Kemelut pelantikan KHN: Individu vs Sistem

Buletin HTM – Krisis pelantikan Ketua Hakim Negara (KHN) yang berlarutan sejak persaraan Tengku Maimun Tuan Mat telah mencetuskan pelbagai isu dan persoalan mengenai integriti dan kebebasan badan kehakiman negara. Kekosongan yang masih belum diisi sehingga kini telah membuka ruang kepada pelbagai spekulasi, selain kekecohan dan kemunculan pihak yang menanggung di air keruh.

Dalam siaran langsung “Kupas Tuntas bersama Jurucakap HTM” pada Jumaat 11/07/2025, Ustaz Abdul Hakim Othman menjelaskan bahawa isu sebenar bukan terletak pada “jawatan” KHN, tetapi pada “sistem” pemerintahan dan kehakiman itu sendiri. Beliau menegaskan bahawa baik KHN mahupun badan kehakiman, ia hanyalah pelaksana kepada sistem demokrasi, perlembagaan dan undang-undang sekular yang diterapkan.

Walaupun hakim itu mungkin merupakan seorang Muslim yang soleh/solehah dan berintegriti sekali pun, menurut beliau, apabila hakim itu bertugas dalam sistem yang memisahkan agama dari kehidupan (sekularisme), maka tidak akan ada kebaikan di dalamnya kerana dia akan menjalankan perbicaraan dan memutuskan kes bukan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah.

Kupasan Abdul Hakim turut membongkar mitos kebebasan badan kehakiman dalam sistem demokrasi. Prinsip pemisahan kuasa kepada tiga badan atau dikenali sebagai trias politica yang sering dijaja sebagai tunjang demokrasi, dibuktikan oleh Jurucakap HTM itu sebagai ilusi dan pembohongan semata-mata. Tegas beliau, Islam tidak pernah mengenal konsep trias politica, sebuah konsep yang jelas lagi nyata berasal dari kafir Barat dan menyalahi Islam.

Abdul Hakim menegaskan bahawa di Malaysia, berdasarkan Perkara 122B perlembagaan persekutuan, yang memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk menasihati Yang Dipertuan Agong (YDPA) dalam melantik KHN dan kesemua hakim mahkamah atasan, ini merupakan bentuk “campur tangan” secara langsung eksekutif ke atas kehakiman.

Apabila kuasa untuk memilih dan mengesyorkan nama KHN ada pada Perdana Menteri, maka sudah barang pasti Perdana Menteri akan memilih nama-nama yang dia suka, itulah sifirnya yang cukup mudah, kata beliau.

Ustaz Hakim seterusnya menjelaskan bagaimana pelantikan ketua hakim dan kesemua hakim di dalam Islam, yang mana mereka semua dilantik oleh Khalifah. Dari segi kelayakan, ketua hakim (qadhi qudhat) dan Qadhi Madzalim hendaklah seorang lelaki dan mujtahid, manakala hakim-hakim yang lain (qadhi khusumat dan qadhi muhtasib) boleh dilantik dalam kalangan wanita mahupun lelaki tetapi wajib seorang faqih (pakar dalam hukum Islam).

Beliau seterusnya mengingatkan umat Islam agar tidak larut dalam pembahasan pelantikan KHN atau penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kerana siapa pun individu KHN yang akan dilantik nanti tidak akan berbeza dengan individu-individu KHN sebelum ini dari sudut pelaksana kepada undang-undang sekular.

Sekiranya RCI ditubuhkan dan dapat mengenal pasti penyelewengan atau pihak yang bersalah dalam isu lantikan ini sekalipun, ia tidak akan merubah situasi kepada lebih baik selagi sistem, perlembagaan dan undang-undang sekular terus menjadi teras pemerintahan negara.

“Cepat ke lambat ke lantikan dia, lelaki ke, perempuan ke…mereka semua hanyalah pelaksana undang-undang sekular dalam kerangka demokrasi. Maka, kita tidak harus tenggelam dalam kemelut ini seolah-olah ia perkara mendasar. Perkara mendasar adalah sistem itu sendiri yang telah batil sejak awal, kita perlu tukar sistemnya, bukan individu yang menerajui kehakiman semata-mata” ujar Ust Hakim.

Beliau mengakhiri kupasan dengan memetik sebuah hadis mengenai kedudukan hakim di mana Rasulullah (saw) mengkategorikan hakim kepada tiga – satu kategori ke syurga dan dua lagi ke neraka. Hanya hakim yang tahu kebenaran (al-Quran dan as-Sunnah) lalu memutuskan berdasarkan kebenaran tersebut, yang akan ke syurga, manakala selainnya akan neraka.

Atas dasar itulah, ujar beliau, pentingnya sistem pemerintahan Islam ditegakkan agar hakim-hakim memutuskan berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Tanpa pemerintahan Islam, hakim yang baik sekalipun akan memutuskan dengan selain al-Quran dan as-Sunnah, yang akan meletakkan diri mereka dalam bahaya di akhirat.