Kemenangan UMNO adalah untuk meneruskan perlaksanaan hukum selain Islam

altBN menang besar

LABIS 30 Jan. – Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dengan majoriti lebih besar menerusi calonnya, Mohd. Azahar Ibrahim yang memenangi kerusi itu pada pilihan raya kecil yang berlangsung hari ini.  Mohd. Azahar menang dengan majoriti 3,707 undi selepas mendapat 6,699 undi untuk mengalahkan calon Pas, Normala Sudirman yang hanya memperoleh 2,992 undi. Sebanyak 142 undi rosak. Majoriti itu meningkat 1,243 undi berbanding 2,492 undi yang diperoleh BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada 2008.  BN juga menawan semula dua kawasan majoriti Cina iaitu di Bandar Labis Timur dan Labis. Bandar Labis Tengah masih memihak kepada pembangkang.  Bagi peti undi Bandar Labis Timur, BN mendapat 669 undi dan Pas pula 632 manakala di Labis BN memperoleh 380 undi dan Pas 337 undi. Bandar Labis Tengah BN mendapat 365 undi dan Pas 851.  Kemenangan calon BN itu diumumkan oleh Pengurus Pilihan Raya DUN Tenang, Md. Asri Amir di pusat penjumlahan undi di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini, pukul 10.02 malam ini.  Menurut Md. Asri, sebanyak 67 peratus daripada keseluruhan 14,753 pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil DUN Tenang ini.  “Maka, saya dengan ini mengisytiharkan calon BN, Mohd. Azahar Ibrahim sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan DUN Tenang,” katanya. 

Peratusan keluar mengundi hari ini rendah disebabkan hujan lebat yang tidak henti-henti di seluruh kawasan DUN Tenang sejak awal pagi hingga tamat tempoh mengundi pukul 5 petang.  Pilihan Raya Kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis pada 17 Disember tahun lalu.  Pada PRU12, Allahyarham mendapat 6,367 undi menewaskan calon Pas, Mohd. Saim Siran yang memperoleh 3,875 undi.  Pengumuman tersebut disambut dengan tepukan gemuruh kira-kira 1,000 penyokong BN yang berada di dalam dan luar dewan sebelum beliau turut dijulang bagi meraikan kemenangan itu.  Turut meraikan kemenangan Mohd. Azahar itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Tenang.  Selain itu, turut hadir meraikan kemenangan BN tersebut ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor; Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dan Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.  Bagaimanapun, Normala dan para pemimpin Pas lain tidak kelihatan di dalam dewan ketika pengumuman itu.  Ketika ditemui kemudiannya, Mohd. Azahar mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepada beliau menjadi wakil rakyat DUN Tenang.  Menurutnya, beliau akan memikul amanah itu dengan sebaik-baiknya bagi meneruskan agenda pembangunan di kawasan itu.  Mohd. Azahar juga akan berusaha memastikan setiap janji yang dibuat sepanjang kempen pilihan raya kecil ini ditunaikan secepat mungkin. “Terima kasih kepada semua yang mengundi saya dan juga kepada jentera BN yang bekerja keras siang dan malam. Insya-Allah saya akan berkhidmat sebaik mungkin sebagai wakil rakyat di DUN Tenang.  “Tugasan pertama saya adalah untuk menyelesaikan masalah banjir,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia, 31/01/11

Kemenangan UMNO adalah untuk meneruskan perlaksanaan hukum selain Islam

Sekali lagi UMNO bergembira kerana memenangi pilihanraya kecil di Tenang, Labis. Walaupun ia sekadar pilihanraya kecil tetapi perbelanjaan yang dicurahkan oleh pihak yang bertanding sudah pasti besar. Lebih-lebih lagi UMNO yang kian terdesak ingin menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka masih lagi releven untuk terus berkuasa. Setelah menyaksikan pelbagai gelagat di kalangan pihak-pihak yang bertanding, maka akhirnya UMNO masih berjaya menambat hati rakyat dengan kemenangan majoriti yang lebih besar berbanding dengan pilihanraya umum lepas. Suatu kemenangan yang sememangnya telah diramalkan berdasarkan kepada beberapa faktor semasa. Namun tidak kiralah pihak mana yang menang di dalam sebarang pilihanraya sistem demokrasi, apa yang pastinya adalah ia tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada sistem kufur itu. Dalam maksud yang lebih jelas, siapapun yang menang dalam “permainan” sistem yang menipu ini, sistem demokrasi akan terus subur dan mekar bahkan dimurnikan. Suatu sistem yang pada dasarnya telah mengambil hak Allah SWT sebagai musyari’ (pembuat hukum). Sedangkan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah SWT?

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah”. [TMQ Al Maa-idah (5) : 50].

Oleh kerana itu, umat Islam samada daripada pihak UMNO mahupun PAS, hendaklah sedar bahawa sistem demokrasi yang ditinggalkan oleh penjajah Barat dan digunapakai oleh  pemerintah umat Islam hari ini adalah hadiah yang akan mengundang kemurkaan Allah SWT. Ini adalah kerana, sepertimana slogan yang selalu dilaungkan; “Dari rakyat, untuk rakyat dan oleh rakyat”, ia menerangkan bahawa sistem ini dijalankan sepenuhnya oleh rakyat termasuklah di dalam hal menentukan undang-undang yang hendak digunapakai sedangkan hak pemerintahan dan hak menentukan undang-undang untuk digunapakai itu adalah milik Allah SWT semata-mata:

“Keputusan (hukum) itu hanyalah kepunyaan (bagi) Allah”.
  [TMQ Yusuf (12) : 40].

Wahai umat Islam! Sedarlah bahawa sistem Demokrasi tidak pernah mengubati kesengsaraan rakyat bahkan semakin ramai pula yang terkena penyakit Democrazy.