Kenapa fatwa Mufti selalu selari dengan kezaliman kerajaan?

Gambar UL 210415Isu GST memang tidak habis mengundang persoalan dan perbualan. Ribuan kritikan sudah mencurah-curah dilemparkan kepada kerajaan, namun ‘hati’ kerajaan ternyata lebih keras dari batu. Jauh dari mendengar rintihan dan kesakitan yang dialami rakyat akibat GST, pendapat beberapa orang agamawan terus diangkat bagi membenarkan lagi tindakan zalim yang dilakukan oleh kerajaan.

Terbaru, kita menyaksikan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menyatakan bahawa GST boleh untuk dilaksanakan demi kebaikan bersama rakyat dan bagi menghindari kemudaratan kepada negara. Harussani menegaskan GST pada kadar 6% yang diperkenalkan Putrajaya mulai 1 April, hukumnya adalah harus.

Beliau diminta mengulas pendapat Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad sebelum itu yang turut menyatakan bahawa hukum GST adalah harus, tetapi beberapa perkara perlu dipertimbangkan agar kegusaran dan kegelisahan di kalangan masyarakat dapat dihindarkan. Antaranya Zulkifli menyarankan kadar 6% dikurangkan mengikut kemunasabahan dan kemampuan rakyat kebanyakan pada masa kini dan orang Islam yang membayar zakat tidak lagi dikenakan GST atau satu mekanisme khusus diwujudkan agar tidak berlaku dua kali pembayaran sehingga terbeban umat Islam itu sendiri.

Sementara itu, Penasihat Eksekutif Ilmuwan Malaysia (Ilmu), Dr Fathul Bahri Mat Jahya berkata, cadangan Zulkifli itu sesuatu yang baik namun pelbagai pihak perlu dilibatkan untuk perbincangan lanjut. Ulama muda UMNO itu berkata, tidak kira pandangan sesiapa pun, ia mesti realistik dan bersesuaian dengan keadaan semasa negara.

Inilah masalahnya dengan agamawan dan institusi keagamaan di Malaysia. Hampir setiap fatwa yang mereka keluarkan, hanya akan menyokong dan membenarkan lagi kezaliman yang dilakukan oleh kerajaan. Hal ini jauh berbeza dengan sikap para ulama terdahulu yang menentang kezaliman penguasa sehingga ramai di kalangan mereka yang dipenjarakan dan syahid dibunuh oleh penguasa.

Kita semua tahu yang jawatan mufti adalah jawatan berbayar dan penuh glamour. Oleh itu, sudah menjadi lumrah untuk orang yang dibayar, berkhidmat kepada tuannya dan membenarkan apa sahaja yang dilakukan oleh tuannya. Jika tidak, maka mereka akan mendapat bayaran terakhir pada waktu itu juga dan hilanglah jawatan dunia yang sangat disayangkannya itu.

Sungguh sedih melihat para agamawan ini membenarkan kezaliman kerajaan dan mengeluarkan fatwa yang selari dengan ruang lingkup sistem Kapitalisme yang diamalkan oleh kerajaan.

Adakah terlalu sukar untuk para mufti ini memahami dan memuhasabah kerajaan bahawa sebarang bentuk cukai adalah haram? Tidakkah para mufti ini tahu bahawa al-Quran dan al-Sunnah telah menetapkan pendapatan negara berupa ghanimah, anfal, fai’ dan khumus; kharaj; tanah (tanah unwah, usyriyyah, sawafi, tanah milik negara, tanah milik umum dan tanah hima; jizyah; fai’ (pemasukan dari hasil sawafi; usyur; 1/5 rikaz dan galian; tanah yg dijual/sewa; harta sawafi; harta pusaka yg tidak ada waris; harta orang2 murtad; harta ghulul; denda) serta dharibah?

Di samping itu, Islam juga menetapkan pendapatan negara yang dikelola dari pemilikan umum seperti minyak dan gas; elektrik; galian-galian; laut, sungai, perairan dan mata air; hutan dan padang ragut serta hima, yang kesemuanya wajib dikelola untuk kemaslahatan umum dan diagihkan keuntungannya kepada setiap individu dalam masyarakat.

Islam juga telah menetapkan zakat ternakan, pertanian, emas dan perak, perniagaan dan perhiasan, disamping zakat fitrah, yang wajib diberikan kepada asnaf-asnaf yang telah ditetapkan di mana kesemua zakat ini, jika diagihkan dengan betul, akan menyelesaikan banyak masalah.

Sesungguhnya kita tidak memerlukan apa jua produk sistem Kapitalisme, apatah lagi segala jenis cukai yang menindas dan haram. Inilah padahnya apabila sistem Islam tidak diterapkan oleh negara dan diganti dengan sistem Demokrasi-Kapitalisme, sehingga para agamawan pun tidak dapat keluar dari kerangka berfikir yang telah ditanam oleh Kapitalis dan tidak dapat keluar dari atur main yang telah ditetapkan oleh Kapitalis. Malah lebih buruk, mereka yang sepatutnya menghapuskan kezaliman yang dicipta oleh Kapitalis dan menggantikannya dengan sistem Islam, sebaliknya mereka menjadi pembersih kepada segala dosa dan kezaliman Kapitalis.

Jadi, para mufti dan agamawan tidak boleh menyalahkan masyarakat jika mereka dibenci oleh masyarakat atas sikap mereka ini. Para mufti seharusnya sangat berhati-hati dalam mengeluarkan fatwa agar tidak menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah SWT.

Wallahu a’lam.