Kenapa agaknya Umno tak tanding di Chempaka?

Gambar UL 020315 3UMNO mencatat sejarah pilihan raya di Malaysia apabila sebulat suara memutuskan untuk tidak bertanding dalam sebuah pilihan raya kecil iaitu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang kosong akibat kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Feb lalu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata keputusan agar UMNO tidak bertanding bagi kerusi tersebut dibuat setelah pemimpin tertinggi UMNO dan badan perhubungan UMNO Kelantan berbincang beberapa kali.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan yang UMNO sebulat suara bersetuju untuk memberi fokus terhadap usaha pemulihan pasca banjir dan mengukuhkan perpaduan rakyat.

Walaupun keputusan ini bukanlah suatu yang pelik, tetapi bagi pengamat politik ia dapat dicongak dengan mudah bahawa jika UMNO membuat keputusan untuk bertanding, ia sudah pasti tidak akan menguntungkan parti asabiyah Melayu terbesar itu dari banyak sudut. Maka faktor yang penuh propaganda perlu direka sebagai justifikasi menyembunyikan alasan sebenar.

Mungkin UMNO ingat yang alasannya untuk memulihkan Kelantan pasca banjir akan ditelan bulat-bulat oleh rakyat yang sudah semakin celik politik. Bukan rakyat Kelantan sahaja, malah semua orang tahu betapa menderitanya mangsa banjir tatkala banjir terbesar dalam sejarah negara itu melanda Kelantan baru-baru ini. Di saat mangsa terkapai-kapai menanti bantuan, baik semasa mahupun selepas banjir, kelibat pemimpin, orang politik dan jentera-jentera mereka tidak kelihatan, walhal jika musim pilihan raya kecil, mereka berduyun-duyun turun padang memberi kain pelikat, peralatan sekolah, mengecat rumah, ziarah orang sakit dan lain-lain.

Malah, pasukan keselamatan pun tidak dikerahkan membantu mangsa atas alasan keadaan belum darurat dan pasukan keselamatan seolah-olah hilang punca untuk membantu hanya semata-mata kerana darurat tidak diisytiharkan! Perdana Menteri sendiri sedang enak bermain golf di Hawaii dengan Obama, pengganas nombor 1 dunia tatkala rakyat Kelantan bersabung nyawa dan hanya mampu melihat harta benda mereka yang musnah ditenggelami dan dibawa air yang dalam lagi deras.

Kini, tiba-tiba UMNO ingin muncul sebagai hero untuk memulihkan Kelantan pasca banjir dan sanggup mengorbankan proses demokrasi yang dijulangnya selama ini dengan tidak mahu bertanding di DUN Chempaka. Alangkah baiknya hati UMNO!

Bukan sekadar itu, UMNO juga sanggup untuk tidak meletakkan calon demi mengukuhkan perpaduan rakyat! Apakah kita akan lihat penyokong-penyokong UMNO dan PAS, khususnya di DUN Chempaka, akan terus bersatu padu selepas ini dengan keputusan UMNO yang mulia ini? Cuma, kita tertanya-tanya, apakah UMNO juga mungkin tidak akan meletakkan calon di DUN panas Permatang Pauh, demi mengukuhkan perpaduan rakyat? Dan apakah UMNO juga tidak akan meletakkan mana-mana calon di mana-mana DUN atau Parlimen atas alasan yang sama?

Apa yang jelas dari alasan yang diberikan UMNO ini ialah, kerajaan sebenarnya boleh membantu rakyat tanpa memenangi mana-mana pilihan raya, jika mereka mahu. Jika begitu, persoalannya, kenapakah selama ini UMNO sering menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat jika rakyat memberi mandat kepada mereka dalam satu-satu pilihan raya?

Apa yang lebih jelas ialah, inilah permainan demokrasi yang hanya akan digunakan jika ia menguntungkan pemerintah. Ukurannya ialah manfaat semata-mata. Jika di sana ada manfaat, maka dilakukan, jika tidak ada manfaat, maka tidak dilakukan. Sesungguhnya tidak ada pertimbangan dan alasan lain lagi selain manfaat, kerana inilah yang diajar oleh ideologi Kapitalis yang dari ideologi kufur inilah lahirnya demokrasi.

Bilakah agaknya kita akan mendengar yang UMNO akan mengatakan tidak akan menyertai pilihan raya dalam sistem demokrasi kerana ia diharamkan oleh Islam? Mungkin pada waktu itu tanda-tanda besar Kiamat sudah muncul..