyat. Bagi mendapatkan sokongan daripada rakyat maka etnik Rohingya dijadikan sebagai common enemy yang harus diperangi bersama majoriti rakyat beragama Buddha demi mengalihkan perhatian rakyat daripada keditaktoran junta tentera.
Sejak itu pelbagai episod kekejaman dan penindasan ke atas Muslim Rohingya memuncak bermula dari pelucutan kewarganegaraan etnik Rohingya, penafian hak asasi manusia, kekejaman dan engusiran sehingga lebih sejuta orang Rohingya menjadi pelarian dan mangsa pemerdagangan manusia.
Kepentingan Strategik Wilayah Arakan
Pertanian merupakan sumber pendapatan utama Myanmar, meliputi 32% daripada KDNK negara tersebut dan Muslim Rohingya adalah antara yang banyak bergiat dalam sektor pertanian. Namun, hanya 25% daripadanya memiliki geran tanah yang sah. Kepentingan Arakan kepada ekonomi Myanmar juga semakin signifikan dengan penemuan lapangan gas Shwe di pesisir pantai Arakan pada 2004 yang merupakan lapangan gas asli terbesar di Asia Tenggara. Lapangan ini menghasilkan 500 juta kubik gas sehari, 80% daripadanya dieksport ke China. Namun Arakan masih merupakan negeri termiskin di Myanmar. [Sumber: Arakan Oil Watch, February 2016]
Dalam pada itu, junta tentera juga merampas tanah Muslim Rohingya tanpa memberikan pampasan untuk dijual kepada para pelabur luar, khasnya dari China. Rampasan tanah ini semakin berleluasa apabila semakin ramai pelabur asing melabur berikutan kelonggaran sekatan ekonomi sejak 2012. Antara 2010 hingga 2013, keluasan tanah yang diperuntukkan untuk projek-projek mega telah meningkat sebanyak 170%. Peningkatan ini sejajar dengan penggubalan undang-undang pemilikan tanah pada tahun 2012 bagi memudahkan pemilikan tanah oleh syarikat-syarikat korporat. Undang-undang pelaburan asing yang baru juga membenarkan pemilikan syarikat asing 100% dan tempoh pajakan tanah sehingga 70 tahun. [Sumber: Online Burma Library]
Tidak dapat dinafikan bahawa berkemungkinan pengusiran Muslim di Arakan ini bermotifkan kepentingan ekonomi jeneral tentera Myanmar. Pada tahun 2016, Myanmar telah memperuntukkan 1.2 juta hektar tanah di Arakan untuk pembangunan luar bandar korporat. Sebuah peningkatan yang sangat mendadak berbanding hanya 7,000 hektar sahaja pada tahun 2012 [Sumber: The Guardian, 4/1/2017].
Agenda Kuasa-kuasa Besar dan Serantau
British – Setelah Myanmar mengamalkan dasar luar yang lebih terbuka, British berusaha mengembalikan pengaruhnya ke atas negara tersebut. Eksport British ke Myanmar meningkat sehingga 239% antara 2012 dan 2013. Baru-baru ini lesen penggalian sumber tenaga di dalam dan luar pesisir telah dianugerahkan kepada syarikat-syarikat British. Malah British juga dilaporkan telah melatih pasukan tentera dan polis Myanmar yang kini menzalimi Muslim Rohingya.
China merupakan sekutu rapat Myanmar yang sentiasa menyokongnya sejak sekian lama. China melihat Myanmar sebagai sebuah negara yang boleh dimanfaatkan bagi mendapatkan sumber alam, pelaburan dan akses kepada pelabuhan-pelabuhan dan dataran strategik. China juga menyebelahi Myanmar dengan menyekat pernyataan Majlis Keselamatan PBB berhubung isu Rohingya pada Mac 2017. Pembinaan saluran paip gas sepanjang 1,000 km di bawah Projek Gas Shwe yang mula beroperasi pada 2013 telah menyebabkan penduduk Arakan kehilangan tanah tanpa pampasan, di samping banyak kawasan tangkapan ikan yang terjejas kerananya. Saluran paip ini hanyalah memberi manfaat kepada kerajaan China dan Myanmar atas penderitaan penduduk Arakan.
Amerika Syarikat memainkan peranan penting dalam membawa Myanmar keluar daripada kepompongnya. Seperti British, AS berdiam diri terhadap isu penindasan ke atas Muslim Rohingya. Sebaliknya AS hanya mahukan Myanmar melakukan reformasi politik dan ekonomi sahaja. AS di satu sisi ingin mengekang pengaruh China dalam agendanya “Pivot to Asia” dan di sisi yang lain mahu mengekploitasi sumber ekonomi yang belum lagi dimanfaatkan. Berikutan kelonggaran sekatan pada 2012, perdagangan antara AS dan Myanmar telah bertambah walaupun dalam jumlah yang kecil.
