Demo tangkap Azam Baki: Pisang dah berbuah banyak kali

Isu yang melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, terus menjadi polemik dan modal politik banyak pihak. Di sebalik desakan menuntutnya berundur sejak dulu, sosok tersebut masih kekal mengepalai SPRM sehingga kini, bahkan kontraknya telah diperbaharui sebanyak tiga kali oleh orang yang dulunya paling lantang menuntut pengundurannya.
Terbaru, satu demonstrasi besar-besaran dirancang pada 25 April ini untuk mendesak pengunduran Azam Baki, satu langkah yang dilihat bukan sahaja dituju kepada beliau, tetapi juga kepada Perdana Menteri sendiri, yang didakwa gagal menangani isu pemilikan saham dan juga isu “mafia korporat” yang melibatkan ketua SPRM itu.
Ada pihak yang optimis demo tersebut akan berjaya mencapai sasaran, namun tak kurang juga yang pesimis. Namun, sebagai umat Islam yang berfikir, kita tidak seharusnya terperangkap dalam naratif yang sama sejak dulu iaitu menuding jari kepada sosok tubuh individu semata-mata. Isu ini perlu dilihat dari akar umbinya, bukan sekadar melihat pada permukaannya sahaja.
Ada beberapa perkara yang wajib disedari oleh umat Islam berhubung isu ini:
- Azam Baki Hanyalah “Produk” Sebuah Sistem yang Korup
Realitinya, individu seperti Azam Baki (dan mana-mana pegawai tinggi yang terpalit kontroversi) hanyalah sebuah “produk” yang lahir dari rahim sistem demokrasi-kapitalis yang korup. Sistem sekular inilah yang menjadi kilang pencetak kepada pelaku dan pengamal rasuah, penyelewengan, kronisme, ribawi, perjudian, penindasan, manipulasi, dan pelbagai amalan serta politik kotor lainnya. Sistem ini sudah terbukti mencetak ramai ahli politik dan penjawat awam yang korup, sesuai dengan kekorupan sistem itu sendiri. Mustahil sebuah sistem yang buruk akan menghasilkan orang yang baik, sebagaimana mustahilnya pohon gharqad akan menghasilkan buah durian!
Justeru, selagi sistem demokrasi yang rosak dan penuh keharaman ini terus beroperasi dan dipertahankan, penyingkiran seorang individu bukan sahaja tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah, bahkan akan melahirkan 10 individu bermasalah lainnya. Membunuh seekor anai-anai perosak tidak akan menyelamatkan sebuah rumah dari hancur, selagi ibunya masih terus hidup. Ia akan terus melahirkan dan membiakkan anai-anai, dan akan terus membiakkan anai-anai dan akan terus membiakkan anai-anai…
- Retorik Murahan Ahli Politik Demokrasi Untuk Raih Sokongan
Hari ini, kita melihat pelbagai pihak melaungkan bantahan, berdemonstrasi dan mendesak agar Azam Baki berundur atau dilucutkan jawatan. Namun, apakah ada jaminan bahawa apabila pihak yang memprotes ini naik memegang tampuk kekuasaan kelak, mereka tidak akan melakukan hal yang sama sebagaimana pendahulu mereka?
Sejarah telah membuktikan hipokrasi ahli politik dalam sistem demokrasi. Lihat sahaja bagaimana Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya yang dahulunya begitu lantang melaungkan reformasi dan mendesak pengunduran Azam Baki, namun apabila berkuasa, mereka sendirilah yang membuat pusingan-U dan mengekalkan Azam Baki di posisi tersebut, bahkan menyambung kontraknya sebanyak tiga kali. Semuanya demi kelangsungan (survival) dan kepentingan politik.
Inilah bukti nyata bahawa dalam sistem demokrasi, janji apa pun yang ditaburkan oleh ahli politik tidak boleh dipercayai, dan perjuangan apa pun untuk menuntut keadilan dan ketelusan juga tidak boleh dipercayai.
