Indonesia sudah terjun ke perangkap AS, adakah Malaysia seterusnya?

Pada 13 April 2026, Indonesia telah menandatangani satu kesepakatan militer dengan Amerika Syarikat yang dinamakan Major Defense Coordination Partnership (MDCP), sebuah kesepakatan yang berlangsung di tengah-tengah perang AS-Iran. Apa yang pasti, ini bukanlah kesepakatan militer semata-mata, tetapi terdapat agenda politik yang nyata dari AS untuk terus bertahan dari kejatuhannya kesan serangannya ke atas Iran, dan serangan balas dari Iran yang ternyata di luar jangkaannya. AS sebenarnya sudah terdesak untuk mengekalkan hegemoninya yang kini semakin merudum, dan malangnya Indonesia pula menghulurkan tangan untuk menyelamatkannya!
Indonesia mungkin memberi alasan bahawa ia merupakan kesepakatan yang bersifat win-win situation, namun realitinya AS di bawah pimpinan Trump yang semakin lemah akan mendapat keuntungan berlipat kali ganda berbanding Indonesia yang dipimpin oleh penguasa yang sangat jauh dari kecerdikan dan kebijaksanaan. Tidak mungkin untuk AS menandatangani MDCP tanpa perhitungan awal politik, geopolitik, militer dan ekonomi. Ini dari satu sisi.
Dari sisi lain, penguasa Indonesia, sebagaimana penguasa Muslim lainnya di seluruh dunia, tidak pernah mempertimbangkan halal-haram dalam menghadapi AS. Padahal menandatangani apa jua bentuk kesepakatan militer dengan sebuah negara kafir harbi fi’lan seperti AS jelas haram di sisi Islam. Bagaimana mungkin Indonesia boleh menandatangani sebuah kesepakatan militer dengan musuh di saat tangan musuh masih berdarah dengan darah-darah saudara kita yang dibunuhnya?
Amat jelas bahawa AS sedang berusaha untuk menguasai choke point Selat Melaka, setelah kehilangan kendali dan pengaruhnya ke atas Selat Hormuz. AS tidak sanggup kehilangan satu lagi choke point yang boleh menjejaskan strategi militer dan ekonominya di peringkat global. Penutupan Selat Hormuz oleh Iran bukan sahaja telah memukul AS, tetapi turut memukul negara-negara rakan kongsi AS yang telah memberi kesan kepada AS secara langsung. Apa yang lebih menyakitkan AS ialah sekutu-sekutunya telah menyalahkannya atas penutupan Selat Hormuz kerana serangan bodohnya ke atas Iran.
Pukulan lebih besar menimpa AS apabila sekutu-sekutunya telah mula berpaling daripadanya, malah NATO sendiri menolak permintaannya untuk turut terlibat dalam konflik dengan Iran. Manakala para penguasa Arab yang selama ini tunduk hina kepadanya, juga telah mengambil langkah untuk membiarkan AS keseorangan, melihat hakikat negeri-negeri mereka sendiri sudah tidak selamat dengan peluru berpandu Iran akibat angkara AS. Tambahan lagi, mereka khuatir rakyat mereka bangkit menolak mereka jika mereka terus bersekongkol dengan kebodohan AS.
Keadaan ini telah membuat AS perlu bergerak cepat untuk mengukuhkan pakatan militer dan politik dengan sekutu-sekutunya yang lain, dan Indonesia menjadi antara pilihan utamanya. Indonesia menjadi pilihan terbaik kerana kedudukan Prabowo yang sangat ketara ingin membuntuti Trump. Prabowo sebelum ini sudah pun menyetujui Agreement on Reciprocal Trade (ART) dan bergabung dalam Board of Peace (BoP) tajaan Trump, walaupun ditentang hebat oleh rakyatnya.
Ditambah dengan fakta bahawa Prabowo tidak pernah mengecam serangan Amerika-‘Israel’ ke atas Iran, yang membuatkan AS sangat senang dengannya. Bahkan Prabowo tidak mengecam sedikit pun ‘Israel’ meskipun terbukti yang tentera ‘Israel’ adalah pelaku serangan ke atas pasukan UNIFIL yang mengorbankan tiga tentera Indonesia baru-baru ini. Maka wajarlah untuk AS mengukuhkan hegemoninya ke atas Indonesia, sebagai pengikut yang masih lagi setia.
Malaysia Bakal Terjun Seperti Indonesia?
