Kemenangan PKR bukan kemenangan Islam!
PKR sudah menang dan tidak siapa dapat menafikan kemenangan ini. Persoalannya adalah, apakah yang akan berlaku selepas ini? Jika dilihat daripada asas penubuhan PKR, ia adalah parti yang jelas tidak berlandaskan kepada matlamat untuk menegakkan Islam mahupun Negara Islam. Matlamat yang selalu disampaikan oleh PKR adalah untuk menegakkan keadilan, namun keadilan yang bagaimanakah yang didambakan? Sesungguhnya tidak akan ada keadilan dan tidak akan dinamakan keadilan sedikit pun jika hukum Allah tidak dilaksanakan! Keadilan hanya akan berlangsung apabila hukum-hakam Islam diterapkan, menggantikan hukum sekular yang dianuti pada hari ini. Keadilan hanya akan dikecapi apabila syariat Islam diterapkan secara kaffah dan semua manusia diperintah dengan hukum Allah. Jika menerapkan sebahagian hukum Islam dan sebahagian sistem kufur itu pun sudah menjadikan manusia itu hina, apatah lagi jika hukum kufur sekular diterapkan sepenuhnya seperti yang ada hari ni. Firman Allah SWT,
“Apakah kamu beriman hanya kepada sebahagian dari Kitab dan kufur dengan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu di antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan dikembalikan kepada azab seksa yang pedih. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.” [TMQ Al-Baqarah (2):85]
Kerajaan UMNO/BN terkenal zalim. Kenaikan harga minyak, tol, barang makanan, pelbagai bil perkhidmatan dan pelbagai jenis cukai yang menindas, riba PTPTN, rasuah di kalangan orang atasan, penyelewengan di dalam pembinaan kemudahan asas rakyat, ketirisan dan kebocoran di dalam mengagihkan kekayaan negara dan pelbagai bentuk kezaliman lagi telah menyebabkan undi penduduk Permatang Pauh tidak berganjak, malah sebahagian lainnya telah berpindah kepada PKR. Mereka mengharapkan dengan kehadiran Anwar Ibrahim di dalam Parlimen, maka segala bentuk kezaliman tersebut akan terhapus. Namun, sayangnya, sokongan rakyat ini tidak akan diterjemah oleh Anwar Ibrahim dengan menerapkan Islam, kerana Islam bukanlah agenda Anwar? Dilihat dari segi komposisi anggota Majlis Tertinggi PKR sendiri pun yang terdiri dari orang Islam dan orang kafir, ini sendiri sudah menjawab ke mana hala tuju Anwar dengan PKR.
Bagi golongan yang fanatik kepada Anwar, maka mereka terus menyifatkan bahawa kemenangan Anwar adalah kemenangan rakyat. Walhal, jauh panggang dari api, suara Anwar bukanlah mewakili suara seluruh rakyat Malaysia. Golongan Islam yang ikhlas memperjuangkan tegaknya agama Allah tidak pernah berpihak kepada Anwar, kecuali golongan yang cuba meraih ‘manfaat’ sahaja yang sanggup menempel dengan Anwar. Justeru, kemenangan Anwar di Permatang Pauh, walaupun disifatkan sebagai kemenangan rakyat, ia bukanlah kemenangan Islam. Anwar tidak membawa agenda Islam, apatah lagi agenda Negara Islam. Anwar ada agenda tersendiri dalam usahanya melangkah menuju Putrajaya, namun sayang, Islam tidak dibawanya bersama.
Kemenangan Islam hanya akan tercapai apabila hukum Allah dan Rasul diterapkan di dalam kehidupan. Kemenangan Islam hanya akan dinikmati apabila Al-Quran dan Sunah menjadi undang-undang negara. Dengan kemenangan Anwar Ibrahim menjadi ahli Parlimen Permatang Pauh dengan tidak menjadikan Islam sebagai agendanya, dan jika agenda sekularlah yang akan terus dibawa oleh Anwar, maka kemenangan Anwar hanyalah merupakan kemenangan kepada sekular, bukannya kemenangan kepada Islam. Sesungguhnya hanya dengan mewujudkan Daulah Khilafah dan membai’ah seorang Khalifah untuk menerapkan hukum berdasarkan Kitabullah dan Sunah RasulNya, maka hanya dengan ini sahajalah kemenangan Islam akan tercapai.