Kemenangan Demokrat di AS

Terdapat segelintir umat Islam yang mungkin merasa gembira atau lega dengan kekalahan Parti Republikan di AS. Penguasaan Republikan ke atas kongres AS selama 20 tahun akhirnya sampai ke penghujung. Akhbar-akhbar di dalam dan di luar negara pula turut merancakkan lagi hal tersebut dengan melaporkan analisis daripada beberapa pakar politik tentang sebab kekalahan Republikan. Tidak lepas dari analisis tersebut adalah berkenaan dengan krisis di Timur Tengah yang menjadi duri dalam daging ke atas umat Islam.

Walaupun krisis di Timur Tengah ini telah menyemarakkan sikap anti-barat di dalam sanubari umat Islam, terutamanya terhadap Amerika Syarikat, ia juga telah mendedahkan sikap sebenar pemimpin umat Islam dan membuktikan ketidakmampuan OIC dalam menjaga maruah dan memelihara kepentingan umat Islam.

Situasi tersebut telah memberikan kesan yang tidak sihat kepada dasar luar Amerika Syarikat. Lambat laun ianya akan melemahkan cengkaman Amerika ke atas umat Islam. AS menyedari bahawa sesuatu perlu dilakukan, dan ianya mesti menunjukkan suatu perubahan berstruktur. Langkah-langkah yang akan diambil nanti mestilah mampu memberikan ilusi bahawa kerajaan yang baru itu mewakili sesuatu yang berbeza dari sebelumnya, seterusnya mampu memberi harapan dan menamatkan mimpi ngeri umat Islam.

Hakikatnya, kejayaan Parti Demokrat tidak mengimplikasikan perubahan di dalam dasar luar Amerika Syarikat kecuali dari segi pendekatan sahaja. Sejak dahulu sehingga kini, dasar luar Amerika Syarikat tidak pernah berubah. Di antara tujuan utama dasar luar Amerika adalah untuk menjamin kepentingan Amerika Syarikat di serata pelusok dunia seterusnya mengukuhkan ketamadunan yang telah mereka bina. Perlu dijelaskan bahawa Presiden Amerika diberikan kuasa yang luas melalui perlembagaan dalam mencorakkan dasar luarnya, Presiden boleh menolak resolusi yang dikeluarkan oleh kongres melalui kuasa yang diberikan kepadanya. Walaubagaimanapun, secara praktikal Presiden akan berusaha menyakinkan kongres dan berusaha membentuk persetujuan agar bersetuju dengan dasar luarnya.

Berbeza dengan dasar luar, kongres diberi lebih kuasa dalam menentukan dasar dalam negaranya. Kebiasaannya, ia akan melibatkan perubahan dalam ekonomi yang memihak kepada golongan pertengahan dengan cara meningkatkan cukai koporat. Maka hakikatnya Amerika hanya mengamalkan demokrasi ke atas rakyatnya sebaliknya bersifat autokratik ke atas yang lain.

Tidak ada sebarang perubahan yang besar pada dasar luar Amerika Syarikat ke atas negeri umat Islam kecuali dari segi pendekatan. Jika sebelumnya, pendekatan Bush langsung tidak memberi peluang kepada agen-agennya dalam setiap langkah politik akibatnya ianya menjatuhkan maruah mereka di hadapan rakyat mereka, sebaliknya mereka akan diberi ruang yang lebih untuk melaksanakan dasar dasar yang hakikatnya menjamin kepentingan Amerika Syarikat tetapi dilaksanakan dalam keadaan seolah-olah mereka menjaga kepentingan umat Islam. Sikap kepura-puraan agen-agen ini amat menjijikkan, dan sangat ketara dalam kes Syria dan Mesir.

Dalam situasi yang tidak kondusif di Timur Tengah Amerika Syarikat dengan berbesar hati memberikan ruang kepada agen-agennya untuk menonjolkan diri mereka sebagai penyelamat umat dan rakyatnya sebagaimana yang mereka nikmati semasa pemerintahan Kennedy, Carter dan Clinton. Tekanan terhadap Syria dan Iran juga akan dikurangkan, malah kedua duanya akan diberi tanggungjawab yang lebih. Iran dan Lebonan seterusnya menjadi bukti nyata tentang peranan mereka untuk menjamin kepentingan rakyat dan ummah.

Kejayaan Demokrat hakikatnya merupakan kejayaan dasar luar Amerika Syarikat dalam ertikata:
a) Dapat meredakan sikap anti-Amerika
b) Dapat memulihkan kepercayaan rakyat kepada pemimpin(agen) mereka.
c) Memberikan harapan baru tentang perjalanan politik di Timur Tengah.

Tujuan akhir dari apa yang mereka capai pastinya akan mengukuhkan kepentingan Amerika di Timur Tengah. Baik Demokrat mahupun Republikan kedua duanya seperti Pepsi dan Coca-Cola, dua entiti yang sama tetapi label yang berbeza. Setiap satunya akan menjamin kepentingan Amerika melalui dasar luarnya hanya memihak kepada Amerika malah tidak sesekali berkongsi kepentingan dengan negara manapun termasuk EU.

Sumber : mykhilafah.com