Dalam demokrasi, kaedahnya bukan sahaja matlamat menghalalkan cara, tetapi segala yang haram menjadi halal, segala janji boleh di capati, segala komitmen hanyalah temberang, segala manifesto boleh dipusing sebagai bukan kitab suci. Segala maruah politikus demokrasi sebenarnya sudah lama berkubur, segala malu sudah lama hilang, dan segala akauntabiliti hanyalah di bibir.
Maka, langsung tidak ada jaminan jika pada hari ada suara-suara mendesak Azam Baki berundur, esok nanti apabila berkuasa suaranya masih sama. Hakikat yang terjadi ialah suara yang dahulunya mengecam dan mendesak Azam Baki berundur dan “berguling” di jalan raya menuntut reformasi institusi, kemudian setelah berkuasa, memuji Azam Baki dan berterusan mengekalkan khidmatnya, mungkin kalau boleh sampai mati. Demikianlah sifat dan sikap politikus demokrasi – demi meraih sokongan, mereka akan terus menunggang isu, dan berlagak kononnya merekalah hero rakyat. Setelah berkuasa, baju hero mereka terus tertanggal, yang menampakkan segala kudis dan kurap di badan mereka.
- Pisang Telah Berbuah Banyak Kali
Pepatah Melayu sering mengingatkan kita agar jangan sampai pisang berbuah dua kali. Itulah pesan nenek moyang kita yang sebenarnya sama sebagaimana hadis yang mengingatkan kita agar jangan dipatuk dari lubang yang sama dua kali. Pokoknya, janganlah kita menjadi mangsa sehingga terkena musibah yang sama dua kali hasil kelalaian atau kejahilan kita sendiri. Jangan sampai kita mengulangi kesilapan yang sama lagi, yang merugikan diri kita sendiri. Itulah pesannya. Seharusnya kita sudah belajar dari kesilapan dan kelalaian yang pertama, dan menjadi lebih berhati-hati agar tidak tertimpa nasib yang sama untuk kali kedua.
Persoalannya, adakah kita masih percaya pada politikus demokrasi apabila mereka menuntut pengunduran Azam Baki, sebagaimana ramai yang percaya pada Anwar Ibrahim ketika berbuat demikian suatu masa dahulu? Jika Azam Baki berundur, adakah kita masih percaya pada sistem demokrasi itu sendiri tidak akan melahirkan lagi individu-individu seperti Anwar Ibrahim, Azam Baki, Rafizi Ramli, Adam Adli dan rakan-rakan mereka lainnya? Sesungguhnya pisang telah berbuah banyak kali di Malaysia ini, dan akan terus berbuah selagi pohonnya tidak ditebang! Sesungguhnya keputusan ada di tangan umat Islam itu sendiri sama ada untuk terus-menerus dipatuk dari lubang yang sama, atau untuk menimbus lubang tersebut selama-lamanya.
- Solusi Tuntas: Tukar Sistem, Bukan Sekadar Individu
Umat Islam harus sedar bahawa pandemik rasuah dan penyelewengan yang membarah hari ini tidak akan pernah selesai jika kita hanya sibuk menukar “pemain”, sedangkan “padang” dan peraturannya masih sama. Solusi kepada masalah rasuah dan kebobrokan tadbir urus negara bukan terletak pada pertukaran individu, tetapi pada pertukaran sistem! Sistem demokrasi yang berasal dari Barat yang meletakkan kedaulatan di tangan manusia untuk membuat hukum, inilah akar permasalahan yang sebenar.
Sistem demokrasi yang berasal dari Barat ini wajib dibuang dan diganti dengan sistem pemerintahan Islam (Khilafah), yang dipimpin oleh seorang Khalifah yang menerapkan syariat Allah secara kaffah. Sesungguhnya penyelesaian masalah manusia itu ada pada syariat, kerana tujuan diturunkan syariat itu sendiri ialah untuk mengatur dan menyelesaikan masalah manusia. Maka, pemerintahan selain syariat, apatah lagi pemerintahan anti-syariat sebagaimana demokrasi, bukan sahaja tidak akan pernah menyelesaikan masalah manusia, tetapi akan terus-menerus melahirkan masalah.
Wallahu a’lam.