Kempen anti-Islam di Barat: Usaha yang akan gagal Insya Allah

Gambar utk UG 120115Negara-negara Barat sekarang ini sedang mengadakan kempen anti-Islam secara besar-besaran. Walaupun kita tahu bahawa propaganda dan perasaan anti-Islam sudah lama berlaku di Barat, tetapi kempen sebesar ini boleh dikatakan yang pertama dalam bentuk seumpamanya.  

Apakah bentuk ancaman yang diberikan oleh komuniti Muslim terhadap Barat sehingga mereka mengadakan kempen anti-Islam secara besar-besaran ini? Apakah ramainya bilangan Muslim yang berhijrah dan tinggal di Barat menjadikan Barat terancam oleh Islam? Apakah jilbab dan purdah yang dipakai oleh Muslimah di negara kufur Barat itu mengancam masyarakat Barat? Padahal komuniti Muslim di Barat hanya dapat mengamalkan ajaran Islam dalam ruang yang cukup terbatas, khususnya yang menyangkut ibadah-ibadah tertentu sahaja. Justeru, ancaman apakah yang dibawa oleh Islam sehingga Barat melancarkan kempen sebesar ini?

Sesungguhnya sistem dan kehidupan di Barat sudah gagal hampir sepenuhnya, baik menyangkut pemerintahan mahupun ekonomi, apatah lagi kehidupan sosial. Ya mereka maju dalam bidang teknologi, tetapi dari segi kehidupan sosial sudah musnah. Hal ini dibuktikan dalam banyak aspek, khususnya kehidupan kekeluargaan yang sudah ranap sama sekali dan termasuklah peningkatan statistik dan bentuk-bentuk jenayah yang mengerikan di sana.

Justeru, kempen besar-besaran anti Islam tersebut merupakan usaha pengalihan Barat dari kegagalan ideologi Kapitalisme yang mereka amalkan dalam menyelesaikan masalah-masalah pemerintahan, sosial dan ekonomi negara mereka, kepada menjadikan Islam sebagai serangan.

Sistem yang diamalkan di Barat adalah seratus peratus berasal dari akal manusia, yang cetek lagi terbatas serta penuh dengan kelemahan, hasil dari penolakan mereka terhadap campur tangan agama dalam kehidupan. Agama mereka, jika diamalkan sekalipun, pun gagal menyelesaikan apa jua masalah kerana agama yang tidak benar.

Jadi, kerosakan yang muncul di Barat adalah akibat sistem kapitalisme yang mereka amalkan itu sendiri, yang tidak manusiawi dan menjahanamkan dalam apa jua aspek. Kerosakan itu semakin parah dari hari ke hari sehingga berapa ramai dari masyarakat Barat yang sudah mula melihat Islam sebagai agama yang lebih memberikan ketenangan dan dapat menyelesaikan masalah mereka. Maka, untuk mengalihkan segala bentuk kerosakan itu dari menjadi serangan oleh rakyat ke atas kerajaan yang boleh menimbulkan bahaya kepada mereka, maka Islam dijadikan sasaran oleh mereka untuk disalahkan.

Manakala faktor yang menyebabkan semakin meluasnya dukungan anti-Islam di Barat tidak lepas dari polisi pemerintah yang terus menerus mengaitkan dan melabelkan umat Islam dengan terrorisme. Ramai di kalangan rakyat mereka yang masih belum mengkaji Islam, menelan bulat-bulat akan tohmahan ini, menjadikan kempen itu diterima.

Namun, secara realitinya, kita melihat di tengah-tengah menguatnya kempen dan gerakan anti Islam ini, ia membuatkan banyak pihak yang tertarik untuk mengetahui dan belajar tentang Islam dengan lebih mendalam, malah sehingga menjadikan jumlah orang yang memeluk Islam di Barat semakin ramai.

Ringkasnya, apa pun perancangan jahat yang mereka lakukan terhadap Islam, kita yakin bahawa Allah SWT juga merancang dan Allah SWT adalah sebaik-baiknya Perancang. Dengan kekuasaan Allah SWT, segala perancangan jahat Barat akan pasti berakhir dengan kegagalan dan Allah SWT akan pasti menzahirkan agamaNya melalui tangan-tangan para pejuang agamaNya yang ikhlas lagi benar dan bersungguh-sungguh.

Wallahu’alam.