Seminar “Krisis Rohingya” kupas realiti dan solusi di Arakan

KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Dalam rangka memberi kesedaran yang berterusan kepada umat Islam, Khilafah Centre (KC) dengan kerjasama Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) telah menganjurkan seminar “Derita Rohingya: Kita Mampu Bertindak!” di KC Kuala Lumpur bagi membincangkan sejarah, perkembangan terkini, dan solusi tuntas terhadap krisis umat Islam di Arakan itu.

Sekitar 50 orang peserta yang termasuk antaranya wakil daripada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan aktivis Rohingya telah hadir bagi mendengar, berkongsi dan memberi saranan dalam mencari jalan keluar atas krisis yang melanda Muslim Rohingya. Antara wakil NGO yang hadir termasuklah Dr. Helmi Ibrahim dari ASEAN Rohingya Centre (ARC).

Seminar yang bermula dari jam 10.00 pagi itu membariskan dua orang pembentang iaitu Dr. Muhammad Abu al-‘Ain selaku Ketua Lajnah Tsaqafiyyah HTM dan Sdr. Khairul Effendy.

Dalam seminar tersebut, umat Islam diseru agar keluar dari kerangka negara bangsa dan kebergantungan terhadap badan-badan serantau seperti ASEAN, atau badan dunia seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam menanggapi kemelut di Arakan. Hadirin juga diperlihatkan hakikat kegagalan badan-badan tersebut dalam menangani krisis yang menimpa Muslim Rohingya.

Wakil NGO dan aktivis Rohingya juga telah diberi ruang untuk berkongsi pengalaman peribadi dan penglibatan mereka dalam krisis ini. Dalam sesi tersebut, Dr. Helmi mendedahkan rencana jahat junta Myanmar mencanangkan naratif keganasan dan usaha pemisahan oleh ARSA (Arakan Rohingya Salvation Army) yang ingin mewujudkan negara Islam di Arakan. Tujuan penyebaran naratif tersebut tidak lain kecuali untuk meraih sokongan daripada dunia Barat khasnya dan untuk menjustifikasi tindakan ketenteraan oleh junta.

Sementara itu, salah seorang aktivis Rohingya yang hadir menegaskan bahawa bantuan kemanusiaan yang dihantar oleh negara umat Islam selama ini kebanyakannya tidak sampai kepada komuniti Muslim Rohingya yang masih terkepung di Arakan. Bahkan tentera rejim turut mengaut manfaat terhadap bantuan yang dihantar dengan mengenakan cukai serta mengambil sebahagian daripadanya untuk dijual.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa bantuan kemanusiaan bukanlah solusi tuntas kepada krisis Rohingya, meskipun boleh membantu meringankan beban yang melanda Muslim Rohingya. HTM menjelaskan bahawa di samping mengambil langkah bagi membantu mangsa (Muslim Rohingya), kebiadaban pemangsa (junta Myanmar) wajib “diajar” bagi menamatkan penindasan yang dilakukan. HTM menegaskan bahawa solusi tuntas hanya akan dapat dicapai dengan bergeraknya tentera ke wilayah bergolak tersebut.

Hizbut Tahrir yang kini sedang aktif bergerak di lebih 40 buah negara, berjuang siang dan malam untuk menegakkan kembali negara Khilafah, sebuah institusi politik agung umat Islam yang tatkala ia berdiri sedikit masa lagi, pasti akan menggerakkan para tentera bukan sahaja ke Arakan bahkan ke seluruh wilayah di mana umat Islam sedang dizalimi oleh pihak kuffar seperti di Gaza, Afrika Tengah, Selatan Thai, Xinjiang dan lain-lain.