India – Kunci utama dasar luar negara India di rantau ini adalah untuk bersaing dengan China sebagai kuasa ekonomi. Di Arakan, India membantu Myanmar membina pelabuhan dengan tujuan pengangkutan dan perdagangan yang memberikan impak negatif terhadap persekitaran dan kehidupan Muslim Rohingya. Perdagangan dua hala juga meningkat daripada 12.4 juta (1980) kepada 2.18 bilion Dolar (2013). Demi menjaga kepentingan pelaburan, India tidak sedikitpun mempedulikan penindasan yang menimpa Muslim Rohingya.
Situasi Muslim Rohingya menjadi bertambah kompleks ekoran peranan pemain-pemain serantau dan antarabangsa yang sedang mengejar kepentingan mereka di Myanmar. Demikianlah nasib yang menimpa Muslim Rohingya yang terperangkap dalam percaturan politik negara-negara seperti China, AS, British dan India.
Kegagalan Dunia Menangani Krisis Rohingya
Penderitaan umat Islam Rohingya yang ditindas sejak sekian lama merupakan antara bukti yang nyata sikap hipokrasi AS serta badan seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan ASEAN dalam menjaga keamanan sejagat. Hanya selepas desakan berterusan dari masyarakat dunia barulah kita melihat beberapa pemimpin negara mula menghantar bantuan kemanusiaan, itupun hanya kepada mangsa di kem-kem pelarian semata-mata. Adakah sudah tiada jalan penyelesaian tuntas?
Dalam hal ini pujian seharusnya diberikan kepada pelbagai NGO yang gigih berusaha memberi bantuan kemanusiaan kepada pelarian Rohingya meskipun dengan sumber yang terhad. Malangnya terdapat segelintir umat Islam memberikan reaksi negatif yang penuh emosi dan tidak matang akibat terperangkap dengan sentimen assobiyyah.
Khilafah Solusi Tuntas
Umumnya, seluruh negara umat Islam mempunyai polisi untuk tidak campur tangan urusan negara lain. Ini merupakan manifestasi semangat negara bangsa (assabiyyah) yang lebih tinggi berbanding persaudaraan Islam. Baginda SAW bersabda:
“Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada assabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang berperang atas dasar assabiyyah dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati kerana assabiyyah” [HR Abu Dawud].
Antara maqasid asy-syariah (manifestasi hukum Islam) ialah menjaga nyawa dan agama sehingga darah seorang Muslim haram untuk ditumpahkan tanpa hak. Rasulullah SAW bersabda:
“Hancurnya dunia lebih ringan di sisi Allah dibandingkan terbunuhnya seorang Muslim,” [HR an-Nasa’i, at-Tarmizi].
Kuasa penjajah telah berjaya merobek persaudaraan umat Islam sejak jatuhnya Khilafah Islamiyah pada 3 Mac 1924 dengan hadiah ‘kemerdekaan’ yang menyuburkan semangat assabiyyah di bawah slogan negara bangsa. Akibatnya umat Islam menjadi lemah dan tiada seoranag pun penguasa umat Islam yang sanggup menggalas tanggungjawab melancarkan jihad untuk menyelamatkan Muslim Rohingya sebagaimana firman-Nya:
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas” [TMQ al-Baqarah (2): 190].
Banyak pihak yang telah tampil menyuarakan pelbagai penyelesaian terhadap krisis kemanusiaan yang menimpa Muslim Rohingya. Namun apa yang jelas adalah, tiada tindakan menyeluruh diambil oleh mana-mana institusi kenegaraan dalam isu ini, kesemua penyelesaian yang ditawarkan tidak menjurus kepada penyelesaian isu sebenar dan punca timbulnya krisis ini. Bantuan kemanusiaan mungkin dapat menyelesaikan masalah mangsa yang ditimpa kesusahan, namun selagi pemangsa masih dibiarkan, masalah ini tidak akan pernah selesai.
Oleh itu, penyelesaian sebenar kepada maslaah dan krisis ini adalah para pemerintah umat Islam khususnya di rantau ini perlu segera menghantar operasi ketenteraan ke Myanmar untuk menghentikan kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam Rohingya yang melampaui norma dan batas kemanusiaan. Inilah solusi jangka pendek bagi menyelamatkan umat Islam Rohingya.
Malah usaha jangka panjang perlu turut sama dilaksanakan bagi membebaskan mereka daripada kekejaman tentera Myanmar. Sesungguhnya tidak ada jalan lain untuk menyelesaikan masalah Rohingya kecuali dengan menyeru umat Islam untuk berusaha mendirikan semula Khilafah. Hanya Khilafah berpandukan Manhaj Kenabian sahaja yang mempunyai keazaman politik (political will) dan mampu melakukan pembelaan ke atas umat Islam sebagaimana yang telah terbukti dalam lipatan sejarah.