Kenapa AS berminat dengan kes Anwar?

Sejak dari awal kes Liwat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim timbul AS telah mula menunjukkan minat untuk memberi ‘bimbingan’ terhadap kerajaan Malaysia. Tom Casey jurucakap Jabatan negara Amerika Syarikat dipetik sebagai berkata,

“The main point for us is that the rule of law needs to stand above politics,” [NST 08/07/01]
(Yang penting bagi kami (US) adalah kedaulatan undang-undang perlu mengatasi politik)

“And we would certainly oppose any use of law enforcement or judicial procedures for anything other than legitimate purposes of the law,” [NST 08/07/01]
(Kami sesungguhnya menentang segala bentuk penguatkuasaan undang-undang dan tatacara perundangan melainkan untuk keperluan undang-undang yang sah).

Komen AS tersebut terus mendapat reaksi balas dari Menteri Luar Malaysia, Dr Rais Yatim yang telah menghantar surat bantahan kepada AS dan menggesa agar kuasa dunia tersebut tidak mencampuri urusan dalaman sesebuah negara.

Niat AS untuk campur tangan semakin jelas apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa secara rasmi pada 7 Ogos 2008. Keputusan pejabat peguam negara mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim amat tidak disenangi oleh Amerika Syarikat. Seorang pegawai Jabatan Negara berkata,

“Kita memandang berat banyak persoalan serius yang dibangkitkan di Malaysia, termasuk oleh Majlis Peguam, berhubung kes ini,” [Malaysiakini 08/08/08]

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Nashville, Tennessee, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore menuduh kerajaan Malaysia melakukan serangan peribadi supaya pemimpin parti politik pembangkang yang efektif tidak dapat bersuara. [Mstar08/08/07]

Campur tangan terbaru ini telah menyebabkan Wisma Putra mengadakan siri penerangan di luar negara untuk menjawab persepsi negatif yang dihamburkan terhadap kerajaan Malaysia. Tekanan yang dikenakan terhadap Malaysia bukanlah suatu yang baru, dahulu sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh untuk kes yang sama pada tahun 1998 AS amat berminat untuk membela Anwar. AS cuba bertindak sebagai penyelamat kepada kemelut yang dihadapi oleh kerajaan Malaysia dengan berjalan seiring dengan aspirasi gerakan reformasi.

Menangguk di air keruh

AS sebenarnya menunggu saat dan ketika untuk melebarkan pengaruhnya di Malaysia, perkiraan politiknya untuk menguasai Selat Melaka sebagai jalan perdagangan yang menghubungkan antara China dan Eropah masih menjadi impian yang tidak pernah padam. Dengan ‘bergerak seiring’ dengan gerakan popular di Malaysia, AS cuba untuk menonjolkan dirinya sebagai polis dunia. Taktik yang sama juga digunakan oleh AS di Iraq, dengan slogan kebebasan, rakyat Iraq terpesona namun akhirnya kebebasan yang diharapkan oleh rakyat Iraq  tidak pernah kunjung tiba.

Agak menghairankan mengapa AS tidak berminat terhadap ratusan lagi orang lain yang kena dakwa di Malaysia, walaupun terdapat dari kalangan yang didakwa ialah orang-orang politik yang berpangkat tinggi? Apa yang tidak kena dengan undang-undang di Malaysia menurut pandangan AS, walhal undang-undang di Malaysia adalah sama kufurnya dengan undang-undang yang diterapkan di AS? Apakah ‘undang-undang’ yang menjadi minat Amerika atau ‘Anwar Ibrahim’ itu sendiri?