Melihat apa yang dilakukan AS ke atas Indonesia, maka tidak mustahil untuk AS melakukan hal yang sama dengan Malaysia. Untuk menguasai Selat Melaka sepenuhnya, AS memerlukan kerjasama dengan kedua-dua negara – Indonesia dan Malaysia – secara serentak. Dengan ini, Malaysia berpotensi untuk menjadi sasaran AS seterusnya. AS tentunya berfikir bahawa, jika Indonesia dengan mudah menerjunkan diri ke perangkapnya, maka kemungkinan besar Malaysia akan melakukan hal yang sama, melihat kepada tahap “kecerdikan” yang lebih kurang sama antara Prabowo dan Anwar.
Malaysia selama ini tidak jauh pun bezanya dengan Indonesia dari segi hubungannya dengan AS. Dari segi kerjasama militer, Malaysia memang sudah lama menjalin kerjasama dengan AS, dengan latihan ketenteraan Malaysia-AS berjalan secara konsisten setiap tahun. Di saat Gaza dibantai oleh entiti Yahudi dengan bom-bom dari AS pun, Malaysia tetap sahaja meneruskan latihan perang bersama AS, tanpa rasa simpati, dan tanpa rasa bersalah.
Manakala dari segi hubungan dagang, AS merupakan antara rakan dagangan terbesar Malaysia, selepas China dan Singapura, dengan nilai dagangan sebanyak kira-kira RM325 bilion (kira-kira USD70 bilion) pada tahun 2024. Pada Oktober 2025, Malaysia telah menandatangani ART dengan AS, sebuah perjanjian yang benar-benar menunjukkan ketundukan Kuala Lumpur kepada Washington. Walaupun Mahkamah Agung AS telah memutuskan bahawa tarif timbal-balik Trump tidak sah, yang membawa konsekuensi ART dengan Malaysia juga tidak sah, namun Perdana Menteri Malaysia tetap enggan membatalkan ART dengan AS. Demikian sekali simpati dan rapatnya Anwar dengan teman menarinya, Trump.
Secara militer, pakatan dengan Indonesia dan Malaysia akan memudahkan mobiliti tentera AS di Indo-Pasifik. AS tidak perlu memiliki pangkalan militer secara tetap di kedua-dua negara ini jika kerjasama penuh telah terjalin. Ini sekali gus akan mempersempit ruang gerak China di Asia Tenggara, terutama dari segi ekonomi. Dengan menguasai Selat Melaka, bermakna AS akan berjaya menekan dan mengekang pengaruh China di rantau ini.
Melalui MDCP, AS akan mendapatkan akses informasi dan intelijen yang semakin luas dan tepat. Ini kerana, kerjasama militer selalunya menyertakan pertukaran data keamanan maritim dan pemantauan setiap aktiviti. Bagi AS, ini akan memudahkan kemampuan membaca pergerakan pihak lain di rantau ini, khususnya China. Sungguh malang apabila Indonesia, selaku negara kaum Muslimin terbesar, telah sengaja menjerumuskan dirinya ke perangkap AS, yang merupakan musuhnya, musuh Allah, musuh Rasul-Nya dan musuh kaum Mukminin.
Semua fakta ini menunjukkan yang Malaysia sangat berpotensi untuk diikat oleh AS, bersekali dengan Indonesia. Maka, tidak mustahil untuk pakatan ketenteraan yang sama akan ditawarkan (baca: dipaksakan) oleh AS ke atas Malaysia. Jika tidak ditawarkan sekali pun, Malaysia sebenarnya telah lama pun tunduk kepada AS, dan sentiasa bersedia melayani presiden AS lebih daripada raja, sebagaimana yang ditunjukkan pada setiap kali kedatangan presiden negara kafir harbi fi’lan itu ke bumi Malaysia.
Kesimpulan
Sesungguhnya pengkhianatan dan kebaculan para penguasa umat Islam di seluruh dunia bukan lagi suatu yang tersembunyi, bahkan mereka sendiri sudah berkali-kali mempamerkannya secara terang-terangan, tanpa rasa malu dan tanpa rasa bersalah. Tinggal sahaja umat ini, sama ada ingin terus berada di bawah kepimpinan para penguasa khianat dan bacul ini, atau berjuang bersama Hizbut Tahrir untuk menggantikan para penguasa ini dengan seorang Khalifah, yang akan membawa umat ini kepada kemenangan dan kemuliaan, serta mengalahkan dan menghinakan musuh-musuhnya.
Wallahu a’lam.