Kempen “Islam Kaffah di Bawah Khilafah” melabuhkan tirainya, namun semangat perjuangan tetap membara

Kempen “Islam Kaffah di Bawah Khilafah” anjuran Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) yang dianjurkan di sepanjang bulan Rajab kini telah melabuhkan tirainya.

Kempen selama sebulan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti global Hizbut Tahrir yang dianjurkan saban tahun pada bulan Rajab sempena memperingati keruntuhan Khilafah yang berakhir di Istanbul pada 28 Rajab genap 101 tahun lalu.

Sebagai kemuncak kepada kempen ini, HTM telah menganjurkan Muktamar Online Rajab 1443H yang bertemakan “Islam Kaffah Hanya Terealisasi di Bawah Khilafah” yang disiarkan di saluran Youtube dan Facebook rasmi HTM, malam tadi.

Muktamar yang membariskan sepuluh orang ahli panel dari dalam dan luar negara ini turut disiarkan di Waqiah TV bermula jam 8.00 malam waktu Malaysia dan 3.00 petang waktu Madinah, semalam.

Ustaz Muhammad Amin mewakili pimpinan pusat HTM menjadi pemula bicara dengan ucapan aluan beliau yang menjelaskan aktiviti HTM di sepanjang kempen yang bertujuan memberi kesedaran sekali gus peringatan kepada kaum Muslimin mengenai Khilafah.

Muktamar kemudian dilanjutkan dengan pembentangan daripada ahli-ahli panel antarabangsa yang terdiri daripada wakil Hizbut Tahrir Palestin, Turki, Australia, Britain, Kenya, Sudan, Indonesia, dan dua orang wakil Malaysia selaku tuan rumah.

Setiap ahli panel mengupas realiti yang melanda umat Islam pada hari ini serta menghuraikan penerapan Islam secara kaffah yang hanya akan terealisasi di bawah Khilafah.

Penganjuran muktamar dan kempen ini merupakan sebahagian daripada usaha Hizbut Tahrir sedunia bagi mewujudkan kesedaran global dalam kalangan umat Islam mengenai kewajipan menerapkan Islam secara kaffah dalam kehidupan, sejajar dengan tujuan penubuhan Hizbut Tahrir iaitu melanjutkan kehidupan Islam.

Demi mencapai tujuan murni ini, Hizbut Tahrir berjuang tanpa lelah siang dan malam ke arah merealisasikannya dengan berusaha menegakkan Khilafah Rasyidah ala Minhaj Nubuwwah yang akan mengembalikan penerapan Islam Kaffah sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah (swt).

Selama sebulan penuh, pelbagai aktiviti baik di lapangan mahupun alam maya, termasuklah siri seminar online yang telah diadakan oleh HTM, menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan Islam Kaffah dan kemustahilan penerapannya tanpa sebuah Negara Islam.

Walaupun kempen telah berakhir, dan Rajab juga telah berlalu, namun perjuangan untuk mengembalikan semula Islam secara kaffah dengan jalan menegakkan Khilafah terus semarak di hati setiap anggota Hizbut Tahrir, dan ia tidak akan berakhir sehinggalah Allah (swt) memenuhi janji-Nya.