Kemenangan Suu Kyi tiada erti buat Muslim Rohingya

photo_2015-11-27_23-47-59Berita kemenangan Aung San Suu Kyi dan parti pimpinannya, Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) dalam pilihan raya umum Myanmar 11 November lepas, disambut dengan penuh gembira oleh penduduk Myanmar dan juga pencinta demokrasi di seluruh dunia. Di sebalik ikon demokrasi yang selalu dimomokkan kepadanya, Suu Kyi, ternyata mempunyai pendirian yang tidak pernah demokratik terhadap kaum Muslim Rohingya yang tertindas dan sering menjadi mangsa pembunuhan kejam oleh pelampau Buddha di Myanmar. Wanita berusia 70 tahun yang dianugerahkan pingat Keamanan Nobel itu sering mengambil sikap acuh tidak acuh dalam mendepani isu penindasan terancang ke atas umat Islam di bumi Arakan itu.

Dalam sebuah wawancara yang dilaporkan oleh The Washington Post pada Disember 2014, Suu Kyi menafikan bahawa tindakannya berdiam diri terhadap nasib Muslim Rohingya itu bermotifkan kepentingan politik demi meraih undi.[1] Alasan yang diberikan adalah pertumpahan darah akan menjadi lebih parah seandainya ia memilih untuk bersuara mengenai isu Rohingya.

Ternyata alasan tersebut langsung tidak berasas kerana terbukti bahawa penindasan dan pembunuhan ke atas Muslim Rohingya tetap berlarutan meskipun dia berdiam diri. Sehingga ke hari ini, Muslim Rohingya masih dinafikan kerakyatan dan dilarang daripada menerima sebarang jaminan kesihatan mahupun keselamatan. Mereka dipaksa untuk mengakui status selaku pendatang Bengali (sedangkan mereka merupakan penduduk asal di Arakan berkurun lamanya) atau berdepan dengan pengusiran dan pembunuhan!

Kenapa ikon demokrasi yang lantang memperjuangkan hak asasi manusia itu hanya berdiam diri terhadap pencabulan hak asasi manusia yang berlaku di depan matanya sendiri? Lebih malang, Suu Kyi yang di kenali dengan Daw Suu itu meminta pihak media agar tidak membesar-besarkan penderitaan Rohingya bagi menutup hipokrasinya itu.[2]

Hakikatnya, Aung San Suu Kyi tidak mempunyai sebarang keinginan untuk membela nasib Muslim Rohingya dan semua orang tahu sekiranya dia memilih untuk bersuara, dia sudah pasti berdepan dengan risiko kehilangan undi kerana kebencian bangsa Bamar terhadap Islam dan kaum Muslimin sentiasa bernyala-nyala sejak berdekad lamanya.

Inilah antara bukti nyata sikap hipokrasi pejuang demokrasi. Tambah malang, penderitaan dan pembunuhan ke atas Muslim Rohingya juga tidak pernah dipedulikan oleh penguasa-penguasa umat Islam di seluruh dunia, seolah-olah penguasa ini tidak pernah mendengar sabda Rasulullah SAW,

“Hancurnya dunia lebih ringan di sisi Allah dibandingkan terbunuhnya seorang Muslim” [HR al-Nasaie].

Sesungguhnya tiada seorang pun daripada penguasa Muslim yang boleh kita harapkan untuk menyelesaikan penderitaan Muslim Rohingya. Kekuatan tentera Myanmar dan kaum pelampau Buddha yang membunuh saudara-saudara kita ini wajib dilawan dengan kekuatan tentera juga yakni kekuatan sebuah negara. Malangnya tentera Muslim tidak bergerak dan pemerintah Muslim pula hanya memilih untuk berpeluk tubuh.

Hizbut Tahrir berjuang untuk menegakkan Negara Khilafah yang Insya Allah apabila kemenangan diberikan oleh Allah dengan tegaknya Khilafah sedikit masa lagi, nasib umat Islam di seluruh dunia sudah pasti akan terbela.

Sumber:

[1] https://www.washingtonpost.com/national/religion/why-wont-aung-san-suu-kyi-say-the-word-rohingya-commentary/2014/12/04/95477390-7bea-11e4-8241-8cc0a3670239_story.html

[2] http://www.reuters.com/article/2015/11/05/us-myanmar-election-suukyi-idUSKCN0SU0CH20151105